Skim OPIMIS atasi masalah tenaga buruh dalam sektor perladangan | DagangNews Skip to main content

Skim OPIMIS atasi masalah tenaga buruh dalam sektor perladangan

 

 

KUALA LUMPUR 14 Sept. – Skim Insentif Mekanisasi Sawit (OPIMIS) yang diperkenalkan kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menggalakkan penggunaan mekanisasi dalam sektor perladangan sawit bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja pada masa ini.  

 

Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, terdapat penerima Skim OPIMIS yang menunjukkan peningkatan produktiviti kerja sehingga 40%. 

 

Katanya, skim itu yang diperkenalkan pada 2016 dengan peruntukan sebanyak RM4.5 juta mendapat sambutan menggalakkan daripada penggiat industri terutama pengusaha ladang dan pekebun kecil. 

 

“Jelas terbukti, penggunaan mekanisasi merupakan penyelesaian yang berkesan terutama pada situasi kekurangan tenaga kerja ketika ini. 

 

"Oleh itu, penggunaan mekanisasi dalam perladangan sawit dapat mengurangkan sedikit sebanyak kebergantungan kepada tenaga kerja asing,” kata beliau semasa Webinar Skim Insentif Mekanisasi Sawit (OPIMIS) anjuran MPOB hari ini.

 

Menurutnya, peruntukan yang disediakan melalui Skim OPIMIS telah memberi manfaat kepada hampir 650 penerima dengan jumlah pembelian mesin hampir 1,400 unit merangkumi pelbagai jenis jentera dan alatan ladang.

 

Berdasarkan sambutan penggiat industri, permintaan dan penggunaan mesin adalah menjadi satu alternatif dalam sektor perladangan.

 

MPOB dan pihak Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) terus berusaha untuk mengatasi masalah kebergantungan kepada tenaga kerja dengan pendekatan yang lebih drastik. 

 

Ini termasuk penubuhan Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) bagi menyokong aktiviti penyelidikan dalam bidang mekanisasi perladangan sawit. 

 

MARCOP diwujudkan sebagai salah satu platform antara pihak industri, kerajaan dan ahli akademik untuk meningkatkan penyelidikan bagi amalan mekanisasi dalam tempoh jangka panjang. 

 

Ahmad Parveez menjelaskan, prestasi semasa harga minyak sawit yang berada pada paras stabil sekitar RM4,200 hingga RM4,500 satu tan memberi keuntungan kepada penggiat industri sawit untuk pelaburan dalam teknologi mekanisasi ladang sawit.

 

“Dengan pelbagai peralatan mekanisasi atau teknologi yang tersedia, diharap penggiat sektor perladangan sawit negara dapat melabur sebahagian daripada keuntungan dengan menerapkan teknologi dalam operasi ladang demi mencapai kelestarian industri,” katanya.

 
Webinar OPIMIS merupakan antara platform bagi perkongsian maklumat berkaitan jentera atau alatan mekanisasi yang berada di pasaran dan memberi peluang kepada para penerima bantuan untuk berkongsi maklum balas atau testimoni daripada pengguna. 

 

Sementara itu, pekebun kecil dari Felda Palong 4, Ismail, antara penerima Skim OPIMIS berkata, penggunaan ‘Cantas’ memudahkan kerjanya di ladang dan berjaya meningkatkan hasil tuaian buah sawit kepada 5 tan dalam masa 4 jam berbanding dengan hanya 2 tan dengan sabit manual.   

 

Seorang lagi penerima Skim OPIMIS, Pengurus FELCRA Sri Mendapat, Abdul Rahman pula berkata, penggunaan jentera TAFA yang mula digunakannya pada 2019 untuk pengangkutan buah sawit di ladang berjaya mengurangkan tenaga kerja kepada 4 orang dengan hasil pengangkutan meningkat kepada 2.1 tan sehari.  

 

Malah, penggunaan jentera TAFA sangat membantu  dan berjaya meningkatkan hasil, tambah beliau. - DagangNews.com