Skip to main content
DagangNews.com
Kolum SENsor RINGGIT - 9 September 2020

SUKA DUKA PEMEGANG SAHAM DI BURSA MALAYSIA

 

SEPERTI yang diduga, saya menerima pertanyaan mengenai aplikasi platform urus niaga mengguna pakai telefon bimbit bagi tujuan jual-beli saham syariah seperti terkandung dalam artikel saya minggu lepas. Oleh sebab platform ini adalah hak cipta terpelihara sebuah bank pelaburan dan firma latihan tersohor saham syariah, saya tidak boleh memberi akses kepada pembaca DagangNews.com mengenai betapa mudahnya membuat belian dan jualan.

Namun, anda boleh mendapat hak eksklusif mengguna pakai platform ini dalam e-buku MUDAHNYA MENJADI JUTAWAN SAHAM SYARIAH yang sudah dilancarkan di atas portal DagangNews.com mulai 2 September lalu. Hanya dengan satu klik di telefon bimbit, anda akan dihidangkan dengan kaedah mengguna pakai langkah demi langkah yang amat mudah dan menghiburkan. Jom sama-sama kita membeli e-buku itu yang ditulis dan diterbitkan oleh alumni  UiTM. Malah mentor tersohor saham syariah juga adalah alummi UiTM! Sila klik di sini.

Risiko Pemegang Saham

Seperti yang dijelaskan dalam Siri 9, setiap pelaburan pasti ada risikonya, termasuk saham syariah. Sebagai pemegang saham berdaftar, pasti kita mahu harga saham yang kita miliki terus naik. Namun, bursa saham dianggap pasaran yang sentiasa naik turun dari semasa ke semasa.

Pasaran saham tidak akan terus naik; bukan macam kebanyakan kita bila sudah berkahwin terus mencatatkan kenaikan berat badan, turun jauh sekali! Jadi, adakala kita terima berita gembira yang kita mahu bersuka-ria – yang akan menaikkan harga saham. Namun, adakala berita sedih menjadikan kita berduka-lara yang menyaksikan harga saham yang kita milik terus merudum.

Jadi, seperti kata mat saleh, kita bincang dahulu berita gembira:

1. Firma senaraian mendapat kontrak besar

Apabila diumumkan sebuah syarikat mendapat kontrak besar, harga sahamnya akan naik sebab ia mencerminkan kenaikan hasil dan untung.

Sebagai contoh, saham SapuraKencana Petroleum Bhd meningkat selepas ia memperoleh kontrak bernilai AS$273 juta daripada Oil and Natural Gas Corporation Ltd India. Mencerminkan berita gembira yang dilaporkan media pada 14 Julai 2015, harga saham SapuraKencana menokok tiga sen kepada RM2.44, dengan 1.27 juta saham bertukar tangan.

Namun ekoran daripada kerugian besar pengeluar minyak global termasuk Petronas, harga saham Sapura Energy jatuh menjunam kepada 12 sen pada awal September 2020 daripada harga tertingginya RM2.25 pada akhir 2016.

2. Lantikan baharu Pengerusi syarikat senaraian

Seperti disebut dalam artikel Siri 8, lantikan pengerusi Lembaga Pengarah (BOD) sesebuah syarikat memang ditunggu-tunggu oleh para pelabur. Ini diwajarkan sebab pengerusi di beri kuasa untuk melantik pula CEO dan bersama pasukan kanannya menentukan polisi dan model bisnes syarikat dalam usaha meningkatkan hasil dan keuntungan.

Sebagai contoh, harga saham Bursa Malaysia naik berikutan berita syarikat itu akan melantik tokoh korporat terkemuka, Tan Sri Abdul Wahid Omar, sebagai pengerusi baharunya. Media melaporkan pada 17 April 2020 harga saham Bursa Malaysia naik tujuh sen kepada RM5.92 selepas 155,200 saham bertukar tangan.

Menariknya, ekoran daripada rekod purata volum 10 bilion unit saham dan nilai urus niaga RM6 bilion setiap hari pada awal Ogos 2020 di Bursa Maalaysia, harga saham Bursa Malaysia adalah purata RM9.34 direkod pada awal September 2020.

Ini hanyalah sekadar dua contoh untuk kita buat analisis asas sebagai pelabur bermaklumat dan berilmu bagaimana sebaran info korporat yang positif boleh menaikkan harga saham firma terbabit.

Sekarang kita lihat pula “berita sedih” yang dilaporkan oleh media:
 

1. Kejatuhan Harga Berterusan

Sebagai pemegang saham, sudah pasti kita bimbang harga saham syarikat kita terus jatuh dengan ketara yang mana ia di luar kawalan.  Adakala  ia hanya berlaku untuk syarikat atau industri tertentu sahaja seperti ‘sub-prime crisis’ melumpuhkan industri perbankan, insurans dan hartanah di AS dan Eropah.

