SD Property catat pendapatan Q4 lebih rendah, RM705 juta | DagangNews Skip to main content

SD Property catat pendapatan Q4 lebih rendah, RM705 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Sime Darby Property Berhad (SD Property) mencatatkan pendapatan bagi suku tahun berakhir 31 Disember 2020 (4Q20) 20.7% lebih rendah kepada RM705.2 juta daripada RM888.9 juta pada 4Q19. 

 

Namun, angka itu 19% lebih tinggi berbanding suku sebelumnya didorong oleh jualan hartanah dan aktiviti pembinaan lebih tinggi seperti KL East, KLGCC Resort, Taman Melawati, City of Elmina, Bandar Bukit Raja, Serenia City, Bandar Ainsdale, Nilai Utama dan Senada Residences. 

 

Bagi prestasi kewangan sepanjang tahun (FY20), kumpulan syarikat itu mencatatkan hasil dan kerugian sebelum faedah dan cukai (LBIT) masing-masing bernilai RM2.1 bilion dan RM509.9 juta. 

 

“Prestasi kewangan sepanjang tahun juga menunjukkan kos kerugian rosot nilai aset termasuk kerugian rosot nilai yang telah diumumkan daripada projek Jana Tenaga Battersea dan penghapusan inventori serta peruntukan berjumlah RM620.3 juta,” jelas SD Property dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut SD Property, tanpa rosot nilai akibat COVID-19, kumpulan syarikat dalam landasan tepat untuk mencapai keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) bernilai RM110.14 juta bagi FY20. 

 

Prestasi kumpulan juga terkesan oleh beberapa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjejaskan jualan dan aktiviti pemasarannya, ujar SD Property.

 

Di sebalik prestasi kewangan yang merosot, SD Property bagaimanapun mencatatkan jumlah jualan 43% lebih tinggi daripada sasaran yang disemak semula, RM1.4 bilion kepada RM2.0 bilion. 

 

Katanya, kira-kira 36% daripada jumlah jualan itu dihasilkan pada 4Q20, disokong oleh kadar dasar semalaman (OPR) yang terendah dalam sejarah serta pelancaran semula Kempen Pemilikan Rumah pada Jun 2020. 

 

Pengarah Urusan Kumpulan SD Property, Datuk Azmir Merican berkata, pelancaran baharu yang dibuat pada FY20 menyaksikan purata kadar pengambilan 88%. 

 

Azmir Merican
Azmir Merican

 

“Kami sentiasa mendahulukan pelanggan, di mana menyokong jenama kami. 

 

“Ini terus memacu jualan ketika COVID-19 memberi impak kepada ekonomi, membantu kami memecah sasaran dengan pencapaian RM2.0 bilion nilai jualan,” katanya dalam kenyataan sama.

 

Bagi tahun kewangan semasa, SD Property melihat pasaran hartanah akan terus berdepan tekanan daripada sentimen pasaran yang tidak menentu disebabkan oleh pandemik COVID-19.

 

Baca : Jual kepentingan Tesco Malaysia, untung Sime Darby melonjak

 

Namun, kumpulan syarikat itu masih meletakkan sasaran jualan lebih tinggi pada kadar RM2.4 bilion berbanding tahun lalu. 

 

Tahun ini bakal menyaksikan pelancaran projek baharu oleh SD Property dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM2.5 bilion, termasuk gabungan kedua-dua perumahan bertanah dan bertingkat serta tawaran industri dan komersial. 

 

“Fokus kami ketika ini adalah untuk mengembalikan keuntungan kumpulan syarikat dan mencapai unjuran jualan bagi 2021. 

 

“Kami telah mengenal pasti beberapa kawasan di mana kami boleh membentuk peluang perniagaan ketika pandemik yang masih berterusan ini, mempergiat usaha pengalaman pelanggan kami untuk memenuhi keperluan mereka bagi kediaman dengan harga dan pengalaman penjualan yang tepat, selamat dan selesa,” tambah Azmir. - - DagangNews.com