Polisi persaraan negara perlu tindakan segera dan holistik | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 17 August 2022

Polisi persaraan negara perlu tindakan segera dan holistik

 

 

 

KETIKA negara dalam proses pemulihan ekonomi, kebimbangan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka selepas bersara kelak.

 

Pada masa kini, kebanyakan pencarum KWSP terutamanya golongan B40 mempunyai tahap simpanan yang kritikal.

 

Data dan statistik terkini seramai 3.2 juta ahli KWSP berusia bawah 55 tahun mempunyai simpanan pada tahap yang amat kritikal, iaitu kurang RM1,000.

 

Seramai 6.62 juta, atau 52% daripada 12.78 juta keseluruhan ahli KWSP berumur bawah 55 tahun pula mempunyai simpanan kurang RM10,000. Jumlah ini satu jumlah yang sangat kritikal dan membimbangkan.

 

Pengeluaran ketika COVID-19

Kesan pandemik COVID-19 yang tidak dijangka serta kejadian bencana alam telah menolak perlindungan sosial semasa negara ke tahap maksimum dan pendekatan menggunakan simpanan KWSP untuk keperluan kecemasan pastinya akan memberikan impak yang teruk tatkala ahli sedang berhadapan dengan ketidakcukupan wang simpanan persaraan, ditambah lagi dengan ketidaktentuan lain seperti peningkatan kos sara hidup.

 

Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim, iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan terakhir, pengeluaran khas RM10,000 pada Mac 2022 yang lepas.

 

Pengeluaran ini bersifat luar biasa kerana inisiatif ini telah diperkenalkan semata-mata untuk memenuhi keperluan aliran tunai yang mendesak semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kelembapan ekonomi.

 

Majoriti mereka yang telah membuat pengeluaran KWSP adalah dalam kalangan Bumiputera. Hasil daripada pengeluaran itu, sebanyak 4.4 juta atau 54% ahli Bumiputera kini mempunyai kurang daripada RM10,000, dan 2.0 juta atau 25% mempunyai kurang daripada RM1,000.

 

Ini amat membimbangkan kerana bilangan ini mencerminkan peningkatan peratusan ahli yang tidak mencapai kuantum Simpanan Asas KWSP minimum yang diperlukan oleh ahli apabila mencapai umur 55 tahun.


 

volatiliti

 


Kuantum Simpanan Asas

Secara purata jangka hayat rakyat Malaysia sehingga 75 tahun. Maka mereka perlu memiliki simpanan yang cukup untuk sekurang-kurangnya 20 tahun lagi untuk kelangsungan hidup.

 

Jika purata simpanan ahli KWSP di bawah 55 tahun mempunyai RM20,000 hanya RM84 sebulan akan diterima bagi tempoh persaraan mereka setiap bulan. Jumlah ini satu angka yang rendah dan membimbangkan.

 

Kuantum Simpanan Asas minimum yang di perlukan sebanyak RM240,000 pada usia 55 tahun. Secara matematiknya, dengan jumlah ini, pencarum akan mendapat RM 1000 sebulan untuk tempoh hayat 20 tahun selepas persaraan

 

Polisi yang holistik perlu dibangunkan

Bagi memastikan rakyat yang bersara mampu meneruskan kelangsungan hidup, kerajaan perlu membangunkan satu polisi persaraan yang holistik dengan segera.

 

Polisi boleh di gabung jalinkan dengan skim-skim perlindungan sosial atau pencen sedia ada atau ditambah baik bagi memastikan pesara kelak tidak menghadapi masalah kelangsungan hidup mereka.

 

Jika langkah segera tidak dilakukan pada hari ini, pastinya kita akan mengalami masalah dalam tempoh masa akan datang tentang isu persaraan dan kelangsungan hidup pesara ini.


 

volatiliti

 


Malaysia negara menua 2030

Polisi yang holistik ini sememangnya perlu segera dibangunkan, selari dengan Malaysia bakal mencapai status negara menua menjelang 2030.

