Sultan Selangor raikan 800 alumni UPM di Majlis Sirih Pulang ke Gagang ke-11 | DagangNews Skip to main content

Sultan Selangor raikan 800 alumni UPM di Majlis Sirih Pulang ke Gagang ke-11

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melancarkan buku bertajuk "The Three Founding Faculties: Spurring The Glories of UPM" bersempena Majlis Makan Malam Sirih Pulang Ke Gagang@Homecoming XI Tahun 2022 pada 1 Oktober 2022.
Oleh Mohamad Iman

SERDANG 2 Okt - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Makan Malam Sirih Pulang ke Gagang @ Homecoming kali ke-11 anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM), malam tadi.

 

Sultan Sharafuddin yang merupakan Canselor UPM berangkat tiba kira-kira pukul 8.30 malam di Dewan Besar Pusat Kesenian dan Kebudayaan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM, diiringi Naib Canselor Datuk Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman dan Presiden Persatuan Alumni UPM Datuk Raihan Sharif.

 

Baginda kemudian berkenan menyampaikan beberapa anugerah kepada alumni yang telah memberi sumbangan bermakna kepada UPM dan masyarakat, termasuk anugerah utama iaitu Anugerah Mutiara Alumni kepada pendaki negara T.Ravichandran yang menakluk puncak tertinggi dunia Everest.

 

Sultan Sharafuddin turut berkenan melancarkan buku bertajuk "The Three Founding Faculties: Spurring The Glories of UPM" dan tabung Alumni City. 

 

Majlis makan malam yang dihadiri 800 orang alumni UPM dari seluruh negara itu merupakan acara tradisi yang diraikan setiap dua tahun oleh universiti itu mulai 2001.


 

UPM
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah diiringi Datuk Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman di Majlis Makan Malam Sirih Pulang Ke Gagang@Homecoming XI Tahun 2022 UPM pada 1 Oktober 2022.

 

Terdahulu di sebelah pagi Sabtu, Pertandingan Home Coming Alumni Golf Universiti Putra Malaysia (UPM) telah dianjurkan bagi meraikan kepulangan Alumni bersama-sama Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman.

 

Menurut Prof. Dr. Mohd Roslan, pertandingan Home Coming Alumni Golf ini adalah satu inisiatif untuk meraikan mereka yang banyak menyumbang kepada UPM.


 

UPM

 


“Pertandingan ini bersempena dengan Majlis Makan Malam Sirih Pulang Ke Gagang@Homecoming XI Tahun 2022 bersama alumni serta pertemuan para alumni bagi memupuk semangat kebersamaan sejajar dengan ‘Sederap Melangkah Menuju Al-Falah’,” katanya. - DagangNews.com