Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Industri Kreatif - 7 January 2022

SISTEM JUALAN TIKET PAWAGAM BERSEPADU – SOLUSI KEPADA PELBAGAI ISU

 

 

Selamat tahun baharu 2022 kepada semua.

 

Malaysia kini dalam fasa berusaha untuk memasuki fasa endemik. COVID-19 yang bermula pada penghujung tahun 2019 telah menjadi sejarah dan fasa penting kepada bukan sahaja negara kita, malah seluruh dunia dalam segala aspek kehidupan. Ini termasuklah dalam konteks industri kandungan kreatif.

 

Di samping menyaksikan pelbagai perkembangan seperti perkembangan drastik platform penontonan over-the-top (OTT), saya melihat fasa pandemik ini dalam konteks yang lebih positif dan optimis iaitu sebagai satu butang reset dalam agenda penambahbaikan industri kandungan kreatif negara dalam pelbagai perkara, terutama setelah melihat kerapuhan ekosistem dalam industri ini akibat diuji pandemik sepanjang dua tahun kebelakangan.

 

Sekian banyak aspek yang harus diberikan perhatian dalam penambahbaikan tersebut, saya suka untuk menyentuh kepada salah satu perkara yang dilihat sebagai keperluan mendesak  iaitu memandatkan sebaiknya aspek pengurusan data sistematik serta big data dalam urus tadbir industri ini.

 

Salah satunya adalah berhubung tentang usaha mendapatkan mekanisme bagi membolehkan sistem box office syarikat pemamer (pawagam) dipantau secara lebih telus (transparent) dalam waktu sebenar (real time).

 

Penglibatan saya dalam salah satu filem yang ditayangkan di pawagam baru-baru ini menemukan saya dengan terlalu banyak tanda tanya berhubung mekanisme pelaporan kutipan jualan tiket oleh pawagam kepada penerbit – termasuk juga laporan kepada pihak FINAS selaku badan berkuasa dalam hal ini.

 

Isu-isu seperti keraguan terhadap ketepatan laporan (jumlah jualan tiket dalam laporan tidak sama seperti pemantauan jumlah penonton oleh syarikat penerbit), kegagalan sesetengah syarikat pemamer memberikan laporan pada hari yang sepatutnya,  dan beberapa lagi membuatkan saya berfikir adalah sesuatu yang tidak sihat untuk laporan box-office adalah hanya bersandar kepada kepercayaan kepada syarikat pemamer – serta tidak ada mekanisme yang membolehkan semua pihak (terutama FINAS selaku pihak berkuasa) untuk melakukan semakan atau audit terhadap ketepatan dan ketelusan setiap yang dilaporkan oleh pemamer dalam laporan tersebut.

 

 

kreatif

 

 

Apatah lagi apabila perihal jualan tiket filem tempatan dilingkari pelbagai isu integriti yang diperkatakan sejak sekian lama.

 

Harus diingat, selain soal kepentingan penerbit, hal ini juga turut terkait dengan kepentingan negara melalui duti hiburan yang diterima oleh kerajaan.

 

Oleh itu, pihak kerajaan perlu memikirkan mekasnisme untuk memastikan laporan yang dikeluarkan bukan bersandarkan kepada kepercayaan kepada satu-satu pihak sahaja.

 

Dalam industri yang saling memerlukan antara penerbit, pemamer dan pihak berkuasa, adalah tidak wajar pihak pemamer untuk dilihat mempunyai kuasa dominasi – malah sehingga dilihat melebihi pihak berkuasa.

 

Lebih menyedihkan apabila pihak berkuasa seperti FINAS tidak mempunyai akses yang baik kepada status kutipan jualan tiket semasa.

 

Ini termasuk bagi tujuan pengumpulan data industri oleh Jawatankuasa Wajib Tayang, serta juga bagi tujuan pemantauan bahagian pelesenan dan penguatkuasaan.

 

FINAS perlu mula memikirkan cara bagaimana mereka boleh mendapat data yang tepat dan cepat.

 

 

kreatif

 

 

Saya melihat bukanlah sesuatu yang sukar bagi pihak berkuasa untuk membangunkan satu sistem dalam talian bersepadu yang perlu diguna pakai oleh semua pihak pawagam sebagai satu sistem jualan tiket yang selaras untuk semua syarikat pemamer.

