PTPTN lancar produk baharu 'Simpan SSPN Plus' - lebih banyak keistimewaan | DagangNews Skip to main content

PTPTN lancar produk baharu 'Simpan SSPN Plus' - lebih banyak keistimewaan


KUALA LUMPUR 3 Sept - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini melancarkan satu produk baharu dikenali sebagai Simpan SSPN Plus yang menawarkan pelbagai manfaat untuk pelanggan.

 

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, Simpan SSPN Plus merupakan kesinambungan daripada produk SSPN-i Plus yang telah ditambah baik dan berwajah baharu dengan pelbagai keistimewaan.

 

Katanya melalui Simpan SSPN Plus, pendeposit ditawarkan lebih banyak pilihan takaful iaitu Hong Leong MSIG Takaful Berhad, Great Eastern Takaful Berhad dan Takaful Ikhlas Family Berhad berbanding hanya satu syarikat takaful sebelum ini. 

 

Di samping itu katanya produk baharu itu menawarkan enam pakej mampu milik dengan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada pendeposit seperti perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta, penyakit terminal sehingga RM200,000, manfaat penghantaran balik jenazah sehingga RM10,000, rawatan pesakit luar akibat kemalangan sehingga RM3,000 dan perlindungan sehingga umur 69 tahun.

 

“Pelancaran ini juga tepat pada masanya dan selari dengan teras pertama Pelan Strategik PTPTN untuk menjadikan SSPN sebagai produk simpanan pendidikan utama di Malaysia,” katanya ketika merasmikan pelancaran produk baharu tersebut secara maya hari ini, lapor Bernama.

 

Ahmad Dasuki juga berkata pelancaran produk berkenaan merupakan  landasan terbaik kepada masyarakat untuk terus menabung bagi tujuan pendidikan tinggi.

 

Di samping itu, Simpan SSPN Plus masih mengekalkan keistimewaan sedia ada dalam pakej SSPN-i Plus sebelum ini seperti dividen yang kompetitif, pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000, simpanan patuh syariah dan dijamin kerajaan.

 

Sementara itu, PTPTN turut melancarkan Cabutan WOW! Simpan SSPN Plus 2021 yang bermula daripada 1 September hingga 31 Disember ini dengan penawaran hadiah utama berupa Gold Bar bernilai RM150,000.

 

Hadiah menarik lain adalah kereta perodua Bezza 1.3AV kepada dua pemenang, perkakas dapur canggih (thermomix) kepada tiga pemenang dan hadiah sagu hati berbentuk wang tunai bernilai RM221 kepada 215 pemenang.

 

Pembukaan dan penambahan Simpan SSPN Plus boleh dibuat secara dalam talian melalui www.lovesspn.com dan atau https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn berhubung dengan pegawai pemasaran PTPTN. - DagangNews.com