Skip to main content

Singapore Airlines rugi SG$1.12 bilion pada Q1

KUALA LUMPUR 30 Julai - Syarikat penerbangan Singapura, Singapore Airlines (SIA) mengalami kerugian sebanyak SG$1.12 bilion pada suku pertama 2020 daripada SG$111 juta keuntungan yang dicatatkan tahun lalu.

Kerugian itu didorong prestasi operasi yang merosot selain mengalami kerugian daripada pembubaran syarikat penerbangan usaha sama SIA, NokScoot sebanyak SG$127 juta pada 26 Jun 2020. 

Ini merupakan kerugian kali kedua yang dicatatkan SIA selepas rugi SG$732.4 juta pada suku keempat 2019.

Menurut SIA, operasi syarikatnya menerima tekanan tinggi pada suku pertama di mana pasaran ketika itu merosot dengan cepat akibat penularan wabak COVID-19 susulan aktiviti penerbangan terpaksa dihentikan kerana penutupan sempadan antarabangsa.

Berikutan itu, penerbangan SIA merosot 99.4% dengan anak syarikat, SilkAir (99.8%) dan Scoot (99.9%) yang mengakibatkan penurunan keseluruhan kumpulan SIA sebanyak 99.5%.

Memetik laporan theedgesingapore.com, hasil yang dicatatkan kumpulan itu merudum 79.3% kepada SG$851 juta daripada SG$4.1 bilion bagi tempoh sama pada 2019.

Setakat 30 Jun lalu, kumpulan SIA mencatatkan jumlah hutang sebanyak SG$12.04 bilion, jumlah aset bernilai SG$40.35 bilion dan jumlah tunai serta baki bank (SG$9.57 bilion).

Pada tahun ini, SIA telah meningkatkan kecairan syarikat sebanyak $11 bilion setelah terbitan hak lengkap pada Jun (SG8.8 bilion), pembiayaan bercagar ke atas pesawat A350-900 dan 787-10 (SG$1.7 bilion) serta kredit dan pinjaman tidak bercagar jangka masa pendek (SG$500 juta). 

Sementara itu, SIA turut mengembangkan rangkaiannya ke 32 daripada 18 destinasi pada penghujung bulan Jun 2020.

Langkah itu diambil setelah pembukaan sempadan antarabangsa yang dilaksanakan secara berperingkat dengan laluan terpilih dijangka menyaksikan peningkatan kekerapan aktiviti penerbangan, bergantung kepada permintaan. 

Tambah syarikat penerbangan Singapura itu, pihaknya menjangkakan kapasiti penumpang mencatat kurang daripada separuh jumlah yang dicatatkan ketika awal penularan COVID-19 dan industri itu dijangka pulih selepas dua hingga empat tahun. - DagangNews.com