Penyambungan PKP 3.0 mengelorakan pasaran saham | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 30 June 2021

PENYAMBUNGAN PKP 3.0 MENGELORAKAN PASARAN SAHAM

 

KELUH resah rakyat terus terasa kerana lengkung pandemik COVID-19 masih gagal diratakan. Dalam masa yang sama, pasaran saham di Malaysia juga turut terkesan akibat ketindaktentuan keadaan semasa di Malaysia.

 

Walaupun Kerajaan telah mengumumkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) namun pengumuman penyambungan PKP 3.0 kerana kes jangkitan jangkitan COVID-19 harian melebihi paras 4,000 menyebabkan pasaran saham, terus bergelora dengan indeks utama mencecah paras terendah sejak November 2020.

 

Pada 28 Jun 2021, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 14.97 mata kepada 1,544.71 daripada 1,559.68 semasa ditutup pada Jumaat. Ia dibuka rendah 2.22 mata kepada 1,557.46 dan bergerak antara 1,539.60 dan 1,557.58 sepanjang sesi.

 

Selepas pengumuman penyambungan PKP 3.0 kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 976 berbanding 133, manakala 342 kaunter tidak berubah, 786 tidak diniagakan dan 42 yang lain digantung manakala jumlah dagangan merosot kepada 4.73 bilion unit bernilai RM2.41 bilion daripada 5.41 bilion unit bernilai RM2.56 bilion.

 

Mengikut sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 122.74 mata kepada 15,156.97, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 1.03 mata kepada 186.95 dan Indeks Perladangan jatuh 91.37 mata kepada 6,431.03.

 

Indeks FBM Emas pula susut 117.06 mata kepada 11,217.34, Indeks FBMT 100 berkurangan 107.13 mata kepada 10,937.97 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 138.28 mata kepada 12,247.48. Manakala FBM ACE susut 226.26 mata kepada 6,995.54 dan FBM 70 berkurangan 146.30 mata kepada 14,473.23.

 

Penyambungan PKP 3.0 akan terus mengheret proses pemulihan ekonomi negara dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku kedua akan menguncup kelak. Bagi prestasi semasa suku tahun pertama ini, KDNK Malaysia sudah  menguncup 0.5% pada berbanding setahun yang lalu.

 

Selain itu, prestasi ringgit juga dilihat tidak begitu stabil. Menurut Khoon Goh, Ketua Penyelidikan Asia di Australia & New Zealand Banking Group Ltd.,  ringgit akan terus berada dalam prestasi tidak memberangsangkan di rantau, namun kelemahannya tidaklah terlalu terdedah berikutan dolar AS yang agak tidak menentu

 

Bagi menghadapi situasi ini, pada Isnin lalu, Kerajaan telah mengumumkan pakej rangsangan PEMULIH membabitkan keseluruhan berjumlah RM150 bilion. PEMULIH bertujuan memberi bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam berdepan penularan wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi.

 

 

volatiliti

 

 

Pakej bantuan terkini yang merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion memberi tumpuan kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.

 

Sehingga kini, kerajaan telah melaksanakan tujuh program bantuan dan pakej rangsangan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM380 bilion.Setakat ini, sebanyak lebih RM200 bilion telah disalurkan dan memberi manfaat kepada lebih 20 juta rakyat serta 2.4 juta perniagaan

 

Di bawah fokus menyokong perniagaan yang dilihat mampu memulihkan semula ekonomi, beberapa pendekatan akan ditambah baik termasuk mengurangkan kos tanggungan majikan, menyokong usaha digitalisasi, memberikan kemudahan bantuan kewangan dan insentif percukaian, menyediakan fasiliti pembiayaan dan meneruskan insentif penggajian.

 

Program Subsidi Upah (PSU) 4.0 akan terus dilaksanakan dengan peruntukan RM3.8 bilion, yang dijangka memanfaatkan lebih 2.5 juta pekerja. Ianya dijangka membantu pengusaha untuk bertabah akibat penyambungan PKP 3.0 ini.

 

Selain itu, bayaran tambahan di bawah Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0, membabitkan bayaran RM500 kepada penerima yang layak, masing-masing pada September dan November ini yang diharap akan memanfaatkan satu juta usahawan perindustrian kecil dan sederhana (PKS) mikro dan sekali gus membantu memulihkan ekonomi.

 

Namun begitu adakah pakej PEMULIH ini mampu memulihkan ekonomi dan menstabilkan pasaran saham yang bergelora?

 

Menurut  Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid,  buat masa terdekat, kesan kepada pasaran saham adalah negatif berikutan lanjutan berkenaan akan mengakibatkan aktiviti ekonomi menjadi lembap.

 

 

volatiliti

 

 

Sentimen pasaran saham boleh berubah apabila kerajaan melaksanakan dasar yang boleh membantu memulihkan ekonomi. Justeru, untuk tempoh terdekat ini, pasaran saham dijangka akan merua semula.

 

Di pasaran saham Amerika Syarikat pula menyaksikan kejatuhan berturut-turut pada sesi dagangan Jun ini dan terus merudum sebaik sahaja Fed menyatakan hasrat mereka secara rasmi untuk menaikkan kadar faedah lebih awal daripada apa yang diumumkan sebelum ini.

 

Pasaran indeks S&P 500 dan Dow Jones menyaksikan penurunan sebanyak 1.3% dan 1.6% pada sesi dagangan Jun ini. Harga saham bagi kebanyakan syarikat yang disenaraikan dalam indeks utama seperti Dow Jones dan Nasdaq terkesan dengan pengumuman Fed.

 

Pastinya ramai pelabur mengambil langkah berhati-hati dalam keadaan pasaran yang bergelora ini. Pada masa kini nisbah risiko setiap pelabur akan menjadi lebih tinggi berbandingan pulangan. Pelabur perlu melindungi modal pelaburan daripada “hangus” kerugian.  Dalam pasaran bergelora ini, pelabur boleh membawa keluar modal mereka dari pasaran saham buat seketika dan bersedia dengan tunai

 

Tunggulah hingga peluang yang baik apabila pasaran membuat ‘Reversal’ daripada Downtrend’ kepada ‘Uptrend’ barulah masuk kembali dan meraih pulangan keuntungan.

 

Bagi pelabur yang berada dalam situasi saham yang rugi, kawalan risiko dengan teknik stop loss boleh diambil oleh pelabur. Memanglah nak tanggung rugi itu satu yang berat tetapi bak kata pepatahcut your losses short and let your winners run”

 

Pelabur tidak sepatutnya menanggung kerugian terlalu lama tetapi pada masa yang sama tidak terburu-buru untuk membuat keuntungan dalam pasaran saham yang bergelora ini.  

 

Peratusan Cut loss ini bergantung kepada had toleransi  risiko yang ditetapkan oleh pelabur sendiri  sama ada 5%, 10%, 15%, atau lebih di bawah harga belian saham. Maka pelabur di luar sana, jangan takut nak cut loss dari menanggung kerugian yang lebih besar. – DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

 

      KOLEKSI VOLATILITI

 

 

 

 

 

Portfolio Tags