Scam: Shopee beri amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati | DagangNews Skip to main content

Scam: Shopee beri amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

Shopee hanya akan menganjurkan peraduan seperti 'Cabutan Bertuah', 'Tekan dan Menang' dan 'Putar dan Menang' melalui aplikasi rasmi Shopee rasmi, halaman media sosial rasmi Shopee dan akaun perniagaan rasmi WhatsApp Shopee yang mempunyai tanda 'disahkan'

 

Shopee menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap individu yang menyamar sebagai pekerja Shopee dalam talian yang menawarkan peluang pekerjaan, ganjaran wang tunai dan hadiah cabutan bertuah melalui platform seperti WhatsApp.

 

Shopee memaklumkan, platform e-dagang itu tidak menggaji mana-mana individu untuk merekrut pekerja melalui WhatsApp untuk tujuan 'meningkatkan kadar pendedahan peniaga'. 

 

"Shopee hanya akan menganjurkan peraduan seperti 'Cabutan Bertuah', 'Tekan dan Menang' dan 'Putar dan Menang' melalui aplikasi rasmi Shopee rasmi, halaman media sosial rasmi Shopee dan akaun perniagaan rasmi WhatsApp Shopee yang mempunyai tanda 'disahkan'.

 

"Shopee ingin mengingatkan rakyat Malaysia untuk mengelakkan penipuan ini dan tidak menjadi mangsa tawaran atau ganjaran pekerjaan palsu ini," menurut kenyataan tersebut hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, sekiranya orang awam mendapati diri mereka ditawarkan peluang pekerjaan atau pertandingan yang meragukan atau telah menjadi mangsa penipuan sedemikian, sila membuat laporan polis di balai polis berhampiran dengan segera.

shopee

Dalam pada itu, Shopee turut berkongsi saluran dan platform untuk orang ramai berhubung dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika terlibat dengan penipuan itu.

 

"Orang ramai boleh menggunakan platform PDRM, SEMAKMULE dengan melayari  https://semakmule.rmp.gov.my/ bagi akaun bank dan nombor telefon yang disyaki terlibat dengan jenayah komersial.

 

"Selain itu, mereka boleh menggunakan saluran Whatsapp PDRM iaitu CCID Infoline (beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam) bagi menyemak status laporan polis dan memberikan maklumat jenayah komersial menerusi talian 013-2111222.

 

Atau boleh menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 atau 03-26101599 yang beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 8 malam, iaitu pusat informasi PDRM bagi memberi maklumat atau info berkaitan jenayah penipuan dalam talian," katanya.

 

Tambah kenyataan itu, Shopee akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan dalam menangani penipuan ini.

 

Jika terdapat keraguan tentang peranan yang sedang diiklankan atau ditawarkan, sila hubungi hr.my@shopee.com untuk mendapatkan penjelasan lanjut sebelum mengambil sebarang tindakan.

 

Ini termasuk, jika mempunyai keraguan tentang sebarang peraduan yang dipromosikan oleh Shopee, sila hubungi talian khidmat pelanggan Shopee di talian 03-27779222 atau emel help@support.shopee.com.my untuk pengesahan.

 

Rakyat Malaysia boleh mengikuti perkembangan terkini tentang potensi penipuan lain melalui tapak mikro kesedaran jenayah siber khusus Shopee di https://shopee.com.my/m/online-shopping-safety-tips. - DagangNews.com