Proton tubuh anak syarikat untuk pasarkan kenderaan tenaga baharu | DagangNews Skip to main content

Proton tubuh anak syarikat untuk pasarkan kenderaan tenaga baharu

KUALA LUMPUR 9 Sept - Selepas menandatangani perjanjian pengedaran am (GDA) bersama smart pada 18 Ogos 2022, Proton telah menubuhkan syarikat baharu untuk menguruskan jualan dan pengedaran kenderaan smart serta kenderaan tenaga baharu (NEV) jenama sendiri. 

 

Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (PRO-NET) adalah anak syarikat milik penuh Proton yang akan dikendalikan pasukan pengurusan yang berasingan, manakala kakitangan operasi akan terdiri daripada pekerja luar daripada pelbagai industri.

 

Mengetuai anak syarikat itu adalah Zhang Qiang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. Beliau telah lama berkecimpung dalam industri automotif di China dan telah bekerja di Proton selama lima tahun di bahagian jualan dan pembangunan rangkaian. 

 

Ahli pasukan pengurusan yang lain termasuk Salawati Mohd Yusoff, seorang veteran industri automotif yang berpengalaman selama 25 tahun sebagai Ketua Pegawai Jenama (CBO) dan Sua Chek Hoong, tambahan baharu ke Proton dengan pengalaman selama 20 tahun dalam industri komunikasi dan IT, sebagai Ketua Pegawai Informasi.

 

Pasukan pengurusan bertanggungjawab kepada lembaga pengarah yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong dan disokong  Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah; Ketua Pegawai Kewangan Proton, Wang Huaibing dan Naib Presiden Modal Insan dan Pentadbiran Proton, Amran Mohd Tomin.

 

Jualan kenderaan elektrik smart dijadualkan bermula pada awal suku keempat 2023. Model pertama yang akan ditawarkan kepada rakyat Malaysia ialah smart #1 dan PRO-NET kini membuat persediaan untuk pemasarannya. 

 

Keutamaan syarikat adalah penyelesaian isu pengecasan untuk pelanggan dan rancangan semasa adalah untuk menggunakan rangkaian pengecasan berasaskan rumah dan awam.

 

 

proton
Dr Li Chunrong

 

 

Li Chunrong berkata, kajian mereka menunjukkan penghalang kepada pengguna untuk membeli kenderaan tenaga baharu terikat dengan kebimbangan tentang ketersediaan rangkaian pengecasan. 

 

"PRO-NET berhasrat untuk menangani isu ini dengan gabungan pemasangan dan penyelenggaraan pengecas di rumah dengan rangkaian awam komprehensif yang dibina bersama rakan kongsi yang pakar dalam pembangunan dan pengendalian stesen pengecasan. 

 

"Sebagai anak syarikat Proton, PRO-NET bertanggungjawab memastikan produk dan perkhidmatan kami boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia tidak kira di mana mereka berada. Jadi, selain daripada pengecas tetap, kami juga sedang mempertimbangkan penyelesaian mudah alih untuk meluaskan liputan kami,” katanya.

 

 

proton

 

 

Beliau berkata, industri kenderaan tenaga baharu sedang berkembang pesat dan PRO-NET ingin memainkan peranan besar di Malaysia dan di luar negara. 

 

"Memandangkan produk baharu ini tidak akan dibebani oleh barisan model terdahulu atau operasi perkhidmatan tradisional, ini adalah peluang untuk Proton merangka semula pengalaman pelanggannya dan menempatkan dirinya sebagai penyedia mobiliti yang mampu menarik perhatian pembeli baharu dan tradisional. 

 

"Kami masih berada di titik permulaan perjalanan tenaga baharu tetapi dengan pengumuman rasmi hari ini mengenai PRO-NET, rancangan ini akan mendapat momentum yang membawa kepada lebih banyak perkembangan pada bulan dan tahun akan datang,” katanya. - DagangNews.com