Sejauh mana operasi kilang Panasonic Malaysia mampu dorong pemulihan keuntungan syarikat? | DagangNews Skip to main content

Sejauh mana operasi kilang Panasonic Malaysia mampu dorong pemulihan keuntungan syarikat?

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Keuntungan Panasonic Manufacturing Malaysia Berhad (PMM) dalam kedua-dua pasaran domestik dan eksport pada suku kedua tahun kewangan 2021dan seterusnya dijangka pulih.

Ini didorong oleh perintah kawalan pergerakan (PKP) mula dilonggarkan dan operasi semula kilang PMM.

Bagaimanapun, CGS-CIMB Research (CGS-CIMB) berpendapat proses pemulihan itu mungkin ‘terbantut’ memandangkan keadaan ekonomi bagi pasaran domestik dan eksport tidak menentu. 

Sehubungan itu, CGS-CIMB menurunkan ramalan perolehan sesaham (EPS) tahun kewangan 2021 hingga 2023 bagi syarikat berkenaan sebanyak 3.5% hingga 3.9%.

“PMM mencatatkan penurunan hasil sebanyak 47.1% pada suku pertama tahun kewangan 2021 susulan penutupan kilang bermula 18 Mac hingga Mei 2020 ketika kerajaan melaksanakan PKP. 

“Ini menyebabkan kerugian bersih PMM mencecah RM1.7 juta pada tempoh berkenaan berbanding keuntungan bersihnya pada suku pertama tahun kewangan 2020 (RM28.4 juta). Angka ini lebih rendah daripada jangkaan kami dan Bloomberg disebabkan oleh kos tetap yang lebih tinggi pada tempoh berkenaan,” jelas analisis CGS-CIMB. 

Pada suku berkenaan, segmen produk alatan rumah dan kipas mencatatkan penurunan hasil masing-masing sebanyak 45.8% dan 48%.

Dalam pada itu, CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘pegang’ pada saham PMM dengan sasaran harga (TP) yang lebih tinggi iaitu RM30.50.

“Kami meramalkan harga sahamnya akan disokong oleh keuntungan dividen CY21-23F sebanyak 6.8% memandangkan kadar persekitaran faedah ketika ini rendah. 

“Pendorong bagi kenaikan harga saham turut bergantung kepada jualan eksport dan margin yang mengukuh,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com