Sadio Mane, LFC & All Reds Malaysia | DagangNews Skip to main content

Sadio Mane, LFC & All Reds Malaysia

Sadio Mane `menipu' penjaga gol Bayern Munich, Manuel Neuer pada Mac 2019. Gol paling diingati !!!

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

 

RASMILAH sudah Sadio Mane meninggalkan Liverpool FC untuk menyertai Bayern Munich.

 

Pada harga £42.5 juta, pasti ada mempersoalkan mengapa harga sedemikian tidak mahal diperoleh Bayern untuk seorang striker yang telah terbukti, memenangi semua piala di dalam Liga Perdana Inggeris, juara Piala Juara-Juara Eropah dan Juara Afrika (AFCON) bersama Senegal.

 

Dalam erti kata lain, pada harga di bawah £50 juta, hampir semua kelab ternama di dunia mampu untuk memiliki Mane. Tetapi yang membezakannya ialah Mane sudah menetapkan hati untuk menyertai Bayern.

 

Jadi soal kemungkinan akan ada mana-mana kelab cuba nak `sailang’ urus niaga Liverpool dengan Bayern itu di saat-saat akhir, amat tipis.

 

Penulis berpengaruh mengenai hal-ehwal LFC, Melissa Reddy memberi gambaran lebih jelas bagaimana rundingan LFC dengan Bayern berjalan lancar dan dipermudahkan:

  1. Mane secara khusus berminat untuk berpindah ke kelab dibawah bimbingan Julian Nagelsmann.

  2. 'Bertahun-tahun lamanya Mane bersama LFC sentiasa berprestasi tinggi'.

  3. Hubungan baik antara dua kelab. Berpindah ke mana-mana kelab Top 6 dalam EPL, tidak memungkinkan fakta ini. Tiada siapa hendak melepaskan pemain mereka untuk `menguatkan lagi’ pasukan lawan. Jadi lebih baik jual ke luar negara.

  4. 'Rundingan Thiago Alcantara yang lancar' pada September 2020.  Thiago juga berusia sebaya Mane ketika meninggalkan Bayern untuk menyertai LFC. Ini kunci kepada hubungan baik kedua-dua kelab.

 

 

Sememangnya diakui, Mane mempamerkan prestasi separuh kedua musim lalu yang cemerlang untuk LFC, menampung kejatuhan prestasi Mo Salah selepas perlawanan akhir AFCON.

 

Kehilangan Mane memang menyakitkan buat masa ini, tetapi penyokong tegar LFC sudah menerima prinsip bahawa tiada pemain lebih besar daripada kelab.

 

`Menyakitkan’ kerana Mane berperanan besar menjadikan revolusi Jurgen Klopp di Liverpool menjadi kenyataan, membantu LFC menjadi kelab bolasepak yang disegani semula dengan corak permainan pantas dan pertahanan yang kental.

 

Mane adalah pemain pertama dibeli oleh Klopp, setelah menyaksikan Mane menjaringkan gol untuk Southampton dua kali ke atas LFC. Kemudian, dengan layak ke Liga Juara-Juara, maka datang peluang untuk menandatangani pemain seperti Mo Salah, Virgil van Dijk dan Alisson Becker - bakat yang membantu melonjakkan LFC ke stratosfera sukan ini.

 

Sadio Mane

Sadio Mane, lahir 10 April 1992 kini dianggap sebagai satu daripada pemain terbaik di dunia dan antara pemain Afrika terhebat sepanjang zaman. memulakan kerjaya profesionalnya dengan kelab Ligue 2 Metz pada usia 19 tahun, sebelum menyertai kelab Austria Red Bull Salzburg pada 2012 dengan bayaran €4 juta, memenangi liga dan piala domestik berganda pada musim 2013–14.

 

 

merrepak

 

 

Kemudian pada musim panas itu, Mane berpindah ke Southampton dengan bayaran rekod kelab sebanyak £11.8 juta. Di sana, dia mencipta rekod baharu Liga Perdana untuk hatrik terpantas, menjaringkan gol dalam 176 saat dalam kemenangan 6–1 ke atas Aston Villa pada 2015.

 

Mane menandatangani kontrak bersama pasukan Liga Perdana Inggeris, Liverpool pada 2016, dengan bayaran yang dilaporkan sebanyak £34 juta. Dia membantu pasukan itu mara ke Pusingan Akhir Liga Juara-Juara UEFA berturut-turut pada 2018 dan 2019, memenangi perlawanan akhir. Musim 2021, LFC sekali lagi ke perlawanan akhir UCL namun tewas 0-1 di tangan Real Madrid.

 

Mane juga muncul sebagai penjaring gol bersama liga pada musim 2018–19, memenangi Kasut Emas Liga Perdana. Mané kemudiannya membantu menamatkan kemarau gelaran liga selama 30 tahun Liverpool dengan memenangi Liga Perdana 2019–20. Pada Oktober 2021, dia menjaringkan gol ke-100 Liga Perdana, menjadi orang Afrika ketiga yang mencapai mercu tanda itu. Mané menduduki tempat keempat untuk Ballon d'Or 2019, dan dalam Pemain Lelaki Terbaik FIFA, dia menduduki tempat kelima pada 2019 dan keempat pada 2020.

