Skip to main content

Planworth peruntuk RM500 juta dana pembiayaan perkasa PMKS

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Planworth Global Factoring memperuntukkan sejumlah RM500 juta untuk membawa penyelesaian kemudahan pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). 

 

Dana tersebut bertujuan memperkasa PMKS dan syarikat-syarikat pemula yang menjalankan urusan perniagaan ke perniagaan (B2B) dan perniagaan ke kerajaan (B2G) dengan akses ke pembiayaan modal yang selamat serta mudah. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Planworth Global Factoring, Dato Andy Kuek berkata, visi Planworth adalah untuk memperkasa PMKS tempatan untuk berkembang dan menyumbang kepada ekonomi negara dengan penyelesaian keberkesanan kos yang boleh diperibadikan. 

 

"Setakat ini kami telah menyalurkan lebih daripada RM1 bilion kepada PMKS tempatan. 

 

"Berikutan kisah-kisah kejayaan yang telah kami saksikan sendiri, kami kini memperuntukkan lebih dana untuk membantu lebih banyak PMKS dengan keperluan dokumen yang ringkas, polisi yang mesra kredit untuk PMKS, proses kelulusan pantas, serta penyaluran dana pantas tanpa perlu jaminan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dengan peruntukan sebanyak RM500 juta itu, Planworth akan memperluas lagi penyelesaian pembiayaan setempat mereka yang komprehensif bagi menyediakan Surat Sokongan, Modal Kerja, Pembiayaan PO, dan Pembiayaan Pasca/Pembiayaan Invois untuk memenuhi keperluan perkembangan PMKS pada setiap tahap, serta keperluan pembiayaan perniagaan jangka pendek hujung-ke-hujung. 

 

Melalui penyediaan akses bagi pengaliran tunai yang selamat dan lebih pantas, Planworth membolehkan syarikat-syarikat memenuhi keperluan kewangan mereka dengan segera serta membiayai operasi kewangan harian mereka. 

 

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada matlamat utama Planworth dalam memperjuangkan perkembangan lanskap perniagaan tempatan dan kewangan, sebagai institusi kewangan pemfaktoran pilihan PMKS dan syarikat-syarikat pemula yang memerlukan pembiayaan. 

 

Planworth merupakan sebuah institusi kewangan yang bereputasi dan berdaftar dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan e-perolehan untuk membiayai para kontraktor, penjual, dan pembekal kepada kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan sektor swasta. 

 

Kemudahan Pemfaktoran/Pembiayaan Invois Planworth dikecualikan daripada duti setem bermula daripada 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2023, berikutan kelulusan daripada MOF. 

 

Dana tersebut masih terbuka untuk permohonan sehingga penghujung tahun 2022 tetapi tertakluk kepada ketersediaan. Sila layari https://planworthfinance.com/apply-now/. - DagangNews.com