Prospek Dayang bagi 2021 dilihat 'kurang menarik' akibat sekatan pergerakan | DagangNews Skip to main content

Prospek Dayang bagi 2021 dilihat 'kurang menarik' akibat sekatan pergerakan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Pelaksanaan sekatan pergerakan yang mengakibatkan prestasi kewangan Dayang Enterprise Holdings Bhd. terjejas pada suku kedua dijangka terus mempengaruhi keseluruhan tahun kewangan kumpulan bagi tahun ini.

 

Dayang baru-baru ini melaporkan untung bersih teras hanya RM6 juta bagi suku kedua, walaupun kerugian bersihnya berkurangan kepada RM18.3 juta bagi tempoh separuh pertama.

 

Penganalisis Public Investment Bank Research, Nurzulaikha Azali berkata, prestasi itu bagaimanapun di bawah unjuran firma dan konsensus disebabkan langkah sekatan pergerakan dan prosedur standard operasi (SOP) yang ketat menjejaskan margin keuntungan kasar kumpulan sebanyak 19% setakat ini. 

 

"Melihat kepada prestasi suku kedua ini, kami berpandangan keseluruhan tahun kewangan 2021 adalah kurang menarik memandangkan tahap kecekapan dijangka kekal rendah disebabkan kapasiti tenaga kerja lebih rendah dan SOP ketat dilaksanakan Kementerian Kesihatan khususnya membabitkan pergerakan pekerja.

 

"Tahun ini, ia menyaksikan pekerja di luar pesisir tidak dibenarkan berpindah ke platform lain secara terus untuk menjalankan kerja-kerja lain, tanpa menjalani kuarantin selama 14 hari," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Firma tersebut menyertai taklimat bersama pengurusan Dayang baru-baru ini untuk meninjau prestasi kumpulan bagi 2021. 

 

Kumpulan menjangkakan terdapat penangguhan beberapa kerja, antaranya membabitkan kontrak perkhidmatan gabungan dan pentauliahan bersepadu (i-HUC) bernilai kira-kira RM80 juta dibawa ke tahun hadapan.

 

Nurzulaikha berkata, perbincangan berterusan membabitkan Petronas, Kementerian Kesihatan dan kerajaan negeri Sarawak mengenai kelonggaran sekatan pergerakan terutama bagi tempoh kuarantin dijangka memberi hasil yang positif dalam tempoh terdekat.

 

Katanya, Dayang bagaimanapun sudah mencapai 100% kadar vaksinasi dalam kalangan pekerjanya setakat ini.

 

"Oleh itu, kami melihat pendapatan bagi tahun kewangan 2022 dijangka kukuh, disokong oleh nilai kontrak sebanyak RM2.3 bilion dan margin keuntungan yang lebih baik. 

 

"Peningkatan nilai kontrak akan berterusan terutama perbelanjaan modal (capex) yang tinggi oleh syarikat minyak utama meskipun, capex Petronas pada suku kedua amat mengecewakan disebabkan sekatan pergerakan menyaksikan beberapa projek tertangguh," katanya.

 

Firma itu bagaimanapun mengekalkan saranan 'outperform' ke atas Dayang dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.35 berdasarkan kepada 14x nisbah harga kepada pendapatan (PER) berganda berbanding pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2022. -DagangNews.com