Sambutan bulan kebangsaan di Terengganu meriah dengan pelbagai aktiviti menarik anjuran Jabatan Penerangan | DagangNews Skip to main content

Sambutan bulan kebangsaan di Terengganu meriah dengan pelbagai aktiviti menarik anjuran Jabatan Penerangan

Kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Kuala Terengganu mengagihkan Jalur Gemilang kepada pengunjung Pasar Borong Gong Pauh, Kuala Terengganu. - Gambar Japen Terengganu
oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 26 Ogos - Kemeriahan sambutan bulan kebangsaan di Terengganu yang telah bermula sejak 10 Ogos lepas kian terasa dengan puluhan aktiviti anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Terengganu.

 

Pengarahnya, Sait Yaman berkata, tirai sambutan bulan kebangsaan dimulakan dengan Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (pada 10-12 Ogos 2022) yang merentasi pelbagai persinggahan bersama komuniti di lima daerah di Terengganu.

 

"Konvoi tersebut disambut meriah sepanjang perjalanan di Terengganu dengan tujuan  menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan cintakan negara terutama dalam kalangan generasi muda.

 

"Kita sering ingatkan agar mereka tidak terleka dengan kebebasan yang dikecapi ketika ini sebaliknya perjuangan adalah dalam dimensi baharu iaitu membebaskan diri dari unsur negatif, sebaliknya terus bergerak maju dengan visi menjadi sebahagian rakyat yang menyumbang kepada kesejahteraan Malaysia," katanya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.


 

Sait Yaman
                              SAIT YAMAN

 


Mengulas lanjut, beliau berkata antara program berskala besar yang turut dirancang ialah Semarak Gemilang yang melibatkan tiga daerah iaitu Kemaman, Kuala Terengganu dan Setiu.

 

"Di Kemaman program telah berlangsung pada 20 Ogos lepas di Rantau Petronas manakala bagi Daerah Kuala Terengganu, aktiviti akan diadakan di Perumahan Mesra Rakyat Cherung Binjai pada 28 Ogos seterusnya di Jeti Merang, daerah Setiu pada 16 September depan.

 

"Selain itu, kita juga ada 96 aktiviti Merdeka@Komuniti di semua lapan daerah Negeri Terengganu untuk menyuburkan rasa cinta negara dalam kalangan rakyat negeri ini.

 

"Konsepnya adalah dengan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat seawal pra sekolah hingga warga emas.


 

japen
Orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang ketika Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu melalui kampung mereka.

 


"Setakat ini, sebanyak 52 aktiviti telah dijalankan dan semuanya mendapat kerjasama erat dari jabatan dan agensi kerajaan berkaitan, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat dan komuniti setempat," katanya.

 

Selain itu, program Merdeka@Parlimen juga akan dilaksanakan di enam daerah dalam masa terdekat dengan pengisian lebih berfokus visi dan misi negara berkonsepkan aspirasi Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


 

japen
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim menigibarkan Jalur Gemilang bersama peniaga dan pengunjung Pasar Borong Gong Pauh, Kuala Terengganu pada program Merdeka@Komuniti anjuran Pejabat Penerangan Kuala Terengganu.

 

japen
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Mohd Nor Hamzah (tengah, berkopiah) dan Sait Yaman (enam dari kanan) mengibarkan Jalur Gemilang pada program Merdeka@Komuniti anjuran Pejabat Penerangan daerah Marang di Pasar Bukit Payong, Marang.

 


"Setiap program yang diatur adalah melibatkan pelbagai golongan dari komuniti nelayan, penarik beca, peneroka felda, orang kampung, aktivitis alam semulajadi serta mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta seluruh Terengganu.

 

"Selain menghayati erti kemerdekaan yang diperjuangkan generasi terdahulu, semua program ini juga adalah wadah untuk rakyat menjalin silaturrahim lebih baik untuk memperkukuhkan perpaduan dengan lebih erat," katanya.

 

Untuk memeriah lagi sambutan bulan kebangsaan, program Santai Menapak Keluarga Malaysia pada 3 September 2022 depan di Pulau Warisan, Kuala Terengganu bertujuan melahirkan rakyat yang lebih sihat dan menjalani gaya hidup aktif seperti disaran Kementerian Kesihatan Malaysia. - DagangNews.com