Sazaliza Zainuddin dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi KWSP baharu | DagangNews Skip to main content

Sazaliza Zainuddin dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi KWSP baharu

KUALA LUMPUR 3 Sept - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pelantikan Sazaliza Zainuddin sebagai Ketua Pegawai Operasi yang baharu berkuatkuasa 1 September 2021.

 

Sazaliza menggantikan Datuk Mohd Naim Daruwish yang bersara selepas berkhidmat selama hampir tiga dekad dan berperanan penting dalam memperkukuhkan operasi KWSP, termasuk ketika tempoh sekatan pergerakan berikutan pandemik COVID-19.

 

Menurut KWSP, Sazaliza pernah berkhidmat di PricewaterhouseCoopers (PwC) dari 1997 hingga 2006, sebelum memulakan kerjaya bersama KWSP pada tahun 2006 sebagai Ketua Akaun di Jabatan Kewangan.

 

"Di KWSP, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Kewangan, Ketua Pengurusan Perolehan, dan Ketua Audit Dalaman, sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Kewangan pada 2017.

 

"Sebagai Ketua Pegawai Operasi yang baharu, beliau akan menyelia portfolio perkhidmatan operasi dan fungsi sokongan, dengan penekanan khusus terhadap pengurusan prestasi, penyampaian perkhidmatan yang berkesan dan juga keperluan kontrak," kata KWSP dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Dengan perubahan portfolio Sazaliza, Mohamad Hafiz Kassim dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pegawai Kewangan mulai 1 Ogos 2021.

 

 

Mohamad Hafiz Kassim
Mohamad Hafiz Kassim

 

 

Mohamad Hafiz yang juga seorang akauntan, sebelum ini telah berkhidmat dengan PwC dan Daiwa Capital sebelum menyertai KWSP pada tahun 2008. Di KWSP, beliau pernah mengetuai Jabatan Pelaburan Hartanah, Jabatan Pasaran Modal, dan Jabatan Ekuiti Persendirian.

 

Sebagai Ketua Pegawai Kewangan, Mohamad Hafiz akan bertanggungjawab memastikan operasi Bahagian Kewangan dan Perkhidmatan berjalan dengan cekap dan berkesan.

 

Mohamad Hafiz kini menyertai Sazaliza dan pihak pengurusan kanan KWSP yang lain, diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bersama Ketua Pegawai Pelaburan, Rohaya Mohammad Yusof; Ketua Pegawai Strategi, Nurhisham Hussein; dan Ketua Pegawai Teknologi Digital, Muhammad Afhzal Abdul Rahman. - DagangNews.com