Pertimbangkan strategi mengurangan bahaya tembakau bagi membendung tabiat merokok | DagangNews Skip to main content

Pertimbangkan strategi mengurangan bahaya tembakau bagi membendung tabiat merokok

 

KUALA LUMPUR 28 Mei – Kira-kira 50% daripada perokok ketika ini di Malaysia mahu berhenti merokok dan ia menjadi tugas pengamal perubatan untuk membantu mereka merealisasikan impian itu.

 

Presiden Persatuan Perubatan Penagihan Dadah Malaysia (AMAM), Dr Steven Chow berkata, oleh yang demikian, konsep pengurangan bahaya adalah langkah pertama yang penting untuk menyelesaikan masalah ini.

 

Katanya, pendekatan konsep pengurangan bahaya terhadap tembakau menggalakkan perokok yang gagal atau tidak mahu berhenti merokok untuk menukar kepada cara pengambilan nikotin yang kurang berbahaya.

 

Secara tidak langsung usaha ini, ujar beliau, akan mendorong mereka untuk berhenti mengambil nikotin selamanya.

 

“Perokok merokok kerana mereka ketagih kepada nikotin tetapi toksik yang terdapat di dalam asap tembakau lebih memberi kesan kepada kesihatan manusia berbanding bahan tersebut.

 

“Nikotin boleh didapati di dalam pelbagai jenis produk yang berbeza dari segi kesan bahaya dan ketagihan dengan rokok berada pada tahap paling bahaya sehinggalah kepada produk-produk penggantian nikotin,” kata Chow dalam kenyataan di sini.

 

Baru-baru ini, lebih 80 pengamal perubatan menghadiri Persidangan Kebangsaan mengenai Ketagihan Perubatan ke-11 (11thNatCAM) yang dianjurkan oleh AMAM dan Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) pada 23 Mei lalu.

 

Persidangan 11thNatCAM membincangkan pelbagai isu berkaitan ketagihan dadah dan cara rawatan yang sesuai seiring era pandemik ini.

 

 

Presiden Persatuan Perubatan Penagihan Dadah Malaysia (AMAM), Dr Steven Chow
Presiden Persatuan Perubatan Penagihan Dadah Malaysia (AMAM), Dr Steven Chow

 

 

Pakar dan juga pengamal perubatan yang bertugas menangani isu ketagihan menyuarakan kebimbangan mereka mengenai penyalahpengunaan bahan terlarang dalam kalangan remaja dan juga belia yang dilihat diabaikan ketika pandemik COVID-19 ini.

 

Selain itu, NatCAM juga membincangkan mengenai kesan e-rokok dan vape terhadap kesihatan pengguna. AMAM dan FPMPAM akan sentiasa bekerjasama untuk menyokong sebarang usaha dan program yang mampu membantu mereka yang mahu berhenti merokok.

 

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 21.3 peratus daripada rakyat Malaysia adalah perokok iaitu bersamaan dengan 4.9 juta orang. Laporan tersebut juga menyatakan bahawa negara mencatatkan 27,200 kematian yang berkait tabiat merokok.

 

Menurut AMAM, terdapat pelbagai produk untuk terapi penggantian nikotin namun yang paling digunakan dan dibahaskan di Malaysia adalah penggunaan produk vape termasuk produk tembakau tanpa asap seperti snus.

 

Dalam laporan terkini Kajian Cochrane mengenai penggunaan Rokok Elektronik untuk Berhenti Merokok yang melibatkan 50 kajian dari the USA, UK, Itali, Australia, New Zealand, Greece, Belgium, Kanada, Poland, Korea Selatan, Africa Selatan, Switzerland dan Turki mendapati bahawa perokok berhenti merokok dengan hanya enam bulan selepas bertukar kepada cecair vape bernikotin berbanding terapi penggantian nikotin, produk vape tanpa nikotin atau pun terapi sokongan tingkah laku.

 

Persidangan ini mencapai sepakat untuk menyeru penglibatan masyarakat umum dan juga professional untuk mengkaji isu pengurangan bahaya tembakau. Dengan satu kajian jangka panjang, pengurangan bahaya tembakau mampu menjadi pendekatan yang pragmatik untuk mengurangkan bahaya penyakit akibat tabiat merokok. - DagangNews.com