PUBG antara lapan acara e-Sukan dipertandingkan di Sukan Asia Hangzhou 2022 | DagangNews Skip to main content

PUBG antara lapan acara e-Sukan dipertandingkan di Sukan Asia Hangzhou 2022

 

KUALA LUMPUR 9 Nov - Permainan video, PUBG Mobile menjadi salah satu daripada lapan acara e-Sukan yang bakal dipertandingkan di Sukan Asia di Hangzhou bermula 10 hingga 22 September tahun depan.

 

Selain PUBG, Arena of Valor Asian Games Version, DOTA 2, Dream Three Kingdoms 2, permainan bola sepak jenama EA Sports Fifa, Hearthstone, League of Legends dan Street Fighter V akan turut dipertandingkan.

 

Permainan PUBG Mobile yang dibangunkan bersama Lightspeed and Quantum Studios milik Tencent Games dan KRAFTON itu antara permainan paling popular di dunia dan diiktiraf Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

 

Setiap peserta yang bakal beraksi pada temasya itu akan bersaing dalam versi Sukan Asia PUBG Mobile bagi merebut pingat emas.

 

Pemilihan PUBG Mobile di Sukan Asia 2022 membuktikan perkembangannya sebagai permainan e-Sukan mudah alih paling popular dengan lebih 1 bilion muat turun di serata dunia.

 

Pengarah e-Sukan Global Tencent Games, James Yang berkata, pihaknya berbesar hati dengan pemilihan PUBG Mobile sebagai permainan yang akan dipertandingkan di temasya berprestij itu.

 

"Kami mempunyai peserta sangat berbakat dari beberapa negara di rantau ini dan tidak sabar untuk melihat mereka bersaing dalam acara berprestij ini.

 

"Peminat permainan ini boleh menyaksikan persaingan antara peserta PUBG Mobile terbaik di rantau ini," katanya.

 

Ketua Jabatan Pemasaran Strategik PUBG Mobile di KRAFTON, Minu Lee turut berbangga kerana PUBG Mobile terpilih sebagai acara yang menawarkan pingat di Sukan Asia Hangzhou 2022.-DagangNews.com