Pandemik COVID-19 walaupun melumpuhkan semua sektor ekonomi, ia kelihatan menjejaskan dengan teruk sektor penerbangan dan perhotelan. Kedua-dua sektor ini paling awal terkesan dan paling lewat untuk pulih ekoran daripada sekatan perjalanan udara yang menyaksikan pembatalan tiket penerbangan dan tempahan bilik hotel.

AirAsia sebagai penerbangan tambang murah terbesar di rantau Asia paling terjejas sepanjang tempoh PKP bermula sehingga Jun 2020. Justeru, ia melaporkan kerugian bersih hampir RM1 bilion dengan hasil hanya sekitar RM120 juta sahaja bagi tempoh suku kedua 2020. Justeru, harga sahamnya menjunam ke paras terendah sekitar 67 sen pada awal September 2020 daripada harga tertinggi 440 sen pada 18 Februari 2018.

 

aa
AirAsia adalah syarikat senaraian awam patuh syariah di Bursa Malaysia kelihatan berada di landasan betul untuk kembali terbang tinggi keluar dari kemelut COVID-19 walaupun keuntungan dan harga sahamnya kini berada di paras terendah.

Sebelum COVID-19 menjadi pandemik Mac 2020, media cetak dan sosial mendedahkan skandal penyalahgunaan kuasa atau kes rasuah telah menjejaskan harga saham AirAsia pada akhir Februari. Dalam kes ini, saham AirAsia jatuh menjunam daripada sekitar RM1.50 kepada RM1.20 sebelum pulih selepas Pengerusi Eksekutif dan CEO kumpulannya meletak jawatan bagi tempoh dua bulan untuk memberi laluan kepada siasatan penuh SPRM. Namun, malang datang bertimpa lagi apabila sektor penerbangan termasuk AirAsia paling terjejas ekoran sekatan perjalanan udara seluruh dunia sejak April 2020.

Menyusul kes rasuah ke atas firma tersenarai di Bursa Malaysia adalah FGV milik Felda dan TH Plantation milik Tabung Haji yang dalam radar siasatan SPRM sejak akhir 2018. Menariknya, pola siasatan ke atas kedua-dua firma milik kerajaan ini bertukar rentak ekoran peralihan kuasa daripada kerajaan PH kepada PN. Sama-sama kita tunggu bidang kuasa bebas SPRM!
 

aa
SPRM menjadi perhatian rakyat apabila lantikan Ketua Pesuruhjaya dicadangkan untuk mendapat kelulusan Parlimen.

 

2. Nyahsenarai Saham

Sekiranya berlaku di mana saham syarikat kita dikeluarkan daripada senaraian, maka kita mungkin hilang sepenuhnya wang pelaburan kita. Kita tidak boleh lagi menjual saham yang kita miliki. Ini bermakna saham kita tiada nilai kerana kaunter syarikat telahdipecat” daripada senaraian atas arahan bursa saham kerana  faktor bebanan hutang besar atau kerugian terkumpul yang gagal di struktur  semula  selepas diberi tempoh tertentu.

Semasa krisis mata wang 1998-2000, banyak kaunter yang bermasalah dengan hutang besar dan kerugian diletakkan dalam PN4 (Practice Note 4). Ini bermakna para pemegang saham-saham PN4 tidak boleh menjual saham mereka sehingga status ini dibersihkan melalui suntikan modal oleh pelabur institusi baharu untuk menyusun semula agar kedudukan kewangan kembali pulih. Namun, dalam kebanyakan kes ada firma PN4 memohon lanjutan tempoh daripada Bursa Malaysia kerana gagal mencari pelabur institusi baharu. Malangnya, apabila tamat tempoh, firma PN4 terpaksa dinyahsenarai daripada Bursa Saham Kuala Lumpur.

Di bawah jenama baharu Bursa Malaysia sejak 2004, status firma bermasalah kewangan diletak pula di bawah PN17 (Practice Note 17). Sehingga Julai 2020, terdapat 23 firma senaraian awam berstatus PN17 diwajibkan menyerahkan kertas cadangan kepada SC untuk menyusun semula dan pelan pemulihan untuk terus kekal di Bursa Malaysia.

3. Penggantungan  Kaunter

Saham digantung dari didagangkan berlaku atas dua kaedah.

Pertama, atas arahan syarikat senaraian seperti penggabungan, ambil alih atau berita yang belum sahih seperti memenangi tender kerajaan atau kesahihan laporan kewangan belum diaudit. Sebagai contoh, Axiata memaklumkan kepada Bursa Malaysia yang ia dalam proses perbincangan untuk bergabung dengan Telenor untuk menjadi entiti telekomukasi terbesar di rantau Asia.

