SUKMA Kelantan: Khairy bidas kenyataan TikTok Syed Saddiq | DagangNews Skip to main content

SUKMA Kelantan: Khairy bidas kenyataan TikTok Syed Saddiq

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Feb - Khairy Jamaluddin Abu Bakar membidas kenyataan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi hantaran TikTok yang mendakwa beliau merupakan Menteri Belia dan Sukan pertama mengembalikan semula hak penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) kepada negeri Kelantan.

 

Khairy sewaktu memegang portfolio Menteri Belia dan Sukan dari 2013 hingga 2018 menegaskan, Kelantan pernah ditawarkan untuk menjadi penganjur temasya berkenaan melalui beberapa Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA selepas SUKMA Perlis 2014.

 

Beliau berkata, mengikut penggiliran negeri-negeri penganjur, selepas SUKMA Sarawak 2016, hak penggiliran penganjuran akan kembali ke negeri-negeri di Pantau Timur Semenanjung Malaysia dan Kelantan yang belum pernah menganjurkan Sukan Malaysia adalah pilihan.

 

"Namun, kerajaan Kelantan ketika itu tidak bersedia untuk menganjurkannya atas beberapa kekangan. Malahan, kita juga semasa membuat keputusan SUKMA 2018 kepada Perak dan SUKMA 2020 kepada Johor turut mengalu-alukan agar Kelantan mempertimbangkan untuk menjadi tuan rumah SUKMA 2022 supaya Sukan Malaysia ini dapat dibawa kepada rakyat negeri Kelantan.

 

"Malahan, tiada satu negeri pun yang dianaktirikan sewaktu saya menerajui Kementerian Belia dan Sukan dalam apa juga hal.

 

"Pemilihan ini dibuat secara saksama melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dianggotai oleh 14 Exco Belia dan Sukan Negeri dan tertakluk kepada kesanggupan dan kesediaan negeri yang dipilih," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

 

khiray
Khairy Jamaluddin

 

Sewaktu menjadi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq pernah mengumumkan Kelantan sebagai tuan rumah SUKMA 2024 sambil menyifatkan sudah sampai masa untuk kerajaan membina kemudahan sukan di negeri itu selepas sekian lama dianak tirikan. - DagangNews.com