 

Menjelang 2030, jumlah warga emas akan meningkat secara mendadak daripada 3.5 juta pada tahun 2021 kepada 5.3 juta ataupun 15% daripada keseluruhan penduduk pada tahun 2030 dan 7.4 juta ataupun 21% daripada keseluruhan penduduk.

 

Dari status negara menua yang ada 8 tahun lagi ini, kerajaan  perlu untuk merangka dasar dalam aspek seperti pekerjaan, jaminan pendapatan dan penjagaan kesihatan.

 

Ini menyerlahkan lagi kepentingan mempunyai simpanan dan pendapatan yang mencukupi untuk kesejahteraan masa depan selain membendung sebarang kejutan kewangan masa hadapan.

 

KWSP juga perlu penstrukturan pelaburan

KWSP juga perlu memainkan peranannya. WSP sebagai dana persaraan yang diberi mandat bagi melindungi simpanan ahli untuk keperluan dan kesejahteraan masa depan persaraan mereka.

 

Ditubuhkan sejak 1951, KWSP adalah tertakluk di bawah Akta KWSP 1991, yang menetapkan bahawa Akaun 1 (70% simpanan) ditetapkan untuk persaraan, manakala Akaun 2 (30% simpanan) adalah untuk pengeluaran lain-lain yang dibenarkan bagi menjamin masa depan persaraan.

 

Berbalik kepada tanggungjawab ini, KWSP perlu menstruktur semula pelaburannya bagi menjamin pendapatan yang lebih baik dan sekali gus mampu memberi pulangan yang baik bagi membantu meningkatkan tabungan pencarum menjelang persaraan mereka.


 

volatiliti

 


Terbaru KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM15.85 bilion pada suku pertama berakhir pada 31 Mac 2022, lebih rendah berbanding RM19.29 bilion pada suku yang sama tahun lalu.

 

Penurunan ini adalah disebabkan oleh beberapa perkembangan yang berpunca daripada ketegangan geopolitik, serta kesan daripada kenaikan kadar inflasi dan kenaikan kadar faedah.

 

Gaya hidup mempengaruhi jumlah kewangan

Selain polisi yang perlu dibangunkan dan tindakan KWSP, pencarum atau bakal pesara juga melihat gaya hidup yang mempengaruhi jumlah kewangan mereka.

 

Bagi seorang pesara, mereka memerlukan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada jumlah gaji terakhirnya untuk mengekalkan gaya hidup yang diingini selepas persaraan.

 

Sebagai contoh, jika gaji mereka berjumlah RM6,000 sebulan pada tahun terakhir bekerja, mereka memerlukan sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan selepas bersara untuk menikmati kualiti gaya hidup yang sama seperti sebelum persaraan.

 

Ini lah yang perlu dirancang oleh pencarum KWSP dengan memastikan jumlah simpanan KWSP mereka membenarkan mereka berbelanja mengikut gaya kehidupan mereka.


 

volatiliti

 


Rancang persaraan pelaburan

Pencarum atau pesara tidak boleh “bergantung harap” dengan polisi dan insentif yang diberikan oleh kerajaan semata-mata.

 

Para pesara harus bijak mengagihkan kewangan untuk ia mampu bertahan sekurang-kurangnya sehingga 20 tahun selepas tempoh persaraan.

 

Ia boleh di lakukan dengan menetapkan had jumlah pengeluaran bulanan, merancang perbelanjaan dengan bijak dan juga melaburkan sebahagian daripada simpanan mereka untuk mendapatkan potensi pulangan simpanan persaraan dengan kadar yang lebih tinggi.

 

Miskin di usia emas

Kerajaan perlu memandang serius isu ini. Jika isu ini tidak dirancang dengan baik, dijangkakan 85% rakyat Malaysia berdepan kemiskinan pada usia emas. Inilah yang kita tidak mahu terjadi di negara kita.

 

Kerajaan juga perlu meningkatkan tahap pendapatan menengah agar pekerja tidak mempunyai masalah kewangan bila sudah pencen.


 

volatiliti

 


Lihat sahaja negara Jepun, yang rakyatnya berpendapatan tinggi, mereka yang tua masih boleh hidup dengan selesa. Itu juga yang kita harapkan berlaku di Malaysia! – DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Segamat dan merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags