Sukar laksana cukai 'durian runtuh' untuk sektor sarung tangan getah | DagangNews Skip to main content

Sukar laksana cukai 'durian runtuh' untuk sektor sarung tangan getah

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 4 Nov. - Cukai 'durian runtuh' yang akan dikenakan terhadap pemain sarung tangan getah di negara ini sukar untuk dilaksanakan jika kerajaan mengumumkannya dalam Bajet 2021, Jumaat ini. 

Sebaliknya menurut penganalisis CGS-CIMB, William Aw, ia hanya boleh dilaksanakan sekiranya berbentuk kutipan atau membuat pembayaran terkumpul kepada kerajaan. 

Ini kerana terdapat beberapa kekangan untuk melaksanakan cukai itu terutama piawaian harga sarung tangan getah yang tidak selaras kerana mempunyai pelbagai jenis, spesifikasi dan gred produk serta sasaran pasaran. 

"Tetapi jika mahu dilaksanakan juga, ia akan memberi kesan negatif kepada sektor ini terutama untuk prospek jangka masa panjang," katanya dalam nota kajian hari ini. 

Dalam pembentangan Bajet 2021, terdapat kebimbangan sama ada kerajaan akan melaksanakan cukai durian runtuh ke atas syarikat sarung tangan getah bagi mengisi tabung kewangan kerajaan di sebalik ketidaktentuan ekonomi. 

Cadangan ini dibuat selepas pemain sektor sarung tangan getah menikmati keuntungan luar biasa apabila permintaan dan harga purata jualan (ASP) sarung tangan getah melonjak akibat pandemik COVID-19. 

Menurut William, berdasarkan analisis mengenai impak terhadap kadar cukai korporat yang tinggi, didapati peningkatan 5% dalam cukai korporat akan mengurangkan keuntungan bersih sektor tersebut sebanyak 6.5% tahun ini. 

"Ini membolehkan kerajaan menaikkan cukai tambahan sebanyak RM593 juta pada 2020. 

"Malah, berdasarkan anggaran kami, syarikat sarung tangan getah (di bawah liputan kami) dijadualkan membayar cukai pendapatan sebanyak RM2.8 bilion dan RM4.7 bilion bagi tahun ini dan 2021 masing-masing," katanya.  

Beliau berkata, sekiranya cukai 'durian runtuh' ini dilaksanakan, syarikat sarung tangan getah tempatan akan memilih untuk berkembang di luar negara. 

"Ini pastinya satu kerugian kepada kerajaan apabila pelaburan dan keuntungan daripada pemain sarung tangan getah semakin berkurangan pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com