Prinsip Bernama bebas, telus diharap suburkan pemahaman rakyat terhadap aspirasi negara bermatlamat - PM | DagangNews Skip to main content

Prinsip Bernama bebas, telus diharap suburkan pemahaman rakyat terhadap aspirasi negara bermatlamat - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melambai tangan kepada tetamu ketika tiba untuk merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Sabah International Convention Centre (SICC) hari ini. - Gambar Bernama

KOTA KINABALU 20 Mei - Prinsip Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang bebas dan telus dalam melaporkan berita, diharap menyuburkan pemahaman rakyat terhadap aspirasi negara bermatlamat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Beliau berkata, aspirasi agensi berita yang menyambut Ulang Tahun Ke-55 hari ini penting dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang moden dan berjaya dalam jangkau yang terdekat.

 

Katanya, dalam meniti usia penubuhan Bernama yang ke-55, agensi berita terunggul di Malaysia itu bukan sahaja mampu melebarkan sayap operasinya ke seluruh dunia, malah menjadi inspirasi kepada golongan muda yang bercita-cita menjadikan bidang kewartawanan sebagai kerjaya.

 

"Dirgarhayu Bernama, tahniah dan moga terus sukses untuk 55 tahun lagi," katanya ketika ditemui Bernama pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) peringkat negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini.

 

Bernama ditubuhkan di bawah Akta Parlimen pada 6 April 1967 dan dilancarkan secara rasmi pada 30 Ogos 1967 sempena ulang tahun ke-10 kemerdekaan negara, dan agensi berita itu mula beroperasi pada 20 Mei 1968.

 

Ketika memulakan operasinya, bangunan pertama Bernama adalah di rumah banglo empat bilik beralamat di No. 222, Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur dengan hanya 20 petugas. Kini ia memiliki bangunan sendiri setinggi 15 tingkat dengan lebih 1,000 petugas.

 

Sepanjang lebih lima dekad penubuhannya di bawah Akta Parlimen 1967, Bernama telah berkhidmat berlandaskan objektif penubuhannya iaitu menyedia, menyebar luas berita dan maklumat secara tepat, adil dan saksama demi memelihara kepentingan nasional. - DagangNews.com