PKPB akan terus jejaskan sentimen pengguna - MIDF | DagangNews Skip to main content

PKPB akan terus jejaskan sentimen pengguna - MIDF

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) hampir di seluruh negara selama 4 minggu mulai 9 November, akan terus menjejaskan sentimen pengguna pada suku berikutnya. 

 

Walaupun, langkah itu dilihat kurang ketat berbanding fasa awal ketika gelombang pertama COVID-19, tetapi orang ramai masih cuba mengelakkan diri daripada berada di tempat ramai orang. 

 

MIDF Research berkata, pandemik COVID-19 ini akan terus menyaksikan sektor perkhidmatan terutama perhotelan dan penerbangan terus tertekan ekoran penutupan sempadan dan sekatan perjalanan.

 

"Perbelanjaan ke atas barangan bukan penting juga mengambil masa untuk pulih lebih lama berbanding jangkaan sebelum ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Jabatan Perangkaan dalam kenyataan hari ini mendapati, nilai jualan perdagangan borong dan runcit kembali melonjak buat pertama kali sejak enam bulan lalu kepada RM110.8 bilion pada September 2020.

 

Dari segi perbandingan tahun ke tahun, nilai jualan turut mencatatkan peningkatan sebanyak 0.2 peratus.

 

Pemacu utama pertumbuhan adalah jualan kenderaan bermotor yang meningkat 17.1 peratus berbanding September 2019.

 

Perdagangan runcit kembali ke landasan positif dengan pertumbuhan tahun ke tahun 1.1 peratus, namun perdagangan borong masih merekodkan pertumbuhan negatif 4.2 peratus pada September 2020.

 

Firma penyelidikan itu berkata, seperti dijangka, jualan pengedaran meningkat pada suku ketiga walaupun menyusut sedikit, 1.9% tahun ke tahun. 

 

Keadaan ini menunjukkan peningkatan yang signifikan bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku ketiga 2020 memandangkan penggunaan swasta merupakan penyumbang terbesar dalam pertumbuhan ekonomi negara. 

 

"Pada suku keempat pula, prestasi perdagangan pengedaran dijangka pulih sedikit demi sedikit berbanding suku sebelumnya. 

 

"Namun, pemulihan ini akan terus dipengaruhi peningkatan jangkitan COVID-19," katanya.

 

MIDF Research menjangkakan penggunaan swasta dan sektor perkhidmatan masing-masing akan menyusut -3.8% dan -4.4 pada tahun ini. - DagangNews.com