Saham hilang status patuh syariah : Ini yang perlu pelabur tahu | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 31 May 2022

Saham hilang status patuh syariah : Ini yang perlu pelabur tahu

 

 

SURUHANJAYA Sekuriti (SC), Jumaat lalu telah mewartakan senarai saham patuh syariah terbaharu berkuat kuasa 27 Mei hingga 24 Novemner 2022. 

 

Ia menyaksikan 751 daripada 953 saham yang diapung di Bursa Malaysia adalah saham patuh syariah, merangkumi 79% keseluruhannya.

 

Dalam pewartaan yang dikeluarkan itu, terdapat 19 saham baharu tidak patuh syariah manakala 24 saham baharu yang patuh syariah. 

 

Oleh demikian, apa yang perlu dibuat sekiranya potfolio pelaburan saham pelabur ada antaranya saham yang telah bertukar status daripada patuh kepada tidak patuh syariah?

 

Untuk makluman ‘sekuriti patuh syariah’ yang kemudiannya bertukar status kepada ‘tidak patuh syariah’ adalah merujuk kepada saham-saham yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai patuh syariah, tetapi disebabkan beberapa faktor seperti perubahan dalam operasi perniagaan syarikat dan kedudukan kewangan, saham-saham tersebut telah terkeluar daripada senarai.

 

Sekiranya pada tarikh berkuat kuasa, 27 Mei 2022, harga pasaran saham tersebut melebihi atau bersamaan dengan kos pelaburan, para pelabur yang memegang saham tidak patuh syariah mesti melupuskannya. 

 

Sebarang dividen yang diterima sehingga tarikh berkuat kuasa dan keuntungan modal hasil daripada pelupusan saham tidak patuh syariah pada tarikh tersebut, boleh disimpan oleh pelabur. 

 

Bagaimanapun, sebarang dividen yang diterima dan lebihan keuntungan modal yang diterima hasil daripada pelupusan saham tidak patuh syariah selepas tarikh kuat kuasa, hendaklah disalurkan kepada baitulmal atau badan-badan kebajikan.

 

Sebaliknya, para pelabur dibenarkan untuk memegang pelaburan dalam saham tidak patuh syariah sekiranya harga pasaran saham tersebut berada di bawah kos pelaburan. 

 

Sepanjang tempoh pegangan saham tidak patuh syariah ini, para pelabur juga dibenarkan untuk menyimpan dividen yang diterima sehingga jumlah dividen yang diterima dan harga pasaran saham tidak patuh syariah tersebut bersamaan dengan kos pelaburan. Pada ketika ini, para pelabur akan melupuskan pegangan mereka.

 

Sebagai contoh, semasa membeli 1 lot saham pada 5 Mei 2022, harga kos ialah RM2,100. Pada 27 Mei 2022, harga 1 lot saham ialah RM2,500. Harga 1 lot saham yang dilupuskan pada 30 Mei 2022 ialah RM2,700.

 

Berapa untung boleh simpan dan berapa pula untung perlu disalurkan kepada badan kebajikan atau baitulmal?

 

Pada 30 Mei 2022, untung ialah RM600 (RM2,700 - RM2,100). Jika 1 lot saham tersebut dijual pada 27 Mei 2022, untung ialah RM400 (RM2,500 - RM2,100). 

 

Maka, RM400 adalah untung yang boleh simpan. RM200 adalah untung yang pelabur kena salur kepada badan kebajikan atau baitulmal. -DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

UTM
 

Portfolio Tags