Siapa yang mampu meramal masa hadapan? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
MULANYA DI SINI - 30 May 2022

Siapa Yang Mampu Meramal Masa Hadapan?

Oleh Wan Mohd Farid Wan Zakaria

 

 

 

 

KETIKA menempuhi kesesakan trafik terutamanya di ibu kota, Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar seringkali kita dengar ungkapan di corong radio  ‘Tak Hensem Takpe Janji Kaya’ yang menjadi seolah-olah fenomena seluruh Malaysia.

 

Ramai yang mendengar mula berangan untuk menjana pendapatan tambahan melalui penglibatan dalam pasaran saham.

 

Untuk yang baru nak bermula dalam pasaran saham, kebiasaannya mereka tidak mempunyai ilmu dan pengetahuan tentang selok-belok pasaran saham kerana pelaburan dan perdagangan saham adalah bukan secara rambang atau membuta tuli. Pelaburan dan perdagangan saham adalah menggunakan teknik yang merujuk kepada analisis saham.

 

Analisis saham di sini merujuk kepada kaedah yang digunakan samada oleh pelabur atau pedagang untuk menilai dan menyelidik instrumen perdagangan, sektor pelaburan, atau pasaran saham tertentu secara keseluruhan.

 

Analisis saham juga dikenali sebagai analisis ekuiti atau analisis pasaran. Pelabur atau pedagang akan membuat keputusan berdasarkan dapatan yang diperolehi melalui teknik ini.

 

Analisis saham membantu pelabur dan pedagang untuk mendapatkan gambaran mengenai keadaan ekonomi, situasi semasa pasaran saham dan sentimen pelabur mahupun pedagang.

 

Ia melibatkan kajian tentang data pasaran masa lalu dan sekarang dalam usaha mewujudkan kaedah atau metodologi untuk memilih saham yang sesuai untuk pelaburan atau perdagangan.

 

Analisis saham juga membantu mereka untuk mengenal pasti masa yang sesuai untuk berdagang (membeli dan menjual) saham.

 

 

parafrasa

 

 

Analisis saham terbahagi kepada dua (2) mazhab (schools of thought) atau aliran iaitu analisis asas (fundamentals) atau analisis teknikal (technical).

 

Pelabur dan pedagang menggunakan teknik yang berbeza samada mereka menggunakan salah satu teknik atau gabungan daripada kedua-dua teknik ini.

 

Di dalam artikel ini, fokus diberikan kepada analisis teknikal memandangkan banyak Guru Saham di Malaysia bak peribahasa Melayu, “bagai cendawan tumbuh selepas hujan”.

 

Kebanyakan Guru Saham banyak menekankan teknik analisis teknikal memandangkan ianya lebih sesuai digunakan dalam tempoh yang singkat, mudah difahami serta tidak terlalu rumit seperti analisis asas.

 

Analisis teknikal mengikut definisi adalah merujuk kepada kaedah menilai sekuriti dengan menganalisis statistik dan data yang dihasilkan oleh aktiviti pasaran saham, seperti harga dan jumlah dagangan dalam bentuk unit (volume) masa lalu.

 

Analisis teknikal cuba meramalkan perubahan harga dengan mengenal pasti trend atau corak dalam harga pasaran, jumlah dagangan serta dibantu oleh petunjuk teknikal (technical indicators).

 

Penganalisis teknikal tidak seperti penganalisis asas yang cuba untuk menilai nilai sebenar saham tetapi sebaliknya menggunakan graf harga saham dibantu dengan petunjuk teknikal untuk mengenal pasti trend yang boleh meramalkan aktiviti perdagangan saham yang dianalisis pada masa hadapan (pergerakan harga pada masa hadapan).

 

Analisis teknikal seperti yang kita ketahui hari ini pertama kali diperkenalkan oleh Charles Henry Dow dan Teori Dow yang telah dikumpulkan dan dibukukan hasil dari usaha dan sumbangan beliau sendiri menerusi penulisan beliau sendiri serta dibantu oleh penyelidik pasaran sekuriti yang membantu merangka asasnya seperti William P. Hamilton, Robert Rhea dan lain-lain.

 

 

parafrasa

 

 

Pada masa kini analisis teknikal telah berkembang dengan adanya beratus-ratus trend pergerakan harga serta isyarat petunjuk teknikal yang telah dibangunkan melalui hasil penyelidikan yang memakan masa beratus tahun.

