Pusat Inovasi Peranti Perubatan (MDIC) bakal pacu budaya inovasi syarikat tempatan | DagangNews Skip to main content

Pusat Inovasi Peranti Perubatan (MDIC) bakal pacu budaya inovasi syarikat tempatan

Mohamed Azmin Ali (dua dari kanan) dan Dr Ahmad Sabirin Arshad mendengar penerangan di pameran bersempena pelancaran Pusat Inovasi Peranti Perubatan (MDIC) kelolaan SIRIM Berhad di Kulim Hi-Tech Park, Kedah pada 30 Oktober 2021.


 

KULIM 30 Okt – SIRIM Berhad, peneraju bagi penyelesaian teknologi dan kualiti hari ini melancarkan Pusat Inovasi Peranti Perubatan (MDIC) bagi meningkatkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk industri peranti perubatan tempatan.

 

Pusat inovasi ini ditubuhkan bagi meningkatkan keupayaan industri dalam meneroka inovasi baharu dalam produk peranti perubatan mengikut keperluan pasaran semasa dan akan datang.

 

Pusat ini juga akan meningkatkan keupayaan akses pasaran industri peranti perubatan serta mewujudkan komuniti amalan bersama dalam mengurus dan mengkomersialkan teknologi baharu.

 

MDIC yang terletak di Kulim Hi-Tech Park, Kedah membolehkan kerjasama dengan pelbagai rakan pintar yang merangkumi pengeluar peranti perubatan, kementerian dan agensi kerajaan, pusat inovasi pembuatan antarabangsa dan institut penyelidikan dan universiti.

 

Pelancaran MDIC disempurnakan oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali. Hadir sama, Pengerusi SIRIM, Tan Sri Ir. Dr. Ahmad Tajuddin Ali dan, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Dato’ Dr Ahmad Sabirin Arshad.

 

Menteri Kanan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali berkata SIRIM, sebuah agensi di bawah MITI yang menerajui teknologi perindustrian telah mengambil langkah berani dengan penubuhan MDIC selaras dengan sektor penjagaan kesihatan dan perubatan negara yang dijangka berkembang pada 5.7% dari 2020 hingga 2025 berikutan peningkatan populasi warga tua dan penyakit tidak berjangkit.

 

“Pada permulaan pandemik, kerajaan telah menghadapi kekurangan bekalan PPE, kit diagnostik dan juga makmal-makmal pengujian yang berkeupayaan tinggi. Daripada pengalaman ini, kita telah pelajari bahawa Malaysia adalah ekonomi perdagangan yang signifikan dalam rantaian bekalan global.

 

“Polisi-polisi strategik telah dikaji semula bagi mengukuhkan industri terutamanya dalam industri peranti perubatan,” katanya.

 

 

Sirim
Mohamed Azmin Ali (tengah) melancarkan Pusat Inovasi Peranti Perubatan bersama Dr. Ahmad Tajuddin Ali (kiri) dan Dr Ahmad Sabirin Arshad di Kulim Hi-Tech Park, Kedah pada 30 Oktober 2021.

 

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Dato’ Dr Ahmad Sabirin  Arshad berkata SIRIM  berperanan sebagai sebahagian daripada pemboleh daya bagi pengukuhan ekosistem peranti perubatan negara, melalui peningkatan keupayaan seperti penyelidikan dan pembangunan produk peranti perubatan; pengukuran dan penentukuran untuk industri peranti perubatan; penilaian pematuhan iaitu pengujian, pemeriksaan dan pensijilan; bantuan latihan teknikal bagi membangunkan standard industri peranti perubatan; dan peningkatan produktiviti melalui Program SIRIM Fraunhofer.

 

Tiga program utama akan dilaksanakan oleh MDIC yang melibatkan penggunaan inovasi teknologi termaju bagi PKS tempatan; teknologi Industri 4.0 yang diterima pakai oleh syarikat tempatan besar dan projek vendor utama yang akan disertai oleh pihak syarikat multinasional dan PKS tempatan.

 

MDIC juga akan melaksanakan inkubator inovasi pembuatan, makmal terbuka dan “teaching factory” yang membolehkan rangkaian kerjasama awam dan swasta direalisasi.

 

MDIC ditubuhkan berikutan maklumbalas yang diperoleh SIRIM daripada industri peranti perubatan dan agensi kerajaan berkaitan yang antaranya mengemukakan isu dan cabaran yang dihadapi industri itu seperti: inovasi teknologi, akses pasaran, pembangunan sumber manusia dan polisi untuk membantu industri.

 

Cabaran utama yang dikemukakan oleh semua peringkat industri adalah sumber terhad dalam menjalankan R&D produk berikutan kekurangan sumber kewangan, kemudahan infrastruktur dan pekerja berkemahiran tinggi. Sementara itu, syarikat-syarikat multinasional pula menghadapi kesukaran mendapatkan sumber manusia dengan kepakaran tertentu yang boleh menjayakan hala tuju teknologi mereka. – DagangNews.com