Rebat bantuan banjir diberikan secara automatik, tidak perlu kelulusan ADUN kawasan - TNB | DagangNews Skip to main content

Rebat bantuan banjir diberikan secara automatik, tidak perlu kelulusan ADUN kawasan - TNB

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Jan - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menepis dakwaan kononnya rebat bantuan banjir kepada mangsa banjir memerlukan kelulusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan, adalah tidak benar.

 

TNB menerusi hantaran melalui Facebook memaklumkan, rebat bantuan banjir bagi bil elektrik akan diberikan secara automatik kepada semua pelanggan Domestik Tarif A yang terjejas bencana banjir pada bulan lepas.

 

"Pihak TNB akan membuat semakan di premis yang terlibat dan membantu pelanggan bagi membuat semakan.

 

"TNB turut membantu pelanggan berhubung pengesahan sokongan dengan agensi kerajaan yang terlibat dalam pengurusan bencana banjir seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, pejabat daerah, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau ketua masyarakat," katanya.

 

Menurut TNB, pelanggan boleh menghubungi TNB Careline di Facebook sekiranya kediaman mereka dinaiki air ketika banjir bulan Disember 2021 dan tidak menerima rebat bantuan banjir pada bil Januari 2022.

 

 

tnb

 

 

"Pihak TNB memohon maaf atas kesulitan atau kekeliruan yang timbul," katanya. - DagangNews.com