Permintaan China rendah, eksport minyak sawit pada Ogos dijangka susut 16% | DagangNews Skip to main content

Permintaan China rendah, eksport minyak sawit pada Ogos dijangka susut 16%

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Sept. - CGS-CIMB mengunjurkan harga minyak sawit mentah (MSM) akan terus meningkat pada September dengan eksport kembali pulih. 

 

Dalam nota kajian, firma itu berkata, secara purata, harga MSM meningkat 10% bulan ke bulan dan 62% tahun ke tahun kepada RM4,555 satu tan metrik pada Ogos. 

 

Kenaikan itu disebabkan kekangan bekalan minyak boleh dimakan ekoran cuaca buruk di Amerika Syarikat (AS), India dan Kanada di samping isu kekurangan buruh di Malaysia. 

 

"Oleh itu, kami menjangkakan harga MSM, kekal kukuh sekitar RM3,500 hinggga RM4,000 satu tan metrik pada September ini," katanya hari ini. 

 

Malah, ia juga mengekalkan unjuran purata harga MSM bagi 2021, 2022 dan 2023 masing-masing pada RM3,700, RM2,900 dan RM2,800. 

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengulangi saranan neutral ke atas sektor perladangan di negara ini.

 

Firma itu meletakkan saranan 'tambah' ke atas saham Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK), Genting Plantation Bhd dan Hap Seng Plantation Bhd. yang menjadi pilihannya berikutan kedudukan kumpulan yang kukuh. 

 

Hasil daripada kaji selidik minyak sawit yang dijalankan kumpulan CGS-CIMB Futures mendapati pengeluaran MSM pada Ogos sebanyak 1.67 juta tan metrik.

 

"Kami menganggarkan invenstori MSM mungkin berkembang 17.5% bulan ke bulan dan 3.2% tahun ke tahun kepada 1.76 juta tan metrik setakat akhir Ogos 2021," tambahnya.

 

Data rasmi mengenai minyak sawit Malaysia akan diumumkan Jumaat ini, 10 September ini.

 

Mengenai eksport pula, CGS-CIMB berkata, ia dijangka susut 16% bulan ke bulan pada Ogos kepada 1.18 juta tan metrik disebabkan eksport lebih rendah ke China dan negara Eropah. 

 

Jelasnya, anggaran yang dibuat itu dilihat lebih rendah berbanding yang direkodkan pada Ogos sejak 2018.

 

"Dalam hal ini, kami mendapati penurunan mendadak ini sebahagiannya disebabkan stok yang rendah yang di negara ini, dengan lebih banyak pembeli dan pengguna mengimport lebih banyak minyak sawit dari Indonesia terutama menjelang kenaikan cukai atau levi eksport di negara tersebut pada AS$73 satu tan metrik berkuat kuasa 1 September," katanya. - DagangNews.com