Rawatan kanser lebih murah, kuranglah kematian seperti ibu saya | DagangNews Skip to main content

Rawatan kanser lebih murah, kuranglah kematian seperti ibu saya

Institut Kanser Negara di Putrajaya.
Oleh Christine YP

APABILA Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengakui wujud ketaksamaan di dalam sistem kesihatan, terutama di dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan kanser di kawasan pedalaman, hati saya remuk; kerana 10 tahun lalu, saya melalui sistem kesihatan awam yang menghampakan bersama mendiang ibu saya.

 

Dianggarkan terdapat 49,000 orang yang baharu sahaja didiagnos dengan kanser pada 2020. Di dalam kenyataan medianya, Khairy berkata, hanya terdapat 128 onkologis di Malaysia.

 

Bermakna nisbah onkologis-pesakit adalah 1:382 pesakit baharu setiap tahun.

 

Nombor ini belum memasukkan angka pesakit kanser sedia ada. Dengan hanya enam pusat rawatan kanser di bawah Kementerian Kesihatan, Khairy juga mendedahkan cuma ada 36 onkologis di pusat-pusat tersebut. Beliau juga tepat bila menyatakan pesakit kanser dari pantai timur harus datang ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.

 

Kira-kira sedekad lalu, mendiang ibu saya dirawat oleh seramai tiga onkologis berbeza yang datang secara giliran bulan di Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan, di dalam tempoh tiga tahun.

 

Saya ingat dengan jelas keresahan ibu saya menanti untuk dipanggil bagi mendapatkan rawatan radioterapi selepas dua kitaran kimoterapi. Satu hari, ibu menerima panggilan yang ditunggu-tunggu sekian lama bahawa hospital memintanya mendaftar diri di Institut Kanser Negara di Putrajaya, dalam tempoh dua hari.

 

Ia memaksa seorang wanita tua yang tidak sihat, kurus dan lemah untuk melalui perjalanan 300km dalam tempoh 48 jam bagi mendapatkan rawatan yang mungkin atau tidak memanjangkan hayatnya.

 

Ibu telah pergi beberapa lama dan sementara saya cukup menghargai kerajaan kerana menyediakan pusat rawatan kanser kepada ibu pada harga yang mampu dibayar; namun agak mengecewakan bila mengetahui sistem penjagaan kesihatan masih di takuk lama dalam penyediaan rawatan kesihatan.


 

kanser

 


Sementara kekurangan doktor pakar adalah isunya tersendiri, akses kepada kaedah rawatan baharu juga terhad untuk pesakit di dalam kumpulan berpendapatan rendah.

 

Kemudahan seumpamanya memang akan mahal dan dengan sistem penjagaan kesihatan sejagat Malaysia, ia memerlukan berbilion ringgit untuk mengadakan akses seumpamanya kepada semua lapisan rakyat.

 

Bagaimanapun, boleh disediakan terapi tersasar bagi kanser yang lebih lazim seperti kanser buah dada, prostat dan nasopharyngeal.

 

kanser

 


Adalah diketahui umum bahawa kanser buah dada, jika dikesan awal, mempunyai prognosis terbaik. Yayasan Kanser Buah Dada juga mendedahkan bahawa satu daripada 19 wanita di Malaysia adalah berisiko, menjadikan kanser buah dada sebagai bentuk kanser paling lazim kepada wanita.

 

Banyak inovasi telah berlaku di dalam ruang rawatan kanser – di mana kemajuan di dalam perubatan bermakna rawatan kanser kini lebih berkesan, memberi kesan sampingan yang rendah dan menghasilkan kadar kesinambungan hidup atau kualiti hidup yang lebih baik.

 

Seandainya terapi tersasar bagi kanser buah dada boleh diperkenalkan di hospital pinggiran bandar dan pedalaman di negara ini, keseluruhan kesinambungan hidup bagi pesakit kanser boleh dilanjutkan.


 

kanser

 


Kongres The European Society for Medical Oncology 2021 mengenengahkan bahawa terapi tersasar bagi kanser buah dada seperti ribociclib (CDK 4/6 inhibitor) menunjukkan median keseluruhan kesinambungan hidup lebih daripada lima tahun bagi kanser buah dada metastatik, iaitu satu tahun lebih daripada rawatan terapi hormon.

 

Jurang rawatan antara T20 dan B40 adalah benar-benar berlaku. Penyelidikan Kanser Malaysia melaporkan bahawa sementara pesakit kanser buah dada berpendapatan tinggi di Malaysia memiliki kadar kesinambungan hidup melebihi 90 peratus, pesakit berpendapatan rendah pula kurang daripada 65 peratus peluang untuk terus hidup akibat penyakit itu.

 

Ketaksamaan wujud di dalam setiap lapisan masyarakat dan sementara perbendaharaan negara tidak mampu menyediakan rawatan tercanggih untuk semua, wujud potensi untuk merancang secara strategik, membeli dan melaksanakan terapi tersasar disokong oleh sains, bagi kanser paling lazim bagi merapatkan jurang rawatan. - DagangNews.com

 

 

CHRISTINE YP adalah bekas wartawan mengkhusus di dalam program pembangunan.