Skip to main content

Peranan pengajar dalam komunikasi pembelajaran atas talian

Oleh SURAYA HAMIMI MASTOR

 

 

PENGADAPTASIAN norma baharu secara optimum dalam sistem pengajaran dan pembelajaran tatkala dunia sedang dilanda pandemik COVID-19 sangat penting demi memastikan sistem pendidikan tidak terganggu, seterusnya memacu negara dalam usaha menghasilkan modal insan yang berkualiti serta idealistik.

 

Warga pendidik kini dituntut untuk lebih mahir dalam mengendalikan teknologi dari pelbagai bentuk, ruang dan peluang bagi memastikan sesuatu proses pembelajaran itu berlaku secara efektif.

 

Namun begitu, persoalan utama adalah sejauh manakah keberkesanan komunikasi dalam talian yang digunakan semasa proses pembelajaran berlaku.

 

Hasil kajian-kajian yang dilakukan di era pandemik COVID-19 berkaitan pengajaran dan pembelajaran atas talian mendapati masalah utama yang dihadapi adalah berkaitan; maklum balas dan tindakan lambat diberikan oleh pengajar; penggunaan strategi pengajaran yang kurang jelas; serta kesukaran berinteraksi bersama pelajar secara teratur sehingga tidak mencapai piawaian proses pengajaran yang ditetapkan.

 

Justeru, terdapat beberapa langkah disarankan agar platform komunikasi yang sedia ada dapat digunapakai dengan berkesan.

 

Tenaga pengajar seharusnya berpengetahuan dalam teknik penggunaan peranti dan aplikasi pembelajaran yang praktikal. Sudah tentu peranti dan aplikasi pembelajaran yang digunakan perlu disesuaikan dengan bidang masing-masing.

 

Platform komunikasi secara dalam talian yang ringkas seperti WhatsApp, Telegram, Facebook, dan Instragram sehingga yang lebih berstruktur seperti Zoom, Google Meet, Webex, Microsoft Teams dan sebagainya kini digunakan dengan cukup meluas bagi membolehkan maklumat pembelajaran dilaksanakan sama ada secara segerak (synchronous) ataupun tidak segerak (asynchronous) bersesuaian dengan keperluan pembelajaran.

 

Walaubagaimanapun, peranti dan aplikasi yang hebat sahaja belum cukup untuk memastikan keberkesanan proses pembelajaran berlaku kerana pengajar juga perlu memastikan interaksi bersama pelajar berlaku secara dua-hala dan memberi keselesaan kepada mereka untuk melontarkan buah fikiran.

 

Pengajar seharusnya mengurangkan dominasi didalam kelas maya dengan menyampaikan syarahan secara sehala dan memberi arahan sahaja, sebaliknya membuka ruang untuk pelajar supaya lebih kreatif dalam melaksanakan proses penyelesaian masalah secara dalam talian.

 

Tiga domain utama yang perlu diberi penekanan ketika berinteraksi secara maya adalah secara kognitif, afektif dan psikomotor.

 

Domain kognitif berkaitan kemampuan yang mencakupi kegiatan:

  • mental (berfikir)
  • domain afektif menyentuh sikap
  • nilai dan perasaan

 

Manakala psikomotor menitikberatkan:

  • ketrampilan (kemahiran),
  • pergerakan interpretif hasil daripada pemahaman kognitif.

 

Pelbagai aktiviti boleh dirangka bagi menggalakkan interaksi secara maya berlaku, terkini kaedah gamifikasi popular digunakan bagi mengaktifkan sesi pembelajaran secara maya.

 

Seterusnya, pengajar digalakkan untuk lebih empati terhadap situasi yang dihadapi pelajar. Dalam bergelut dengan situasi pandemik ini, banyak keluarga pelajar yang terkesan secara ekonomi, emosi mahupun mental.

 

Atas desakan hidup, segelintir pelajar terpaksa mencari apa sahaja pekerjaan bagi membantu menampung perbelanjaan keluarga. Satu perkara yang kita perlu elakkan adalah pelajar terpaksa berhenti belajar atas alasan tidak mahu membebankan keluarga.

 

Seharusnya pengajar tidaklah rigid dengan kepelbagaian tugasan sehingga pelajar tidak mampu melaksanakannya dengan baik. Sebaliknya pengajar digalakkan memudahcara dan menyantuni pelajar dengan lebih bijaksana tanpa berkompromi dari sudut integriti sebagai seorang pengajar.

 

Pengajar perlu lebih fleksibel dan terbuka dalam merancang dan melaksanakan tanggungjawab mendidik pelajar; mengintegrasikan pelbagai kaedah pengajaran agar menarik minat pelajar; dan menunjukkan moral yang tinggi sebagai teladan kepada pelajar.

 

Penggunaan bahasa semasa berinteraksi perlulah jelas; mengandungi istilah khusus yang tepat, sesuai dengan bidang pengajian mereka. Harus diingatkan, sikap empati bukanlah bermaksud berlembut sehingga tiada ketegasan dalam membimbing pelajar. – DagangNews.com

 

 

Suraya Hamimi Mastor adalah Pensyarah Kanan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Bandaraya Melaka.