 

Di peringkat antarabangsa, Mané telah mencatatkan 33 gol dalam 91 penampilan untuk Senegal sejak penampilan sulungnya pada 2012, dan kini menduduki tempat sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman negaranya, dan ketiga dalam penampilan sepanjang masa.

 

Beliau mewakili Senegal pada Sukan Olimpik 2012, serta Piala Negara-Negara Afrika 2015, 2017, 2019 dan 2021. Pada kejohanan 2019, Mané membantu Senegal mendapat naib juara, dan setahun kemudian, dinobatkan sebagai Pemain Bola Sepak Afrika Terbaik.

 

Pada perlawanan akhir 2021, Mané menjaringkan sepakan kemenangan dalam penentuan sepakan penalti untuk memberikan Senegal gelaran Piala Negara-Negara Afrika pertama mereka dan dia juga dinamakan sebagai Pemain kejohanan itu. Mané juga mewakili negaranya di Piala Dunia FIFA 2018, dalam penampilan kedua mereka dalam pertandingan itu.

 

Selamat Maju Jaya, Mane di tempat baharu.

 

All Reds Malaysia

Tahun 2022 ini merupakan genap 10 tahun penubuhan kelab sukan All Reds Malaysia yang merupakan satu daripada tiga kelab penyokong rasmi yang diiktiraf oleh Liverpool FC.

 

Kemuncak sambutan kali ini akan diadakan di Kuantan serentak dengan mesyuarat agung tahunan (AGM) pada penghujung Julai ini. Proses memperbaharui keahlian kelab sudah bermula minggu lalu.

 

 

merrepak
MUZILI Aznor Musa (kanan) menerima mock-up cek daripada wakil Bliese, Sophian Jamaludin baru-baru ini.

 

 

Presiden ARM, Muzili Aznor Musa memberitahu, kelab menyusun beberapa program sempena AGM di Kuantan iaitu perlawanan bolasepak tujuh sebelah mengikut zon dan acara menonton perlawanan siaran langsung pembukaan musim baharu 2022/2023 antara Liverpool dan Manchester City.

 

Pemilihan Kuantan sebagai tuan rumah adalah sebagai mengikut giliran zon supaya tidak tertumpu di Lembah Klang semata-mata.

 

Dan faktor ini juga memberi keunikan kepada ARM kerana keahliannya terbuka ke seluruh negara, yang kini memiliki 1,300 ahli berdaftar.

 

Pada musim 2021/2022, aktiviti kelab hanya dapat dilangsungkan semula seiring dengan lebih kelonggaran PKP oleh pihak berkuasa. Semua perlawanan akhir yang disertai LFC iaitu Piala Carabao, Piala FA dan Piala UCL berjaya dianjurkan oleh kelab.

 

ARM Cawangan Selatan atau lebih dikenali dengan ARM Southern pula menganjurkan mini pertandingan bolasepak 3 lawan 3 pada 18 Jun lalu di gelanggang futsal umum Kg Melayu Majidee, Johor Bahru. Acara ini disertai 12 pasukan yang menggunakan nama pengurus-pengurus LFC.


 

arm southern

 

Muzili berkata, buat masa ini ARM dalam proses pembaharuan keahlian. Kemudian ARM akan buka pula keahlian baharu, yang disasarkan naik 10% daripada bilangan sedia ada.

 

All Reds Malaysia bertuah kerana mendapat sokongan padu daripada penaja utama iaitu syarikat pengeluar bauan terkemuka, Bliese dan portal berita perniagaan, DagangNews.com serta Aventura selain al-Ikhsan dan Standard Chartered Bank.

 

 

merrepak

 

merrepak

 

 

Muzili berkata, musim baharu ini akan menyaksikan ARM lebih agresif dalam aktiviti-aktiviti kelab selain menyusun jadual untuk menonton perlawanan LFC di Anfield.

 

“ARM sekian lama dikenali sebagai kelab penyokong berorientasi keluarga, di mana setiap aktiviti ARM boleh disertai bersama ahli keluarga, seperti perlawanan bolasepak dua kali sebulan di Shah Alam, pertandingan boling awal tahun ini serta acara kebajikan seperti membantu mangsa banjir.

 

“Elemen ini kita akan kekalkan kerana menyokong Liverpool FC ini harus dinikmati ke seluruh anggota keluarga,’’ kata Muzili.

 

Selamat Ulang Tahun ke-10, All Reds Malaysia!

 

Johardy Ibrahim merupakan Editor DagangNews.com dengan 30 tahun pengalaman dalam bidang kewartawanan. Merrepak adalah kolum pojok beliau setiap minggu yang pertama kali diperkenalkan di Mingguan Malaysia pada 2009 dan menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu PURNAMA oleh Search berulang-ulang kali.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL MERREPAK