Sastera itu keberadaan Budaya Tinggi | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 18 December 2021

SASTERA ITU KEBERADAAN BUDAYA TINGGI

 

 

 

MEMPERKENALKAN Sasterawan Negara merupakan acara terakhir inisiatif KLWKND di Kuala Lumpur kelolaan CENDANA dan kurator festival tersohor Joe Sidek bulan lepas.

 

KLWKND merupakan usaha CENDANA untuk membawa budaya dekat di hati rakyat.

 

Sememangnya acara ini menunjukkan kesungguhan CENDANA untuk merakyatkan budaya dengan membawa pemikir-pemikir tertinggi yang dinobatkan Sasterawan Negara ke satu pentas - Prof Emeritus Muhammad Haji Salleh, Datuk Sr Siti Zainon Ismail, Dato Dr Zurinah Hassan dan Datuk Dr Anwar Ridhwan.

 

Program berbentuk forum yang diserikan dengan persembahan dan iringan serunai dan alunan syair serta video amat mengasyikkan.

 

Alhamdulillah kebanyakan mereka yang hadir di dewan kelihatan dari generasi muda terutamanya anak-anak dari Sekolah Seri Puteri, pelajar dari Universiti Malaya dan ASWARA antara mereka yang hadir.



Ahli pemikir membawa kelainan menerusi pemerhatian yang begitu tajam. Prof Emeritus Muhammad Hj Salleh kelahiran bandar Taiping, Perak, menekankan perkara ini dengan berkata budaya dan bahasa kita berasal dari kumpulan bahasa yang besar.

 

Kita patut bangga dengan hakihat ini. Segala manuskrip lama seperti Sulalatus Salatin Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah antara karya hebat warisan lama kita.


 

ninot

 


Prof Muhammad ternyata mendapat penghormatan ke mana saja beliau pergi kerana kekuatan bahasanya dalam kedua-dua Bahasa Melayu dan juga Bahasa Inggeris.

 

Sasterawan Negara dan pemuisi tersohor ini menyifatkan pengembaraannya ke serata dunia memberikannya keyakinan bahawa sastera membuktikan Budaya Pemikiran Tinggi.

 

Baik di Indonesia, di Mexico atau di Perancis, bahasa disanjung keberadaannya. 

 

Sayangnya, ujar beliau, di negara kita, ada kecenderungan melihat sastera itu hanyalah untuk mereka yang kurang berjaya dalam pelajaran atau tidak berapa bijak dalam Ilmu Sains. 


 

Prof Emeritus Muhammad Hj Salleh
                                           Prof Emeritus Muhammad Hj Salleh

 


Ini merugikan Negara kerana ahli pemikir amat penting  dalam membawa negara ke arah kecemerlangan.

 

Datuk Dr Siti Zainon pula mengatakan bahawa dia diperkenalkan kepada keagungan Bahasa yang indah apabila mendapat suntikan ilham dari mereka yang berbangsa asing yang amat cintakan Bahasa Melayu seperti Mubin Sheppard dan Amin Sweeney yang mementingkan penggunaan Bahasa yang betul.

 

Datuk Siti Zainon berkongsi pengalaman terserempak berjumpa Tan Sri Mubin Sheppard semasa hanya berumur lapan tahun buat kali pertama. 

 

Mereka berbual mesra dan apabila Datuk Dr Siti Zainon telah bertambah dewasa barulah ia sedar siapa ‘Mat Saleh’ yang ditemuinya itu – seorang tokoh sejarawan terkenal!

 

Hidupnya dipenuhi detik-detik keindahan, contohnya di Acheh, angın yang menderu di pergunungan turun ke tasik mencetuskan ilham puisi indah.


 

Datuk Dr Siti Zainon
                                                                   Datuk Dr Siti Zainon

 


Di Acheh, beliau terharu dijemput membaca puisi di Masjid Besar selepas azan, satu lagi pengalaman yang tidak terhingga indahnya di mana karangan bahasanya yang indah dan puitis dianggap sesuai untuk dibacakan di masjid…

 

Namun, Datuk Dr Siti Zainon risau melihat anak muda hari ini yang bahasa Inggerisnya kurang sempurna, Bahasa Melayunya pula kurang tepat penggunaannya. Di manakah pemerkasaan bahasa anak bangsa hari ini?

 

Sastera hebat tradisional kita tiada tolok bandingan, menurut Datuk Dr Zurinah Hassan.

 

Beliau cintakan pengalaman kampung halaman di Tikam Batu, Kedah dan ini membentuk naluri, cinta pada Bahasa dan kehebatan Sasterawan Negara wanita pertama negara berkarya.


 

Datuk Dr Zurinah Hassan
                                                               Datuk Dr Zurinah Hassan

 


Beliau juga amat hebat mengalunkan syair sehingga terpegun semua yang mendengar di dewan Panggung Bandaraya DBKL pada sessi tersebut.

 

Datuk Dr Zurinah tidak lupa untuk menonjolkan kehebatan peribahasa, contohnya, Jangan jadi Pak Kaduk, Menang bersorak kampung tergadai.

 

Peribahasa ini masih begitu padu dari dahulu hingga sekarang. Begitu mantap dan jitu penggunaan Bahasanya.

 

Begitu tajam akal budi orang dahulukala mengarang peribahasa yang kekal tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas hingga hari ini.

 

Anak muda kita patut mengenali kekuatan sastera Bahasa Melayu.

 

Pengalaman Lampau

 

Kisah hidup Sasterawan Negara kita memang amat sesuai dijadikan teladan. Pengalaman merekalah yang mewarnai bahasa dan liku hidup memberikan ilham mencetus seribu keperitan serta kebahagiaan.

 

Inilah Gedung ilmu dan perasaan membuahkan karya yang memberikan sentuhan Bahasa.


 

Datuk Dr Anwar Ridhwan
                   Datuk Dr Anwar Ridhwan

 


Sebagai seorang ‘exchange student’ Universiti Malaya ke Hong Kong, Datuk Dr Anwar Ridhwan berkata mengembara ke dunia baru, adat baru mengajarnya tentang sosio-politik masalah dunia luar dan ini mendorongnya untuk menulis karya-karya yang boleh memberikan sesuatu yang lain dari yang lain.

 

Melalui novelnya Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman contohya, beliau mengenang penglipurlara yang hilang, kehidupan kampung yang semakin pupus.

 

Dewan dihiburkan dengan video Ramli Sarip mendendangkan Orang Tua Bersidi Sakti, OST filem Hari Hari Terakhir Seorang Seniman yang begitu hebat diubah suai ke teater, filem dan drama.

 

Karya yang baik memang perlu diangkat ke pelbagai media untuk dinikmati semua lapisan rakyat.

 

Kesusasteraan itu, menurutnya amat penting dalam melihat masalah negara yang kian menular seperti kepincangan politik, nepotisma, kronisma dan masalah alam sekitar.

 

Sesungguhnya, sesi bersama empat tokoh sasterawan negara ini membuka mata dan minda, menunjukkan kepentingan Sastera dalam memertabatkan bangsa dan juga budaya.

 

Bak kata Prof Emeritus Muhammad Haji Salleh, budaya dan bahasa kita berasal dari kumpulan bahasa yang besar dan Sejarah Melayu serta Hikayat Hang Tuah itu karya-karya yang diiktiraf UNESCO.

 

Marilah terus memartabatkan Bahasa ibunda, dan mempertahankan Sastera sebagai tanda aras keberadaan budaya tinggi dan ketamadunan kita di dunia.

 

Hilang bahasa lenyaplah bangsa!

 


 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

Portfolio Tags