Sirius TV tawar 2 saluran percuma kepada KPM | DagangNews Skip to main content

Sirius TV tawar 2 saluran percuma kepada KPM

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Smart Digital International Sdn Bhd. (Smart), Khairuddin Abdul Rahman

 

 

 

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Stesen televisyen satelit berbayar terbaharu di Malaysia, Sirius TV menawarkan 2 saluran percuma kepada Kementerian Pelajaran (KPM) untuk dijadikan saluran TV Pendidikan kementerian tersebut.

 

Tawaran saluran itu beroperasi selama 24 jam sehari melalui Sirius TV. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Smart Digital International Sdn Bhd. (Smart), Khairuddin Abdul Rahman berkata, usaha itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai pengendali stesen berkenaan kepada masyarakat yang sedang menanggung beban akibat pandemik COVID-19.

 

Katanya, penggunaan kedua-dua saluran itu dapat membantu kementerian menyiarkan kandungan pendidikan bagi sekolah rendah dan menengah dengan lebih meluas. 

 

"Ini memandangkan Satelit SES–12 yang digunakan oleh Sirius TV mempunyai capaian yang amat baik di seluruh negara termasuklah di kawasan pedalaman.

 

"Malah, usaha ini membolehkan KPM menyediakan medium untuk para pelajar mengakses kandungan pendidikan dalam bentuk rakaman mahupun siaran langsung tanpa terlalu bergantung kepada capaian internet," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Stesen satelit berlesen, Sirius TV akan dilancarkan secara rasmi pada suku pertama tahun ini dan mempunyai sehingga 30 saluran yang menawarkan pakej tanpa kontrak dan dengan langganan percuma selama 12 bulan kepada pengguna.

 

Menurut Khairuddin, tawaran yang diberikan pihaknya selari dengan sokongan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Malaysia (NUTP) terhadap cadangan pengwujudan saluran televisyen pendidikan yang boleh diakses oleh pelajar daripada semua peringkat pendapatan dan di kawasan luar bandar.

 

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini pihak KPM masih belum memberi maklum balas kepada tawaran yang diberikan.

 

Beliau berkata, penggunaan kedua-dua saluran itu dapat meringankan beban kekurangan peranti seperti telefon pintar dan tablet untuk kegunaan program Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dihadapi oleh keluarga berpendapatan rendah ketika ini. - DagangNews.com