PRN Johor: Antara Keperluan, Risiko dan Kestabilan Ekonomi | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 9 February 2022

PRN Johor: Antara Keperluan, Risiko dan Kestabilan Ekonomi

 

 

HARI ini  (9 Februari 2022) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengadakan mesyuarat bagi menentukan proses pengendalian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi hari penamaan calon dan hari mengundi.

 

Secara rasminya, minggu lalu Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN.

 

SPR juga secara rasmi sudah menerima notis daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berhubung pembubaran DUN Johor penggal yang ke-14 sebagaimana termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895.

 

Berdasarkan Fasal (4) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 berkehendakkan suatu pilihan raya diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN berkenaan.

 

Mahu tidak mahu PRN Johor pasti akan diadakan dalam masa terdekat.

 

Pertikaian pembubaran PRN Johor

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sememangnya tidak bersetuju dari awal lagi DUN Johor dibubarkan kerana negara masih berhadapan dengan pelbagai musibah termasuk pandemik COVID-19 dan bencana banjir.

 

 Keputusan pembubaran DUN Johor yang dikatakan tidak berbincang dengan BERSATU dan PAS.

 

Keputusan pembubaran ini dikatakan hanya keputusan UMNO sendiri sahaja. Secara asasnya, PRN adalah diasaskan kepada Bahagian Kedua dan Ketiga Fasal 23 Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 yang membenarkan sesuatu pihak yang majoriti membubarkan DUN sebelum tamat tempoh lima tahun tanpa menerima persetujuan dari pihak minoriti dalam gabungan DUN.

 

Selain itu, pembubaran DUN dibuat oleh Sultan Johor dan ia mematuhi kedua-dua fasal dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri.

 

Pembubaran ini sah dah tidak boleh dipertikaikan.

 

 

volatiliti

 

 

Adakah BN Yakin Menang Seperti PRN Melaka?

Pada PRN kali ini, adakah parti Barisan Nasional (BN) yakin akan menang PRN Johor seperti PRN Melaka?

 

Dijangkakan parti BN akan bertanding secara “solo” pada PRN kali ini dan mereka yakin untuk memenangi 2/3 daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

 

BN dijangka akan bertanding secara “solo” di semua 56 kerusi DUN dan tidak akan kerjasama dengan mana-mana parti yang berada di luar BN.

 

BN mahukan kemenangan besar dalam PRN kali ini sebagai isyarat kebangkitan parti itu bagi membuktikan mereka mampu untuk mengemudi pentadbiran negara.

 

BN juga tidak boleh terlalu selesa kerana komposisi kaum di Johor adalah dari berbilang kaum seperti komposisi kaum di Malaysia pada Pilihan Raya Umum (PRU).

 

Faktor pengundi muda juga boleh “menidakkan” keyakinan BN untuk “menang besar” di Johor.  Terdapat lebih 700,000 pengundi muda pada kali ini di Johor.

 

 

volatiliti

 

 

Apakah strategi BERSATU?

BERSATU dijangka mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi mengatur strategi menghadapi PRN Johor.

 

Bersatu akan bermesyuarat dengan melibatkan semua 26 ketua bahagiannya selain jentera pilihan raya negeri bagi membincangkan perkara berkaitan termasuklah persiapan dan persediaan jentera bagi menghadapi PRN Johor.

 

BERSATU juga “yakin” untuk mempertahankan 11 kerusi DUN yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada PRN kali ini. Mampukah BERSATU?

 

Bersatu juga dijangka akan mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama PAS dan GERAKAN selaku komponen dalam Perikatan Nasional (PN) Johor bagi menyusun strategi untuk memperolehi lebih banyak kemenangan kerusi DUN Johor pada kali ini.

 

Apa Nasib Pakatan Harapan (PH)?

Dalam tumpuan kepada BN dan PN (Gabungan Bersatu, PAS dan Gerakan), apakah nasib PH pada PRN Johor?

 

PH masih mahu “status quo” dalam politik kerajaan Johor tetapi BN yakin untuk menawan kembali negeri itu seperti mana mereka dapatkan kembali Melaka sebelum ini.

 

Adalah PH boleh mencatat pencapaian yang lebih baik daripada gabungan dianggotai PN (Gabungan Bersatu, PAS dan Gerakan)?

