Sektor perbankan, sarung tangan getah paling 'beruntung' jika kadar faedah dinaikkan | DagangNews Skip to main content

Sektor perbankan, sarung tangan getah paling 'beruntung' jika kadar faedah dinaikkan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 Jan - AmInvestment Bank Research mengekalkan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) akan menaikkan kos pinjaman antara 3 hingga 4 kali pada tahun ini hingga mencecah 2.50 hingga 2.75%. 

 

Penganalisisnya, Alan Lim Seong Chun berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) pula dijangka membuka laluan kepada kadar faedah yang lebih tinggi pada separuh kedua ini, dengan 1 hingga 2 kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas dalam setiap kenaikan.

 

"Kami percaya bahawa momentum pertumbuhan ekonomi, peningkatan inflasi dan menangani perbezaan kadar faedah akan menjadi antara faktor utama yang menyokong kenaikan kadar ini. 

 

"Inflasi dijangka kekal tinggi dalam jangka masa pendek walaupun ia mungkin menunjukkan trend menurun sepanjang tahun ini," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) pada 26 Januari lalu, AS mengekalkan kadar dasar faedah hampir 0%. 

 

Bagaimanapun, ia membayangkan 'kenaikan kadar faedah tidak lama lagi adalah lebih bersesuaian'. Lebih penting lagi, pembelian aset bersih harus berakhir pada awal Mac.

 

Menurut Seong Chun, kenaikan kadar faedah yang lebih tinggi ini akan memberi impak positif kepada sektor perbankan dan sarung tangan getah. 

 

Bagi sektor perbankan katanya, kadar yang lebih tinggi akan meningkatkan margin pendapatan faedah bersih (NIM) bank dengan pinjaman akan dinilai semula sebelum kadar deposit. 

 

"Ini akan mencerminkan pendapatan faedah bersih bagi bank. Kebiasaannya, setiap kenaikan 25 mata asas akan mengembangkan NIM bank sebanyak 3 hingga 4 mata asas dan meningkatkan keuntungan bersih bank kira-kira 1 hingga 2%. 

 

"Bank dengan campuran kadar apungan yang lebih tinggi dan pinjaman domestik akan mendapat lebih banyak manfaat daripada kenaikan OPR, justeru, kami mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor ini," jelasnya. 

 

Mengenai sektor sarung tangan pula, beliau mendapati 3 syarikat di bawah liputan AmInvestment berada dalam kedudukan bersih tunai. 

 

"Oleh itu, kenaikan kadar faedah ini akan mencerminkan pendapatan faedah bersih yang lebih tinggi kepada syarikat pengeluar sarung tangan getah," katanya.

 

Namun, beliau mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor ini memandangkan harga jualan purata (ASP) masih menunjukkan trend penurunan.

 

Sebaliknya, Seong Chun berkata, sektor automotif, penjagaan kesihatan, insurans, minyak dan gas (O&G), hartanah, REIT dan teknologi akan menerima kesan negatif daripada kenaikan kadar faedah ini.

 

Secara keseluruhan, beliau mengekalkan unjuran FBM KLCI akhir tahun ini berlegar pada paras 1,600 mata. 

 

"Kami juga menjangkakan pendapatan KLCI akan menyusut sebanyak 3.5% berikutan anggaran hasil yang lebih rendah bagi sektor sarung tangan getah dan perladangan," tambahnya. - DagangNews.com