Mencerminkan berita positif ini, saham Axiata Group Bhd dan Digi.Com Bhd   menjadi saham paling untung pada sesi dagangan 7 Mei 2019. Berikutan pelabur menyambut baik berita bahawa kedua-dua syarikat itu dalam rundingan penggabungan, saham Axiata Group meningkat 55 sen atau 13.61 peratus kepada RM4.59, sementara saham Digi pula meningkat 41 sen kepada RM4.93 atau 9.7 peratus.

    

Kenanga
Berita Axiata dan Digi bakal bergabung menjadi hangat di Bursa Malaysia mulai 9 Mei 2019 sehingga terbatal 4 bulan kemudian.

 

Kedua-dua firma ini melaporkan kepada Bursa Malaysia yang rundingan mereka untuk bergabung dibatalkan pada 6 September 2019. Oleh kerana ia dipersetujui oleh kedua-dua pihak, ia masih dianggap berita positif apabila kedua-dua kaunter aktif diniagakan. Saham Axiata naik 11 sen pada harga RM4.88 manakala Digi turun 1 sen dengan 1.83 juta bertukar-tangan. Namun, harga saham Axiata adalah RM3.04 manakala Digi adalah RM4.08 dicatat pada awal September 2020 yang mencerminkan bursa ekuiti global sedang bergelut dengan COVID-19 di mana Bursa Malaysia tidak terkecuali.

Kedua,  atas  arahan  bursa saham disebabkan kegagalan syarikat memenuhi arahan pentadbiran, seperti gagal mengadakan AGM, menyediakan Laporan Tahunan yang diaudit atau perebutan kuasa atau pergolakan serius dalam lembaga pengarah. Berita ini dianggap negatif yang akan menjejaskan harga saham ke arah kejatuhan berterusan selepas didagangkan semula daripada tempoh penggantungan.

Sebagai contoh DagangNews.com melaporkan Bursa Malaysia menggantung saham AirAsia pada 8 Julai 2020 atas laporan juruauditnya di mana AirAsia mungkin diletakkan dalam klasifikasi PN17. Justeru harga saham AirAsia jatuh 4 sen kepada 86 sen sebelum urus niaga disambung semula di sebelah petangnya selepas Lembaga Pengarah membuat kenyataan rasmi ada “kekeliruan fakta” ke atas klasifikasi status PN17 tersebut.

Dalam  kes tertentu, Bursa Malaysia telah menggantung saham-saham yang berasaskan O&G ekoran kejatuhan harga pasaran yang terhad kepada 15%. Antara kaunter-kaunternya adalah
Dayang Enterprise Holdings Bhd., Hibiscus Petroleum Bhd., Bumi Armada Bhd., Serba Dinamik Holdings Bhd., Dialog Group Bhd. dan Muhibbah Engineering (M) Bhd. 

Penurunan ini disebabkan oleh kejatuhan ketara harga minyak selepas usaha OPEC untuk mengurangkan bekalan tidak berjaya apabila buat pertama kali penanda aras minyak global Brent jatuh di bawah paras AS$20 setong pada Mac 2020.

Jadi Pelabur Berilmu

Seperti saranan Bursa Malaysia, setiap pelabur tidak harus membuat keputusan beli atau jual atas aktiviti spekulasi. Spekulator sentiasa “resah gelisah” dengan mengharapkan akan berlaku kenaikan harga untuk membolehkan mereka “beli murah jual mahal”. Jadi hidup mereka diibaratkan seperti seorang bayi iaitu “menangis bila lapar” (rugi) atau “tidur lena bila kenyang” (untung).

Namun sebagai pelabur berilmu, setiap kejatuhan harga boleh kita tangani dengan membuat pesanan pasaran atau pesanan terhad. Dengan aplikasi portal urus niaga mengguna-pakai telefon bimbit, kita boleh klik “jual” pada harga yang diminta oleh pembeli. Sudah pasti kita membuat perkiraan harga yang boleh kita jual untuk mendapat keuntugan sederhana.

Malah, kalau analisis kita menunjukkan harga jual mungkin mendatangkan kerugian, kita boleh membuat pesanan terhad dengan mengehadkan sesuatu harga saham bagi mengurangkan kerugian. Kita wajib “redha” yang kita rugi dalam kes saham syariah tertentu tetapi kita tampung kerugian tersebut melalui kaunter lain, yang ada diperincikan dalam e-buku MUDAHNYA MENJADI JUTAWAN SAHAM SYARIAH.

Minggu depan dalam Siri 12 kita akan selami bagaimana saham syariah berharga bawah RM1 secara purata mampu meraih keuntungan lumayan setiap bulan daripada saham yang kita miliki.
 

Penulis adalah mantan profesor pelaburan di UiTM dan bersara wajib 2016; felo Fulbright, Washington DC sejak Julai 2011 dan felo penyelidik utama di Lamka Advisory sejak Jun 2020

buku

 

Portfolio Tags