RMKe-12 : Bahagian Kemakmuran Bumiputera diwujudkan semula di setiap kementerian, agensi | DagangNews Skip to main content

RMKe-12 : Bahagian Kemakmuran Bumiputera diwujudkan semula di setiap kementerian, agensi

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Sept - Bahagian Kemakmuran Bumiputera dengan mandat dan fungsi yang lebih jelas akan diwujudkan semula melalui penugasan semula pegawai di setiap kementerian dan agensi Kerajaan.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah ini adalah bagi menambah baik tadbir urus pelaksanaan agenda Bumiputera.

 

''Satu rangka kerja tindakan pembangunan Bumiputera akan diumumkan pada penghujung tahun ini.

 

''Ia memperincikan beberapa inisiatif utama dalam merealisasikan aspirasi bagi meningkatkan status sosioekonomi Bumiputera,'' kata beliau semasa membentangkan RMKe-12 di Parlimen, hari ini. 

 

Perdana Menteri berkata, bagi memastikan pemilikan ekuiti Bumiputera yang mampan, kerangka jaringan keselamatan ekuiti akan diperkenalkan supaya penjualan saham atau syarikat Bumiputera hanya ditawarkan dan dijual kepada konsortium, syarikat atau individu Bumiputera lain.

 

Di samping itu kata beliau,  pegangan dan pelupusan pemilikan oleh syarikat Bumiputera akan dikawal selia oleh kementerian dan agensi berkaitan selaku pengawal selia sektor.

 

''Pada hari ini, saya ingin berkongsi status pemilikan ekuiti sektor korporat berasaskan nilai pasaran bagi tahun 2019 seperti berikut:

•    Pegangan Bumiputera hanya mencapai 17.2 peratus;
•    bukan Bumiputera 25.0 peratus;
•    asing 45.5 peratus; dan
•    nomini 12.3 peratus. 

 

Menurut Ismail Sabri, pemilikan ekuiti korporat Bumiputera masih belum mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus. - DagangNews.com