Resolusi MPS terhadap kemudahan penstrukturan semula pembiayaan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 7 September 2021

BAGI menangani cabaran pandemik COVID-19, terdapat beberapa kemudahan diberikan institusi perbankan kepada para pelanggan mereka untuk meringankan beban dalam menguruskan aliran tunai. Antara kemudahan ini termasuklah perkhidmatan penjadualan semula dan perkhidmatan penstrukturan semula pembiayaan.

 


Penjadualan semula pembiayaan membolehkan pelanggan mengatur semula jumlah bayaran bulanan mereka kepada jumlah yang mampu dibayar, dengan melanjutkan tempoh pembiayaan, tanpa sebarang caj tambahan dan perjanjian baharu. Bagaimanapun, terma dan syarat perjanjian awal tetap sama.

 

Kemudahan penstrukturan semula pembiayaan pula adalah proses yang mana para pelanggan akan menutup akaun pembiayaan asal dan membuka satu akaun baharu dengan terma dan syarat baharu. 

 

Oleh demikian, jumlah bayaran bulanan baharu termasuk tempoh pembiayaan yang dikemaskini akan ditentukan. Perjanjian yang baharu akan ditandatangani antara pihak pelanggan dan institusi perbankan.

 

Namun, Majlis Penasihat Syariah (MPS) BNM pada 14 Julai 2020, telah mengeluarkan resolusi berkaitan amalan penstrukturan semula pembiayaan Islam ketika penularan pandemik ini, berhubung dokumentasi, perjanjian dan transaksi kemudahan penstrukturan semula.

 

Berikut adalah ringkasan yang diputuskan MPS berkuatkuasa kepada pihak institusi perbankan dan para pelanggan yang terlibat untuk mematuhinya:

 

  • Dokumentasi dan perjanjian penstrukturan semula kemudahan kredit berdasarkan kepada kontrak asal kemudahan kredit tersebut boleh dilaksana menggunakan 'supplementary agreement' sahaja, tanpa membuat perjanjian baharu

 

  • 'Supplementary agreement' ini mestilah dibaca bersama (cross referred) kepada terma dan syarat perjanjian asal kemudahan kredit tersebut

 

  • Tujuan amalan sebegini adalah untuk mengelak kos-kos tambahan dan meringankan bebanan para pelanggan institusi perbankan yang terkesan dengan pandemik ini

 

  • Proses penstrukturan semula daripada kemudahan kredit konvensional kepada Islamik juga dibenarkan

 

  • Namun begitu, penstrukturan semula daripada kemudahan kredit Islamik kepada konvensional adalah dilarang, kecuali jika pelanggan mendesak untuk berbuat demikian, setelah dinasihat oleh pihak institusi perbankan

 


Dalam pada itu, institusi perbankan juga hanya dibenarkan untuk menstruktur semula jumlah prinsipal kemudahan kredit yang asal sahaja. 

 

Institusi perbankan dilarang sama sekali untuk melaksanakan penstrukturan semula jumlah keuntungan terakru kemudahan kredit yang asal. 

 

Tambahan pula, institusi perbankan hanya dibenarkan memberi kemudahan kredit baharu dengan jumlah pembiayaan baharu yang sama dengan jumlah 'outstanding' prinsipal kemudahan kredit asal sahaja.

 

MPS membenarkan institusi perbankan mengenakan kadar keuntungan baharu atas jumlah kemudahan kredit baharu kepada para pelanggan.

 

Ini bermakna jumlah keuntungan terakru kemudahan kredit yang asal bersama caj lewat bayar, jika ada, boleh dibawa ke hadapan dan dijadikan jumlah obligasi hutang pelanggan tersebut tanpa 'capitalised' dalam pengiraan keuntungan pembiayaan baharu yang bakal distrukturkan semula. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS)
Universiti Teknologi Malaysia mulai 1 September dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm

 

Portfolio Tags