Precession Capital mahu bantu PKS jadi lebih berdaya tahan | DagangNews Skip to main content

Precession Capital mahu bantu PKS jadi lebih berdaya tahan

KUALA LUMPUR 5 Julai – Precession Capital Bhd. (PCB), sebuah firma latihan keusahawanan dan pengurusan pelaburan berhasrat untuk terus memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini berikutan peranannya yang besar dalam ekonomi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PCB, Nash Idrus berkata, seperti negara-negara membangun yang lain, PKS Malaysia berdepan dengan empat kekangan pertumbuhan terutamanya akses terhad kepada sumber-sumber kewangan.

 

Selain itu, katanya, PKS juga berdepan kesukaran untuk mengembangkan pasaran mereka, kegagalan untuk menarik dan mengekalkan bakat-bakat yang baik dan ketidakmampuan untuk bergerak selaras dengan perkembangan teknologi yang semakin maju. 

 

"Menerusi cabaran-cabaran ini, PCB tampil untuk membantu PKS merealisasikan misi mereka untuk menjadi perniagaan yang berjaya, berdaya tahan dan berkeuntungan menerusi penawaran perkhidmatan mereka yang pelbagai," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sejak penubuhannya pada 2016, PCB terus mengekalkan fokus dalam mendatangkan pulangan yang luar biasa dan dalam jangka masa yang panjang bagi kedua-dua pihak pelabur dan syarikat-syarikat yang dipupuk menerusi pemikiran luar kotak, kajian teliti, pelaksanaan yang unik dan tersendiri, integriti dan akauntabiliti. 

 

Sehingga kini, syarikat telah berjaya membimbing dan memupuk lebih 400 PKS menerusi bimbingan tenaga kerja PCB yang bertauliah dan berkredibiliti. 

 

 

PCB
Ketua Pegawai Eksekutif PCB, Nash Idrus (depan) dan Ketua Hubungan Pelabur PCB, Shah Mohamad dalam satu sesi latihan keusahawanan baru-baru ini.

 

 

Baru-baru ini, PCB mengusahakan semula dan mengembangkan program Advance Business Course (ABC) – sebuah siri kursus perniagaan unik yang mensasarkan para pengasas PKS dan pemilik perniagaan yang berkeinginan untuk menaik taraf perniagaan mereka daripada ‘mampu laksana kepada ‘berdaya labur’. 

 

PCB telah mengembangkan ABC dengan penawaran program-program yang memfokuskan kepada pelbagai asas perniagaan; dan strategi perniagaan dan pelaburan. 

 

Program tersebut merangkumi tiga bulan bimbingan yang mendalam bersertakan pengalaman-pengalaman seacara langsung. 

 

Menerusi program ini, para usahawan yang tidak memiliki atau kurang ilmu untuk mengembangkan perniagaan dan modal akan menimba kemahiran untuk membina model perniagaan yang unik serta ilmu-ilmu lain seperti Kewangan Korporat, Perbankan Pelaburan, Tadbir Urus Korporat, Pematuhan, Aliran Tunai Bebas, Penilaian, Penciptaan Kekayaan dan Kebebasan Kewangan dan Masa. 

 

Sementara itu, Ketua Hubungan Pelabur PCB, Shah Mohamad berkata, PCB memberi fokus untuk menambah baik akses PKS kepada program-program pertumbuhan perniagaan dan menawarkan solusi-solusi inovatif secara berterusan. 

 

Katanya, kekurangan inovasi dalam kalangan PKS bukan sahaja menghalang pertumbuhan mereka, bahkan ia juga mengurangkan nilai keuntungan jangka panjang, dan seterusnya mengakibatkan kekurangan daya saing.

 

Antara punca kegagalan untuk berinovasi adalah kos R&D yang tinggi, kekurangan dana, kurang keinginan untuk melabur dalam peningkatan kemahiran, latihan, dan pembangunan sumber manusia dan kurang ilmu pengetahuan. 

 

"Perniagaan yang kurang daya kreativiti dan inovasi lazimnya tidak mampu untuk bersaing dalam pasaran akibat kekurangan nilai tambah yang mampu memberikan persaingan. 

 

"Oleh itu, menjadi hasrat kami untuk memainkan peranan penting dalam menyahut seruan kerajaan untuk mendokong PKS selaras dalam misi kami untuk terus mengangkat perniagaan-perniagaan berkenaan ke sebuah tahap yang mampu menarik perhatian para pelabur," katanya. - DagangNews.com