 

Walaupun PH dilihat “lemah”, kita tidak boleh menafikan kedudukan parti ini kerana PAS juga dilihat “kurang yakin” dengan BERSATU dapat membantu PAS untuk memenangi kerusi yang ditandingi PAS.

 

 

volatiliti

 

 

Terkuburnya Muafakat Nasional

Adakah PAS akan “berpatah semula” dan akan bekerjasama dengan UMNO pada kali ini?

 

Tindakan PAS menyertai (PN) dilihat sebagai titik permulaan yang mengeruhkan kerjasama dengan UMNO-PAS dalam Muafakat Nasional (MN).

 

PAS telah terhutang budi pada BERSATU yang memberikan kedudukan yang terbesar dalam sejarah politik PAS.

 

Persefahaman UMNO-PAS dilihat tidak mampu diselamatkan apabila PAS mendakwa UMNO 'rakus dan tamak' kerusi dan kuasa kerana UMNO dijangka hanya menawarkan 4 kerusi DUN kepada parti itu pada PRN Johor kali ini.

 

 Walaupun ia bukan keputusan muktamad kerjasama UMNO-PAS, PAS menganggap UMNO “kacang lupakan kulit”   yang lupa sama sekali dengan kemenangan yang mereka peroleh  sebelum ini hasil bantuan dan pertolongan PAS.

 

Sementara itu, UMNO mendakwa PAS tidak realistik apabila membuat tuntutan yang tidak munasabah dengan memohon jumlah kerusi yang banyak dalam PRN  Melaka dan Johor, sedangkan PAS tidak mempunyai pengaruh kuat di kedua-dua negeri ini.

 

Perlukah isytihar darurat?

Dalam masa yang sama, rakyat terus bimbang jika PRN Johor ini jika ingin diadakan. Sehingga semalam, jangkitan COVID-19 negara meningkat sehingga melebihi 11,000.  

 

Peningkatan mendadak kes COVID-19 turut meresahkan Menteri Kesihatan YB Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah ditambah dengan kebimbangan varian Omicron yang melanda.

 

 

volatiliti

 

 

Jika tahap kesihatan dan keselamatan rakyat “semakin terancam” dengan COVID-19, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

 

Jangan pertaruhkan nyawa rakyat

Jika jangkitan COVID-19 naik dan terus naik, PRN Johor dilihat kurang sesuai untuk dilaksanakan.

 

Dalam masa yang sama, ketika rakyat cuba bangkit dari kemelut ekonomi dan bencana banjir, rakyat kini memerlukan sokongan dan bantuan daripada kerajaan bagi kelangsungan hidup mereka.

 

 Apa yang agak menyedihkan, ibarat pemimpin politik “kurang” memikirkan nasib rakyat yang perlu didahulukan daripada memikirkan membuat PRN mahupun PRU.

 

Kestabilan politik penting bagi ekonomi negara

Selain keselamatan kesihatan dan kelangsungan hidup rakyat, kestabilan politik juga penting bagi ekonomi negara.

 

Apabila politik sesebuah negara stabil, maka pelabur asing (FDI) akan meningkat. Kestabilan politik sangat penting dalam menentukan kemasukan FDI yang tinggi.

 

Pelabur asing melihat kepada bagaimana pelaburan mereka dalam sesebuah negara dengan aktiviti pelaburan jangka panjang tanpa sebarang bentuk gangguan terutamanya politik.

 

 

volatiliti

 

 

Terbaharu, Bank Negara Malaysia mengumumkan bahawa ekonomi Malaysia mampu berkembang  sekitar antara 5.5% dan 6.5% pada tahun ini kerana disokong oleh pengembangan berterusan dalam permintaan global dan perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi.

 

Selain itu,  permintaan luar yang kukuh untuk produk dan komoditi elektrik dan elektronik (E&E) terutamanya daripada rakan perdagangan utama negara termasuk China, Amerika Syarikat dan ekonomi ASEAN akan menyumbang kepada pengembangan lebih banyak lagi sektor berorientasikan eksport.

 

Diharapkan PRN-PRN yang diadakan ini, tidak memberi persepsi yang buruk kepada FDI tentang kestabilan politik negara dan merencatkan proses pemulihan ekonomi negara. - DagangNews.com

 

 
SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags