Seng Fong mula disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada harga RM0.75 sesaham | DagangNews Skip to main content

Seng Fong mula disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada harga RM0.75 sesaham

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Julai - Seng Fong Holdings Berhad membuat penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia dengan 10.82 juta unit saham diniagakan pada harga RM0.75 sesaham sama seperti yang ditawarkan menerusi tawaran awam permulaan (IPO) sebelum ini.

 

Permodalan pasaran Seng Fong daripada penyenaraian itu adalah sebanyak RM389.22 juta.

 

Pengerusi Seng Fong, Ng Ah Bah @ Kok Yee berkata, penyenaraian tersebut memberikan peluang kepada kumpulan itu untuk merealisasikan objektif segeranya serta melabur dalam inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

“Melangkah ke hadapan, kami akan berada pada kedudukan yang baik untuk meraih peluang daripada peningkatan permintaan pelanggan sedia ada kami serta daripada pelanggan baharu sambil meningkatkan pengeluaran melalui pengambilan lebih ramai orang untuk anjakan kedua dan melaksanakan inisiatif ESG.

 

"Kami berhasrat untuk mengagihkan sekurang-kurangnya 50% daripada keuntungan bersih tahunan kami sebagai dividen kepada pemegang saham, tertakluk kepada kelulusan Lembaga Pengarah dan pemegang saham," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu menjana sebanyak RM68.1 juta daripada terbitan IPO dengan RM19.7 juta diperuntukan untuk modal kerja termasuk pembelian bahan mentah serta pengambilan pekerja tambahan.

 

Sejumlah RM37.9 juta untuk pembayaran balik pinjaman bank yang termasuk pembiayaan separa untuk unit sistem solar, RM6.3 juta untuk membiayai pemasangan unit sistem biojisim dan RM4.2 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.

 

Pemasangan sistem solar dianggarkan akan membantu penjimatan kos kira-kira RM2.6 juta setahun daripada kos elektrik dan RM3.5 juta lagi setahun daripada kos diesel melalui pemasangan sistem biojisim.

 

Sementara itu, getah blok yang dikeluarkan Seng Fong dijual terus kepada pelanggan pengguna akhir, majoriti adalah pengeluar tayar, dan juga dijual kepada peniaga getah antarabangsa. 

 

Getah blok dipacu oleh industri automotif dengan kira-kira 70% getah asli global digunakan untuk pembuatan tayar. 

 

Melangkah ke hadapan, sektor automotif dunia dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) lima tahun (2021 hingga 2025) sebanyak 7.03% kepada 105.0 juta unit.

 

Hasil Seng Fong hampir keseluruhannya diperoleh daripada eksport, dengan pasaran utama iaitu China, Hong Kong, Singapura dan Taiwan. - DagangNews.com