Takkan harimau berubah menjadi vegetarian - Nanyang Siang Pao | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 23 October 2021

TAKKAN HARIMAU BERUBAH MENJADI VEGETARIAN

 

 

Nanyang Siang Pao, 29 September 2021

 

RANCANGAN Malaysia ke-12 (RMK12) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengemukakan banyak perancangan dan visi. Tetapi satu istilah yang biasa didengari sekali lagi mencetuskan perdebatan: agenda Bumiputera.

 

Melayu miskin Cina kaya, selalu disebut oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir  Mohamad sehinggakan kerajaan perlu mengukuhkan agenda Bumiputera.

 

Hari ini, PM Ismail Sabri mengulangi langkah yang sama iaitu memperkasakan agenda Bumiputera dengan alasan jurang pendapatan antara orang Melayu dan Cina terlalu lebar.

 

Walaupun Ismail Sabri menyebut bahawa kerajaan juga prihatin terhadap isu kemiskinan dalam kalangan bukan Melayu dan tetap akan memberi bantuan.

 

Tetapi penekanan kerajaan terhadap pemerkasaan “agenda Bumiputera” secara automatik mencetuskan kritikan.

 

Inilah realitinya, mana-mana parti politik yang ingin berkuasa pasti tidak akan melepaskan agenda Bumiputera ini.

 

Bermula dari Dasar Ekonomi Baru 1970 kemudian dijenamakan semula sebagai Dasar Pembangunan Nasional, intinya tidak berubah, tetap ada agenda Bumiputera.

 

Walaupun ada pemimpin politik dengan lantangnya menentang sistem kuota dan pengagihan kekayaan yang tidak sama rata, setelah menjadi pemerintah tiada siapa yang berani menyebut perkataan hapuskan kerana semua orang tahu bahawa hanya dengan undi Melayu sahaja  boleh mengekalkan takhta.

 

Antara pertikaian terbaru, dasar kerajaan menetapkan semua syarikat industri logistik tempatan yang mendaftar selepas tahun 1990, perlu memperuntukkan 51 peratus ekuiti Bumiputera atau pembaharuan lesen tidak akan diberikan.

 

Ini sebenarnya adalah dasar era Mahathir, selama bertahun-tahun ia hanya dipinda pada tahun 2018. Dasar ini tidak pernah dimansuhkan atau dibatalkan. Bahkan sehingga hari ini, pelaksanaannya masih kekal.

 

Tiada siapa yang berani menyentuh isu kuota. Hanya semasa bekas PM, Datuk Seri Najib Tun Razak berkuasa, beliau memperbaharui dasar yang lemah ini dengan menghakiskan keistimewaan ekonomi Melayu.

 

Menerusi Model Ekonomi Baru, sistem kuota sedikit demi sedikit dihapuskan. Akibatnya, beliau telah dikritik hebat oleh kumpulan konservatif Melayu dan pertubuhan Bumiputera.

 

Antara yang paling lantang ialah Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) yang mempunyai hubungan rapat dengan Mahathir.

 

Sebenarnya, kandungan RMK12 sebahagian besar adalah merangkumi agenda Bumiputera. Idea itu telah disebut oleh Muhyiddin Yassin sebelum beliau mengundurkan diri dan Ismail Sabri hanya meneruskan perancangan tersebut.

 

Jelas di sini bahawa agenda Bumiputera bukanlah untuk tujuan ekonomi tetapi lebih kepada strategi politik. Hari ini UMNO kembali berkuasa, mana mungkin UMNO tidak mengetengahkan agenda Bumiputera untuk kekal sebagai kerajaan. Ibarat memaksa harimau berubah menjadi vegetarian. – DagangNews.com

 

Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi pernah bertugas di pelbagai jabatan kerajaan sebagai penterjemah, khususnya Bahasa Mandarin yang beliau cukup mahir. Artikel di atas merupakan terjemahan daripada ruangan pojok akhbar Nanyang Siang Pao pada 29 September 2021.

 

 

Portfolio Tags