 

Dengan sistem dalam talian yang selaras, bukan sekadar penerbit dapat memastikan laporan jualan yang tepat, malah pihak FINAS dapat memantau jualan tiket serta mengumpul data jualan pawagam seluruh negara secara real time.

 

Ketepatan data yang dikumpul penting bagi mendapatkan gambaran sebenar industri, manakala pengumpulan data yang cepat membolehkan mereka untuk bertindak sekiranya terdapat petanda atau keraguan, khususnya dalam konteks pemantauan dan tindakan.

 

Sebagai contoh, dengan sistem bersepadu ini, FINAS boleh mengakses setiap jualan tiket yang dikeluarkan – termasuk memantau jualan tiket bagi setiap dewan tayangan di setiap lokasi pawagam yang didaftar dalam sistem – serta memantau sehingga setiap waktu tayangan yang ditetapkan dalam sistem.

 

Jadi, jika ada pembatalan tayangan atau penukaran tayangan kepada filem lain bagi satu-satu dewan tayangan pada satu-satu masa tayangan, semuanya dapat dipantau oleh pihak FINAS secara real-time.

 

Ini mungkin akan menjadi penyelesaian kepada isu pembatalan dan penukaran tayangan filem tempatan bagi digantikan oleh filem blockbuster Hollywood – iaitu isu besar yang sudah berlaku sejak sekian lama – yang masih tidak selesai sehingga kini.

 

Oleh itu, dengan sistem ini, Skim Wajib Tayang (SWT) dapat diperkasakan. FINAS dapat memantau jumlah tayangan minimum setiap hari bagi filem di bawah SWT adalah dipatuhi.

 

Malah isu keraguan terhadap laporan, malah ketirisan hasil negara (khususnya duti hiburan) dapat ditangani melalui pendekatan ini.

 

Penguatkuasaan pelaksanaan dan penggunaan sistem bersepadu ini oleh semua syarikat pemamer boleh dilakukan FINAS memandangkan kesemua syarikat pemamer yang beroperasi di Malaysia adalah berasaskan lesen pemameran (EF) yang dikeluarkan oleh pihak FINAS sendiri.

 

 

kreatif

 

 

Jika kerahsiaan perniagaan menjadi isu bagi syarikat pemamer, saya melihat hal tersebut tidak berlaku dalam konteks ini.

 

Ini kerana sudah menjadi satu kewajiban bagi setiap pemamer melaporkan jumlah dan nilai jualan kepada pelbagai pihak iaitu penerbit, FINAS malah kerajaan negeri bagi tujuan pembayaran duti hiburan.

 

Jika segalanya dilapor secara telus sebelum ini – tidak menjadi perubahan yang besar – malah tidak perlu dibimbangkan untuk pelaksanaan sistem bersepadu ini.

 

Malah ia sepatutnya dilihat sebagai pendekatan memudahkan semua pihak. Pihak pemamer tidak perlu lagi membangun atau menyelenggara sistem jualan mereka sendiri.

 

Ketika negara bercakap tentang revolusi industri 4.0 (IR4.0), capaian 5G dan sebagainya, isu keupayaan dan praktikaliti pelaksanaan sistem jualan bersepadu ini tidak harus dan tidak wajar dianggap sebagai sesuatu yang tidak realistik.

 

Dengan status negara yang menuju negara maju, malah dengan kemampuan teknologi semasa, mustahil sistem semudah ini tidak mampu dibangunkan.

 

Apatah lagi industri pemameran ini bukanlah industri yang bernilai kecil. Ia adalah industri yang bernilai bilion ringgit setiap tahun menyumbang ratusan juta setahun kepada kerajaan negeri melalui duti hiburan dan adalah sesuatu yang pelik jika kerajaan tidak sanggup berbelanja beberapa juta ringgit untuk sistem sebegini bagi membantu kelancaran dan kecekapan industri ini untuk tahun-tahun mendatang.

 

Mungkin kosnya hanya besar untuk permulaan  dan penyelenggaraan tahunan akan lebih rendah.

 

Oleh yang demikian, jika pandemik mahu dilihat sebagai fasa reset untuk memperbaiki dan menambahbaik industri kandungan kreatif negara – ini salah satu perkara yang penting untuk dilihat oleh kita semua. - DagangNews.com

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INDUSTRI KREATIF

Portfolio Tags