Rafidah Aziz letak jawatan pengerusi AirAsia X selepas lebih 10 tahun | DagangNews Skip to main content

Rafidah Aziz letak jawatan pengerusi AirAsia X selepas lebih 10 tahun

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Jun - AirAsia X Bhd. mengumumkan peletakan jawatan Tan Sri Rafidah Aziz sebagai pengerusi dan pengarah bebas bukan eksekutif kumpulan syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh itu. 

 

Peletakan jawatan itu berkuat kuasa 1 Julai 2022, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Ia turut menyaksikan beliau melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Risiko dan Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan.

 

"...(Tan Sri) tidak lama lagi akan menamatkan tempoh yang dibenarkan, sebagai pengarah bebas. (Tan Sri) kemudiannya perlu mematuhi perubahan status, daripada Ahli Lembaga Bebas, kepada Pengarah Bukan Bebas, dan keperluan lain yang seterusnya," jelasnya.

 

Rafidah, 78, dilantik sebagai pengerusi lembaga pengarah dan pengarah bebas bukan eksekutif pada 3 Mac 2011 dan dilantik semula sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Kanan selepas penyenaraian syarikat pada 10 Julai 2013.

 

Beliau juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan serta Jawatankuasa Pengurusan Risiko Lembaga Pengarah, dan Lembaga Semakan Keselamatan Syarikat.

 

Malah, beliau adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia yang paling lama berkhidmat, dari 1987 hingga 2008, dan banyak menyumbang kepada pengalaman antarabangsa.

 

Sementara itu, dalam makluman berasingan, AirAsia X melantik Tunku Mahmood Fawzy Tunku Muhiyiddin, 63, sebagai pengarah bebas bukan eksekutif berkuat kuasa hari ini.

 

Tunku Mahmood sebelum ini merupakan ahli lembaga pengarah Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Hong Leong Islamic Bank Bhd., Pos Malaysia Bhd., Executive Solutions and Outcomes Sdn. Bhd., Ethos Capital One Sdn. Bhd., dan Federation of Investment Managers Malaysia, Energy Africa Limited. - DagangNews.com