SC kenakan 13 pertuduhan tambahan terhadap Charles Chua Yi Fuan | DagangNews Skip to main content

SC kenakan 13 pertuduhan tambahan terhadap Charles Chua Yi Fuan

Charles sebelum ini menghadapi empat pertuduhan pada 16 Jun di dua mahkamah sesyen Kuala Lumpur berkaitan kesalahan serupa.

KUALA LUMPUR 25 Jun - Suruhanjaya Sekuriti (SC) mendakwa bekas jurubank pelaburan Charles Chua Yi Fuan kerana memperdaya tujuh pelabur dengan jumlah kerugian berjumlah hampir RM1.67 juta antara Julai 2017 dan Mei 2019.

 

Chua, yang merupakan bekas naib presiden Pasaran Hutang di Hong Leong Investment Bank Bhd, telah memberitahu mangsa bahawa mereka melabur dalam skim pelaburan yang dikatakan melibatkan langganan sekuriti walaupun skim sedemikian tidak wujud.

 

“Chua hari ini dibawa ke dua mahkamah sesyen berasingan di Melaka untuk menghadapi 13 pertuduhan di bawah subseksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

 

"Hukuman bagi sabitan kesalahan di bawah subseksyen ini ialah hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta bagi setiap pertuduhan," kata SC dalam satu kenyataan.

 

Chua minta dibicarakan atas semua pertuduhan terhadapnya.

 

Hakim Mahkamah Sesyen Nariman Badruddin membenarkan ikat jamin RM300,000 dengan dua penjamin manakala di mahkamah lain, hakim mahkamah sesyen Maziah Joary Mohd Tajudin membenarkan ikat jamin RM280,000 juga dengan dua penjamin.

 

Selain itu, kedua-dua mahkamah memerintahkan tertuduh melaporkan diri kepada pegawai penyiasat SC setiap bulan.

 

Charles sebelum ini menghadapi empat pertuduhan pada 16 Jun di dua mahkamah sesyen Kuala Lumpur berkaitan kesalahan serupa. Dia minta dibicarakan atas tuduhan tersebut.

 

BERITA BERKAITAN : Charles Chua Yi Fuan diusir dari Kemboja untuk hadapi tuduhan menipu oleh Suruhanjaya Sekuriti

 

"SC terus mengingatkan pelabur supaya berhati-hati sebelum berpisah dengan wang mereka dan apabila mempertimbangkan peluang pelaburan.

 

"Pelabur dinasihatkan untuk merujuk kepada Senarai Makluman Pelabur SC untuk senarai tapak web/platform yang tidak dibenarkan, produk pelaburan, syarikat dan individu," tambah pengawal selia itu. - DagangNews.com