Perbankan tanpa riba, berhijrahlah sebelum terlambat! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 10 August 2021

Perbankan tanpa riba, berhijrahlah sebelum terlambat!

 

 

TAHUN 1442 Hijrah telah berlalu dan membolehkan kita mencongak peratusan kejayaan menggapai azam yang kita buat sepanjang tahun ini. Keazaman tahun 1443 kini menjanjikan seribu satu harapan dan ramalan yang perlu kita teroka dan capai. Tidak ketinggalan juga kita sebagai rakyat Malaysia, perlu berusaha memakmurkan diri dengan cara hidup yang sihat, beretika dan menguntungkan. Perpaduan yang kita cari, untuk memakmurkan negara tercinta, Malaysia.

 


’Muamalat’ ataupun aturcara hidup yang sihat sesama manusia di bumi Allah ini perlu diambil perhatian wajar demi mencapai wawasan masyarakat bersatu padu, aman bahagia, makmur dan diberkati Yang Esa. Ia juga termasuk amalan perbankan kita seharian dengan mana-mana institusi kewangan di negara ini.

 

Pertumbuhan kewangan Islam amat ketara kini dan tidak dinafikan ia membuktikan, Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat, dan menjadi pengekspot terbesar sumber kerja manusia berkaitan kewangan Islam di serata pelusuk dunia. 

 

Namun begitu, kita perlu terus berusaha agar titik-titik kebangkitan daulah Islam ini seimbang dengan iklim kita di Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk berbilang kaum, pelbagai bangsa dan agama. 

 

Sensitiviti perkauman dan agama perlu dipertahankan dan setakat ini kita berjaya melakukannya dengan cemerlang. 

 

Sebenarnya sikap keterbukaan dan toleransi yang tinggi dalam kalangan rakyat 1Malaysia ialah kunci kejayaan kita dalam mempertahankan kemakmuran yang kini dikecapi semua.

 

Sepertimana kita ketahui, riba atau dalam kata lain bunga atau faedah yang diperoleh daripada akaun simpanan ataupun dikenakan institusi kewangan ketika membuat pinjaman kemudahan perbankan adalah haram di sisi agama Islam. Ia tergolong dalam 7 dosa besar seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 

 

”Jauhilah diri kamu daripada tujuh dosa yang boleh membinasakan. Baginda ditanya: "Apakah dosa itu wahai Rasulullah?” Baginda berkata:"Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari dari medan pertempuran perang dan menuduh perempuan yang suci melakukan zina.”  - Riwayat Muslim.

 

‘Makan riba’ boleh membinasakan. Itu kata Rasullullah SAW. Memang benar kerana riba, banyak pelanggan bank yang muflis kerana tidak mampu membayar faedah pinjaman yang tinggi dikenakan kepada mereka. 

 

Kerana riba, 'Ah Long’ sanggup melakukan jenayah. Kerana riba, yang kaya terus kaya dan yang miskin terus dirundung malang. Sudahlah jatuh, ditimpa tangga seterusnya digigit anjing lagi.

 

Kerana riba juga, ramai ibu bapa kini menghadapi masalah sosial, kian mengancam keutuhan masyarakat Malaysia yang terkenal dengan ketinggian budi pekerti dan tata susila ketimuran.

 

Walaupun ia jelas bahawa kebangkitan kewangan Islam bukan untuk mengIslamkan seluruh rakyat Malaysia, akan tetapi nilai murni di sebalik penggunaan kontrak-kontrak Islam dalam banyak produk perbankan diakui oleh pelbagai pihak seluruh dunia.

 

Ini kerana ia berjaya menghakis nilai-nilai lintah darat, ketidakpastian, tidak telus, unsur judi dan beberapa aktiviti yang tidak beretika dalam transaksi kewangan di pasaran kewangan negara.

 

Penulis amat yakin tidak ada sesiapa pun yang akan menyangkal kenyataan-kenyataan berikut: Arak itu jijik, mengkhayalkan, tidak baik untuk kesihatan dan memabukkan. Judi itu sama senagkatan juga, tabiat yang buruk dan memporak-perandakan institusi kekeluargaan dan tidak beretika. 

 

Jadi, apa kurangnya dengan riba? Kesemua perkara ini adalah penghalang kepada perpaduan ummah, tidak kita orang Islam atau orang bukan Islam.

 

Jika sekiranya pelekat 'Minuman keras dilarang dijual kepada umat Islam' boleh ditampal di kaunter-kaunter minuman keras, 'Berjudi adalah haram di sisi agama Islam' boleh ditampal di premis-premis syarikat judi, kenapa tidak 'Produk berteras riba hanya untuk pelanggan yang bukan Islam' tidak boleh ditampal di pintu masuk kesemua institusi kewangan bank di Malaysia ini?

 

Kalau benar kita menghayati konsep hijrah, maka mari kita berhijrah secara keseluruhan. Hijrahlah sekarang sebelum terlambat. Tinggalkan perbankan yang ada unsur riba. Merdekakanlah diri!

 

Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti.

 

 

Dr Razli Ramli merupakan seorang Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. - DagangNews.com

Portfolio Tags