Prospek AirAsia masih ‘sakit’, MAHB pula dalam kedudukan baik - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Prospek AirAsia masih ‘sakit’, MAHB pula dalam kedudukan baik - Penganalisis

Gambar hiasan oleh Muhammad Faiz Zulkeflee

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Walaupun pemberian vaksinasi COVID-19 mewujudkan keyakinan baharu terhadap perjalanan udara, namun dua pemain industri penerbangan, AirAsia Group Berhad dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) diunjur ‘melakarkan’ prospek yang berbeza.

 

Dari segi tahap keberuntungan, penganalisis di Kenanga Research, Raymond Choo Ping Khoon menjangkakan syarikat penerbangan termasuk AirAsia akan terus berdepan keadaan operasi lebih sukar sementara menunggu vaksinasi diperluaskan.

 

MAHB sebaliknya berpotensi menjadi saham pemulihan COVID-19 utama apabila keyakinan perjalanan udara kembali semula, ditambah pemangkin positif daripada pemeteraian Perjanjian Operasi (OA) dengan kerajaan.

 

“Harga saham MAHB telah meningkat 20% setakat ini, menghampiri tawaran peningkatan harga sasaran (TP) kami. Oleh itu, kami menyemak turun MAHB daripada ‘outperform’ kepada ‘market perform’ (TP:RM7).

 

“AirAsia sebaliknya yang berdepan kerugian dalam kemerosotan jumlah penumpang dan cabaran aliran tunai, memerlukan kutipan modal. Kekal ‘underperform’ ke atas AirAsia (TP:RM0.70),” jelas Ping Khoon dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa perjalanan udara hanya akan pulih secara perlahan-lahan bermula suku pertama 2022 (1Q22).

 

Pada tempoh separuh pertama tahun kewangan 2021 (1HFY21), hasil MAHB menyusut 45% seiring jumlah penumpang di operasi Malaysia yang menguncup 84%.

 

Kerugian AirAsia sebaliknya menguncup bagi tempoh berkenaan dipacu oleh ketiadaan kerugian pertukaran lindung nilai bahan bakar.

 

Walaupun Kenanga menyemak turun penarafan MAHB buat masa ini, namun saham kumpulan mempunyai potensi untuk disemak semula sekiranya OA berjaya dimeterai dengan kerajaan. 

 

Sebagai rekod, pada 12 April 2019, MAHB mengumumkan bahawa kerajaan telah meluluskan lanjutan konsesi MAHB untuk mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia bermula 2034 hingga 2069.

 

“OA baharu yang dimeterai dengan kerajaan susulan daripada lanjutan konsesi itu (belum lagi ditandatangani) akan membuka jalan bagi penarafan semula sahamnya. 

 

“Kami percaya OA baharu itu akan menjadi ‘mesra pelabur’, dan mewujudkan pembangunan MAHB yang mampan untuk tempoh jangka masa panjang, setelah terjejas akibat COVID-19 dari segi pertumbuhan trafik penumpangnya di Malaysia dan Turki,” tambah Ping Khoon. - DagangNews.com