PM bubar Parlimen hanya setelah Wanita BN lengkapkan laporan `boleh menang PRU-15' | DagangNews Skip to main content

PM bubar Parlimen hanya setelah Wanita BN lengkapkan laporan `boleh menang PRU-15'

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan beliau akan membubarkan Parlimen selepas laporan daripada Pergerakan Wanita Barisan Nasional (BN) menunjukkan bahawa gabungan itu boleh menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

 

Perdana Menteri berkata, peranan Wanita BN amat penting kerana melalui hasil risikan mereka, parti akan mengetahui kekuatannya dan menggerakkan jentera bagi menyasarkan tindakan yang akan dilakukan.

 

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, berkata sebagai Perdana Menteri, beliau menerima banyak laporan kajian sikap pengundi daripada pelbagai pihak, namun beliau hanya berpegang kepada laporan Wanita BN.

 

"Saya bukan tidak percaya kepada yang lain, tetapi Wanita (BN) berada di mana-mana. Sebagai contoh, Wanita UMNO berada di setiap kampung.

 

"Jika ada 10 rumah, satu Wanita (BN) akan jaga sebagai contoh dan jika di FELDA, ada dua hingga tiga Wanita (BN) di setiap blok.

 

"Sebab itu saya anggap, laporan Wanita (BN) adalah laporan yang tepat. Jadi, untuk saya bubarkan Parlimen, saya nak dapatkan laporan lengkap daripada Wanita (BN)," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Bicara Hati Perdana Menteri sempena Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

 

Sementara itu Ismail Sabri menegaskan motif memasuki pilihan raya bukanlah untuk memuaskan hati pihak tertentu, sebaliknya adalah untuk menang

 

Justeru, katanya sebab itulah beliau akan berpegang kepada laporan daripada Wanita BN untuk membantu dalam memutuskan pembubaran Parlimen, sekali gus memberi laluan kepada PRU-15.

 

"Selepas dapat laporan Wanita (BN) yang menunjukkan kita boleh menang, saya akan bubarkan Parlimen.

 

"Apa yang penting, kita masuk pilihan raya kita mesti menang, bukan masuk pilihan raya cepat untuk memuaskan hati beberapa pihak," katanya. - DagangNews.com