Serba Dinamik catat hasil RM799.3 juta pada Q1FY22 | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik catat hasil RM799.3 juta pada Q1FY22


KUALA LUMPUR 30 Nov – Serba Dinamik Holdings Berhad, penyedia perkhidmatan kejuruteraan bersepadu global, mencatat hasil sebanyak RM799.3 juta bagi suku tahunan berakhir 30 September 2021 (Q1FY22).

 

Sementara itu, Kumpulan mencatat kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM39.0 juta dan kerugian selepas cukai (LAT) sebanyak RM42.3 juta bagi tempoh suku tahunan yang dikaji.

 

Bagi Q1FY22, segmen operasi dan penyenggaraan (O&M) kumpulan merupakan penyumbang hasil terbesar kepada kumpulan iaitu RM742.9 juta atau 92.9% daripada keseluruhan perolehan.

 

Ia didorong oleh aktiviti MRO dan IRM yang disumbangkan terutamanya daripada operasi di rantau Timur Tengah seperti Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), disusuli Malaysia.

 

Segmen EPCC atau Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan merupakan segmen kedua terbesar kepada perolehan iaitu RM52.3 juta atau 6.5% daripada jumlah keseluruhan hasil.

 

Sementara it, segmen Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), dan latihan dan pendidikan (E&T) memberikan perolehan masing-masingnya sebanyak RM1.8 juta dan RM2.4 juta.

 

Daripada segi geografi, rantau Timur Tengah adalah penyumbang terbesar hasil iaitu RM559.2 juta atau 70.0% daripada jumlah hasil bagi Q1FY22.

 

Rantau Asia Tenggara pula ialah RM231.1 juta atau 28.9%; rantau Asia Selatan dan Tengah RM6.2 juta atau 0.8% dan United Kingdom sebanyak RM2.9 juta.


 

karim abdullah
                   Dato’ Dr. Ir. Ts. Mohd. Abdul Karim Abdullah

 


Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik, Dato’ Dr. Ir. Ts. Mohd. Abdul Karim Abdullah berkata, seiring dengan industri pesat menerima Revolusi Industri Keempat (IR4.0), syarikat berazam untuk menjana nilai mampan dan membina kelestarian sambil menyepadukan perniagaan IT dan aeroangkasa sebagai sebahagian teras perniagaan.

 

‘’Disebalik fundamental syarikat yang positif, persekitaran perniagaan syarikat kekal mencabar disebabkan krisis yang sedang dialami Kumpulan berpunca daripada audit statutori yang belum lengkap.

 

‘’Kumpulan berusaha untuk menyelesaikan isu-isu ini demi kepentingan semua pemegang saham,’’ kata beliau. – DagangNews.com