TEKUN Nasional salur RM451.36 juta kepada usahawan sepanjang tempoh COVID-19 | DagangNews Skip to main content

TEKUN Nasional salur RM451.36 juta kepada usahawan sepanjang tempoh COVID-19

usahawan

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) menyalurkan pembiayaan bernilai RM451.36 juta kepada 43,206 usahawan sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kesemua usahawan tersebut adalah dari pelbagai sektor yang menerima manfaat bermula bulan Mac hingga 18 Oktober 2020.

"Kementerian mengambil maklum sepanjang tempoh penularan COVID-19 telah menjejaskan perniagaan usahawan mikro dan informal khususnya penjaga dan peniaga kecil.

"Justeru itu, kementerian telah mengeluarkan pelbagai bantuan kepada penjaja dan peniaga kecil melalui agensi pelaksana seperti TEKUN Nasional, SME Corp, SME Bank dan Bank Rakyat.

 

Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Wan Junaidi Tuanku Jaafar

 

"Pembiayaan itu disalurkan sebagai pembiayaan mudah kepada usahawan yang terjejas menerusi program COVID Business Recovery-Micro (CBRM) dan TEKUN Business Recovery Scheme (TBRS)," katanya ketika menjawab soalan Sabri Azit (PAS-Jerai) di Dewan Rakyat hari ini seperti dilapor Bernama.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Sabri Azit meminta beliau menjelaskan jumlah bantuan yang telah dikeluarkan bagi membantu penjaja kecil yang terjejas sepanjang tempoh penularan wabak COVID-19.

Selain TEKUN Nasional, beliau memberitahu, SME Corp turut menjadi agensi yang menyediakan dana bantuan pembiayaan dan pembangunan kepada usahawan Bumiputera.

 

Sabri Azit
Sabri Azit

 

Bantuan itu adalah termasuk Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang diperkenalkan di bawah inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

"Bantuan diberikan dalam bentuk latihan dengan geran memulakan perniagaan hingga RM15,000 maksimum dan pemantauan perniagaan untuk tempoh 12 bulan.

"Bagi tahun ini setakat September, seramai 765 peserta telah menyertai program tersebut," jelasnya lagi. - DagangNews.com