RMKe-12 bukti komitmen kerajaan pulihkan negara – pakar ekonomi | DagangNews Skip to main content

RMKe-12 bukti komitmen kerajaan pulihkan negara – pakar ekonomi

Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH
editor@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Sept – Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen hari ini membuktikan komitmen kerajaan memulihkan ekonomi negara yang berhadapan dengan cabaran pendemik COVID-19 , kata Ketua Ahli Ekonomi Global Juwai IQI, Shan Saeed.

 

Katanya, RMKE-12 akan mendorong peningkatan kemajuan ekonomi secara menyeluruh justeru memberikan bantuan kepada rakyat di peringkat makro.

 

“RMKE-12 ini dibentangkan pada waktu yang tepat ketika 90 peratus penduduk mendapat vaksin dan ekonomi memasuki mod penstabilan.”

 

“Kerajaan mahu mendorong strategi ekonomi supaya ekonomi Malaysia dapat mencapai tahap pendapatan yang lebih tinggi dalam 2-3 tahun akan datang,” katanya kepada DagangNews.com ketika mengulas pembentangan RMKE-12 oleh perdana menteri.

 

Shan berkata strategi ekonomi dari pembuat dasar adalah untuk menjaga kestabilan makroekonomi dan meningkatkan perdagangan.

 

Katanya fokus kerajaan pada teknologi dan meningkatkan pelaburan infrastruktur akan memberikan panduan utama kepada pelabur tempatan dan global.

 

Di samping itu, RMKE-12 ini juga membukti kesungguhan untuk memberi sokongan kepada industri-industri ini iaitu PKS, E-dagang dan Kecerdasan Buatan (AI) yang didorong oleh teknologi.

 

 

Shan Saeed
                                           Shan Saeed

 

 

Dalam 3-5 tahun berikutnya, negara yang fokus pada industri berkaitan teknologi akan mencapai tahap pertumbuhan KDNK yang lebih tinggi.

 

Sementara itu, Ketua Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata RMKE-12 dilihat sebagai pemangkin bagi merancakkan aktiviti ekonomi.

 

Katanya, ini jelas dapat dilihat di dalam peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM400 bilion yang dikira tinggi dalam sejarah.

 

“Justeru, dengan peruntukan yang besar ini ia seharusnya boleh memberi impak positif sekiranya ia dapat dilaksanakan seperti yang telah dijadualkan.”

 

“Meskipun demikian, saiz perbelanjaan pembangunan sememangnya tinggi dan sasaran defisit fiskal sekitar 3 hingga 3.5% pada tahun 2025 jelas menandakan kerajaan begitu komited terhadap perlaksanaan konsolidasi fiskal,” katanya.

 

Mohd Azfanizam berkata: ‘’Oleh itu, mungkin ada cukai-cukai baru yang mungkin akan diperkenalkan bagi menampung hasil kerajaan terutama apabila pemulihan ekonomi semakin konsisten pada masa akan datang.”


 

azfanizam
                 Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

 

 

Menyentuh tentang Pemilikan ekuiti korporat Bumiputera yang masih belum mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus, dan usaha kerajaan bagi memastikan pemilikan ekuiti Bumiputera yang mampan, beliau berkata: “Pemantauan yang konsisten seharusnya boleh membantu dalam memastikan setiap inisiatif itu ditadbir dengan baik dan kesannya kepada masyarakat dapat dirasai.

 

“Namun, kita perlu mengimbangi diantara keperluan untuk menggalakkan pemilikan ekuiti dikalangan bumiputera serta menjadikan ekonomi negara lebih kompetitif dan dapat menarik pelabur asing untuk melabur dinegara ini bagi tempoh jangka panjang. – DagangNews.com