Pernas sasar pembiayaan RM4.23 juta di BizFrancais Johor 2021 | DagangNews Skip to main content

Pernas sasar pembiayaan RM4.23 juta di BizFrancais Johor 2021

Pengerusi Pernas, Datuk Zakaria Mohd Edris dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia, Datuk Mohd Izhar Ahmad bergambar bersama penerima pembiayaan usahawan Pernas pada Majlis Perasmian BizFrancais Johor 2021 di Holiday Villa di sini, hari ini. NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

 

 

JOHOR BAHRU 4 Dis - Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menyasarkan potensi pembiayaan sebanyak RM4.23 juta menerusi Program BizFrancais Johor 2021 bagi pembangunan usahawan di negeri Johor.

 

Pengerusinya, Datuk Zakaria Mohd Edris berkata, sejak tahun 2017 sehingga kini, Pernas sudah membiayai sebanyak RM15.16 juta kepada 150 usahawan di Johor.

 

Katanya, Pernas juga sudah meluluskan sebanyak RM7.7 juta pembiayaan susulan daripada penganjuran program BizFrancais di lapan lokasi seluruh negara pada tahun 2019.

 

"Pada program ini, ia berjaya menarik minat lebih 29 pempamer dan 176 peserta dari kalangan usahawan, bagi mendapatkan ilmu keusahawanan terutamanya dalam bidang francais dan bantuan yang ditawarkan oleh Pernas.

 

"Program ini adalah inisiatif Pernas bagi pembentukan usahawan yang komprehensif dengan membantu mereka bagi mencari peluang menceburi bidang perniagaan khususnya perniagaan francais.

 

"Ia meliputi sesi perkongsian ilmu daripada usahawan francais, taklimat dari agensi kerajaan seperti Pernas, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

 

"Malah turut diadakan klinik perniagaan bersama jenama francais, prafrancais dan jenama di bawah program Business In Transformation (BIT). Jumlah pembiayaan program BIT di Johor ialah RM 150,620 dalam tempoh sembilan tahun," katanya.


 

Datuk Zakaria Mohd Edris, Pengerusi Pernas
                                              Datuk Zakaria Mohd Edris

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian BizFrancais Johor 2021 yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia, Datuk Mohd Izhar Ahmad di Holiday Villa di sini hari ini, lapor Berita Harian.

 

Yang turut hadir, Pengurus Besar Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB), Mohamad Radif Kosnin; Lembaga Pengarah Pernas, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Tuan Syead Mohamad Raffie Wan Ali serta Pengarah, Perbendaharaan dan Pengurusan Aset Pernas, Jamil Busrah.

 

Pada program itu, lapan usahawan menerima replika cek iaitu iaitu HAQ Beta Sdn Bhd, Leezo Group Sdn Bhd., Faszam Sdn Bhd., Nuris Legacy, Green Point Departmental Store Sdn Bhd, Rollie Café, San Ude Enterprise dan Nasnur Academy Sdn Bhd dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM2.5 juta.

 

Terdapat 23 jenama yang turut menyertai program hari ini, antaranya  Marrybrown, Mok Corner, Gloria Jean's Coffees, MyeongDong Topokki, Kakatoo, V-AgroMart dan LaundryBar.

 

Tidak terkecuali jenama tempatan yang lahir dari Program BIT Pernas seperti Eyda Ice-Cream, Rollie Cafe, Kitchen Saver dan banyak lagi.


 

Pernas

 


Sementara itu, Mohd Izhar menyeru rakyat Johor khususnya golongan muda supaya mengubah gaya pemikiran dari makan gaji kepada bidang keusahawanan terutama pembukaan francais.

 

Katanya, kaedah francais adalah perniagaan terbaik serta pelbagai pembiayaan yang disediakan kerajaan dan agensi termasuk Pernas.

 

"Kita tidak mahu mindset masyarakat tidak berubah, kita tidak mahu lagi hanya makan gaji sebaliknya perlu cuba menceburi bidang perniagaan dan untuk itu, ia perlu bermula daripada bawah.

 

"Sistem perniagaan francais adalah sangat bagus, malah saya lihat minat terhadap perniagaan francais juga berkembang dan memberangsangkan di negeri ini. Saya tidak menafikan banyak perniagaan terjejas dalam tempoh pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu, namun perniagaan francais kini sedang kembali meningkat.


 

exco
                             Datuk Mohd Izhar Ahmad

 


"Kerajaan negeri kerap menyatakan peluang perniagaan kepada masyarakat di mana kita bukan sahaja menyediakan pinjaman, tetapi juga program bimbingan buat mereka memulakan perniagaan," katanya.

 

Mohd Izhar berkata, selain perniagaan francais, kerajaan negeri turut membantu mengembangkan perniagaan usahawan di negeri ini dengan suntikan dana.

 

Malah, katanya dalam masa terdekat, kerajaan negeri akan menjalinkan kerjasama dengan Bank Rakyat dalam menyediakan peruntukan berjumlah RM100 juta untuk membantu rakyat negeri ini memulakan perniagaan mereka.

 

"Menerusi program berkenaan, kerajaan negeri akan menanggung faedah kadar pinjaman mereka untuk usahawan sektor industri kecil dan sederhana serta usahawan mikro.

 

"Kadar pinjaman minimum yang akan diberi adalah RM50,000 manakala kadar maksimum adalah sehingga RM500,000," katanya lanjut.

 

Ini adalah lokasi kedua bagi siri jelajah Program BizFrancais pada tahun ini selepas di Sandakan, Sabah.

 

Pada tahun 2019, Pernas sudah menganjurkan lapan siri program BizFrancais yang diperkenalkan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kelantan, Langkawi, Johor, Sabah dan Sarawak. - DagangNews.com