 

Dalam mempelajari analisis teknikal, para pedagang perlu mengetahui kerangka asas iaitu andaian umum untuk teknik ini iaitu:

  • Pasaran "mengambil kira" segala-galanya.
  • Harga bergerak dalam trend atau mengikut corak.
  • Sejarah cenderung untuk berulang.

 

Pasaran "mengambil kira" segala-galanya

Penganalisis teknikal percaya bahawa semua maklumat yang ada, merujuk kepada maklumat pada masa lalu, maklumat pada masa sekarang serta maklumat pada masa hadapan dan faktor baik dari segi dalaman atau luaran iaitu merujuk kepada syarikat itu sendiri seperti pendapatan atau pendapatan masa depan dan faktor pasaran yang luas dan psikologi pasaran sudah diambil kira dalam menentukan nilai saham yang diniagakan di pasaran saham.

 

Disebabkan ini penganut analisis teknikal percaya yang menilai saham berdasarkan maklumat kewangan lampau tidak berguna kerana semua faktor itu telah diambil kira dalam menetapkan harga saham.

 

Di sini dapat disimpulkan yang harga pasaran saham yang diniagakan adalah gambaran untuk semua maklumat yang ada di pasaran.

 

 

parafrasa

 

 

Harga bergerak dalam trend

Kebanyakan strategi perdagangan menggunakan analisis teknikal adalah berdasarkan andaian ini.

 

Penganalisis teknikal mendapati bahawa harga, walaupun dalam pergerakan yang rawak masih bergerak dalam trend. Dalam erti kata lain, harga saham lebih cenderung untuk meneruskan trend yang terjadi pada masa lalu daripada bergerak secara rawak.

 

Kebanyakan penganalisis teknikal juga bersetuju bahawa pergerakan harga adalah mengikut trend tetapi terdapat sesetengah tempoh, pergerakan harga adalah rawak.

 

Sekiranya harga sentiasa bergerak secara rawak, analisis teknikal sudah pasti tidak dapat digunakan untuk membuat keuntungan di pasaran saham.

 

Sejarah cenderung untuk berulang

Ini tiada kena mengena dengan lagu popular yang pernah dinyanyikan oleh sebuah kumpulan kugiran kegilaan gadis pada masa lalu iaitu New Boyz.

 

Walaupun Tomok mungkin seorang penganalisis teknikal dalam pasaran saham, beliau percaya bahawa sejarah cenderung  untuk berulang.

 

Ini kerana pergerakan harga saham yang cenderung untuk berulang dikaitkan dengan psikologi pasaran berdasarkan emosi pedagang saham iaitu ketakutan atau ketamakan (fear and greed).

 

Ini berdasarkan logik bahawa ketakutan yang berlebihan cenderung menurunkan harga saham kerana pedagang mula menjual saham apabila banyak berita negatif membanjiri pasaran dan terlalu banyak ketamakan cenderung menaikkan harga saham (kesan bertentangan). 

 

 

saham

 

 

Penganalisis teknikal telah mengkaji corak pergerakan harga pada graf untuk menganalisis emosi untuk memahami trend pergerakan harga.

 

Dapatan ini dipercayai relevan kerana ia telah mendedahkan psikologi pergerakan harga yang sering berulang. Oleh kerana corak ini telah berfungsi dengan baik pada masa lalu, diandaikan bahawa ia akan terus berfungsi dengan baik pada masa akan datang. 

 

Ini jelas menunjukkan yang analisis teknikal adalah mudah difahami dan boleh digunakan oleh mereka yang baru melibatkan diri dalam pasaran saham.

 

Analisis teknikal juga tidak seperti analisis asas yang bergantung kepada penggunaan penyata kewangan yang dijadikan sebagai dasar untuk membuat keputusan dalam berdagang atau melabur dalam pasaran saham.

 

 

bursa

 

 

Jika dibandingkan dengan analisis asas yang rumit, analisis teknikal mengambil kira "perasaan" pasaran, yang lebih subjektif.

 

Tidak kira teknik mana yang dipilih oleh pelabur mahupun pedagang dalam usaha menjana keuntungan di pasaran saham. Ia tidak semudah itu....... kerana kita tidak tahu siapa mampu meramal dan memiliki masa hadapan!

 

Memetik kata Norman Ralph Augustine:

“Sekiranya pelabur dan pedagang pasaran saham mengaku mereka adalah pakar, kenapa mereka menjual air liur bukan berdagang saham untuk menjana keuntungan?”  - DagangNews.com

 

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Ketua Jabatan Penjenamaan Korporat Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED) Universiti Teknologi MARA

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL MULANYA DI SINI

Portfolio Tags