Syarikat pegangan AirAsia dinamakan semula, buka peluang tubuh syarikat penerbangan baharu | DagangNews Skip to main content

Syarikat pegangan AirAsia dinamakan semula, buka peluang tubuh syarikat penerbangan baharu

 

 

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Sejajar dengan transformasi pantas AirAsia daripada sebuah syarikat penerbangan kepada kumpulan perkhidmatan perjalanan dan gaya hidup digital yang terus berkembang, syarikat pegangan penerbangan AirAsia Group, AirAsia Investment Ltd. kini dinamakan AirAsia Aviation Limited.

 

Bo Lingam, dahulunya Presiden (Penerbangan) AirAsia Group kini dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Limited, yang menyelia 4 syarikat penerbangan AirAsia Group iaitu AirAsia Malaysia, AirAsia Filipina, AirAsia Thailand dan AirAsia Indonesia.

 

AirAsia Group Bhd. (AAGB) adalah sebuah syarikat pegangan pelaburan untuk 8 syarikat dengan portfolio digital yang memanfaatkan data dan teknologi untuk memberi nilai terbaik dengan kos terendah kepada pengguna. 

 

Portfolio komprehensif AAGB merangkumi AirAsia Aviation, airasia Super App, cabang kargo dan logistik Teleport, perkhidmatan kewangan BigPay, cabang teknologi pendidikan airasia academy, syarikat kejuruteraan Asia Digital Engineering, perkhidmatan darat GTR dan rangkaian restoran dan kumpulan makanan iaitu Santan. 

 

 

Bo Lingam
Bo Lingam

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Limited Bo Lingam berkata, perubahan struktur ini membantu memacu pertumbuhan kumpulan yang semakin kukuh dalam kedua-dua perniagaan syarikat penerbangan dan digital.

 

“Entiti AirAsia Aviation Limited memegang pelaburan syarikat penerbangan kami dan membuka lebih banyak peluang untuk menubuhkan syarikat penerbangan baharu apabila tiba masanya. 

 

"Kami juga baru sahaja mewujudkan bahagian Perundingan AirAsia yang bertujuan untuk mengkaji kerjasama syarikat penerbangan dan peluang francais," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut beliau, dengan mewujudkan syarikat pegangan bagi syarikat penerbangan ini, mereka dapat memberi fokus untuk terus menjadi syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia. 

 

"Dalam tempoh 18 bulan lalu, kami meluangkan masa untuk meninjau setiap aspek operasi bagi memastikan syarikat penerbangan kembali beroperasi dengan lebih teguh. 

 

"Kami juga dapat melihat pembukaan semula sempadan dunia dan meramalkan pemulihan berbentuk V bagi sektor perjalanan udara dalam masa terdekat terutama dengan pengumuman kerajaan membenarkan perjalanan antara negeri pada 11 Oktober lalu," tambah beliau.

 

Buat masa ini, AirAsia mengendalikan lebih 60 penerbangan setiap hari ke 16 destinasi percutian utama di Malaysia dan lebih banyak kekerapan dan laluan akan terus ditambah untuk memenuhi permintaan para tetamu yang semakin meningkat.

 

Bo Lingam berkata, terdapat kemajuan yang memberangsangkan bagi syarikat penerbangan mereka di Thailand, Indonesia dan Filipina berikutan permulaan perkhidmatan yang seiring dengan peningkatan vaksinasi dan kelonggaran sekatan perjalanan di pasaran utama. 

 

“Oleh itu, kami berharap untuk melihat pembukaan sempadan antarabangsa tidak lama lagi. Kami akan terus mengkaji pasaran baharu untuk beroperasi pada masa akan datang, seperti Kemboja, apabila dapat kembali menghubungkan ASEAN dengan tambang nilai dan tawaran gaya hidup terbaik," jelasnya. - DagangNews.com