Ramoji Film City: Studio filem terbesar dunia | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Industri Kreatif - 11 February 2022

RAMOJI FILM CITY: STUDIO FILEM TERBESAR DUNIA

 

 

 

LIMA tahun lalu, pada tahun 2017, saya berkesempatan bersama keluarga melawat ke bandar keempat populasi tertinggi di India iaitu Hyderabad.

 

Lawatan itu merupakan kali pertama saya menjejak ke India – negara yang kaya dengan bakat dan individu genius dalam pelbagai bidang.

 

Satu daripada kunjungan yang sememangnya telah saya atur sejak awal adalah ke lokasi yang diiktiraf oleh Guinnes World Records sebagai kompleks studio filem terbesar di dunia, iaitu Ramoji Film City.

 

Ramoji Film City ini dibangunkan oleh penerbit filem Telegu terkenal iaitu Ramoji Rao pada 1996, yang bercita-cita membangunkan sebuah studio filem setaraf Hollywood di India.

 

Sesuatu yang membezakan studio ini dengan studio penggambaran filem yang lain adalah ia dibina secara berintegrasi iaitu antara studio penggambaran perfileman dengan sebuah taman tema berteraskan perfileman.

 

Malah, studio-studio penggambaran terpilih yang terdapat di dalam kawasan ini juga dijadikan sebahagian daripada tarikan dalam taman tema ini.

 

Dengan keluasan seluas 1,666 ekar, berbelas kali ganda lebih besar jika mahu dibandingkan dengan taman tema yang terkenal di Malaysia, Sunway Lagoon – Ramoji Film City menawarkan pelbagai tarikan pengunjung termasuk persembahan, pameran, serta permainan yang hampir kesemuanya adalah berteraskan perfileman.

 

Meskipun terdapat pembahagian secara umum tentang kawasan yang digunakan sebagai lokasi penggambaran serta kawasan permainan taman tema untuk kunjungan pengunjung, namun ia saling berintegrasi antara satu sama lain, yang mana membolehkan pengunjung turut boleh mengunjungi studio perfileman ketika tiada penggambaran dijalankan.

 


 

RAMOJI FILM CITY

 

raomoji

 

RAMOJI FILM CITY

 

 

Selain studio yang dibina bagi tujuan khusus sesebuah filem, terdapat juga kawasan studio kekal yang melibatkan binaan yang besar seperti kawasan bandar, bangunan hospital, lapangan terbang, perkampungan, stesen keretapi dan juga sekolah.

 

Malah, jangan terkejut jika anda tiba-tiba memasuki kawasan yang mirip bandar raya London di tengah-tengah taman tema ini.

 

Semua ini disediakan bagi kemudahan penggambaran kepada para pembikin filem, di samping dijadikan lokasi `tour` kepada pengunjung.

 


 

RAMOJI FILM CITY

 



Bagi memudahkan para pembikin filem, terdapat juga gudang yang penuh dengan pelbagai prop yang boleh terus digunakan mengikut keperluan dan situasi babak.

 

Malah, dalam taman tema ini juga terdapat juga aktiviti persembahan yang mendedahkan secara umum tentang bagaimana proses perfileman dijalankan seperti proses penghasilan foley, penggunaan chroma key dan sebagainya.

 

Proses ini diterjemahkan sebagai satu bentuk persembahan dan permainan interaktif untuk pengunjung taman tema melalui pengalaman proses tersebut.

 

Ketika berada di sana, saya berkesempatan untuk menyaksikan sebuah penggambaran filem yang sedang berjalan, dengan penggambaran sebuah babak peperangan dengan melibatkan ratusan malah mungkin ribuan pelakon tambahan di medan perang.

 


 

RAMOJI FILM CITY

 


Saya percaya, bagi menjaga eksklusiviti, penggambaran sebahagian besar filem akan dijalankan secara tertutup, namun beberapa penggambaran terpilih akan dijadikan sebagai sebahagian tatapan pengunjung  yang berkunjung ke sini.

 

Bagi melengkap dan memanfaatkan Ramoji Film City sebagai pusat sehenti untuk pelbagai kegiatan, ia juga dilengkapi dengan fasiliti mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).

 

Malah ia mempunyai pelbagai pakej untuk penganjuran majlis perkahwinan dalam skala sederhana, hingga ke acara mega.

 

Sesuai dengan tagline yang diguna pakai dalam promosinya iaitu `India’s Largest Wedding Destination`, mereka turut menyediakan pelbagai restoran, penyedia katering serta mempunyai beberapa hotel penginapan dalam  kawasan taman tema tersebut bagi menawarkan kemudahan untuk penganjuran acara, perkhidmatan untuk pengunjung taman tema mahupun memenuhi keperluan logistik dan kebajikan kepada tenaga produksi perfileman.

 


 

RAMOJI FILM CITY

 


Tujuan saya mengimbau dan menulis mengenai lawatan ini adalah bagi memperlihatkan tentang bagaimana mereka secara bersungguh memanfaatkan populariti serta potensi industri perfileman kepada pelbagai sektor yang lain, khususnya pelancongan di India dan bandar Hyderabad.

 

Pendekatan ini boleh diusahakan dan dimanfaatkan di Malaysia, khususnya di beberapa lokasi yang aktif dengan aktiviti penggambaran, mahupun kawasan yang menjadi lokasi filem-filem ikonik.

 

Beberapa bulan lalu, saya atas kapasiti Langkawi Film Office (LFO) telah mula membincangkan hal ini dengan pihak Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) untuk mewujudkan pakej `tour` ke lokasi-lokasi penggambaran filem terkenal di Langkawi.

 

Ini memandangkan Langkawi banyak menjadi lokasi penggambaran filem terkenal antarabangsa, termasuklah filem Bollywood `Don, filem Hollywood `Crazy Rich Asian` dan banyak lagi. Jika segalanya berjalan lancar, inisiatif ini akan kami mulakan pada tahun ini.

 


 

don film shahrukh khan langkawi

 


Begitulah usaha-usaha yang boleh digerakkan bagi memperlihatkan signifikan industri perfileman dan kandungan kreatif kepada sektor lain, khususnya pelancongan.

 

Industri perfileman dan kandungan kreatif mempunyai pengaruh dan kuasa yang besar dalam pelbagai aspek  dan ini memperlihatkan kepentingan industri ini kepada ekonomi negara secara keseluruhan.

 

Dengan kepentingan ini, diharapkan ia dapat membuka mata pelbagai pihak terutamanya kepemimpinan negara bagi melihat secara serius tentang industri ini  dan memahami bahawa ekonomi kreatif adalah ekonomi masa depan.

 

Oleh yang demikian, perhatian dan dukungan sewajarnya, bukan sekadar dalam konteks sokongan kewangan, tetapi juga polisi dan pelan tindakan untuk memfasilitasi perkembangan serta pertumbuhan industri kandungan kreatif di negara ini. – DagangNews.com

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INDUSTRI KREATIF 

Portfolio Tags